Pages

Noh saman Adun DAP Sekinchan RM10 juta

Menteri Pertanian dan Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar akan menyaman wakil rakyat DAP Sekinchan dan kerajaan Selangor kerana mendakwa beliau melesapkan wang insentif petani RM110 juta.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu berkata, peguamnya akan menyaman Ng Suee Lim sebanyak RM10 juta.

Kata Noh, beliau menyaman kerajaan Selangor kerana akhbar Selangorkini milik kerajaan negeri membuat tuduhan sama.

Selangorkini, katanya menggunakan wang rakyat dan diedarkan di masjid mengatakan petani medesak beliau meletak jawatan.

`Asyik nak buat fitnah’

“DAP menyalak boleh lah, dia menyalak, bawa sepanduk, dia kumpul 5-6 orang, buat fitnah, dia kata saya lesapkan RM110 juta.

“…dia kata saya lesapkan RM110 juta, saya dah terangkan dalam parlimen dengan panjang lebar tetapi DAP Sekinchan boleh jadi dia pekak dia tidak dengar apa saya terang.

“Dia tuduh saya lesap RM110 juta, saya kata tunggu, peguam saya akan hantar surat saman minggu depan.

“Saman saya dah siap, peguam saya akan hantar pada wakil rakyat Sekinchan ini. Saya saman tak banyak RM110 juta cukup lah. Ini kena ajar wakil DAP dia asyik nak buat fitnah tak habis-habis” katanya ketika berucap dalam program bersama rakyat di Sungai Besar Sabtu lalu.

Noh menegaskan, DAP tidak perlu mencampuri urusan nelayan kerana beliau sendiri yang akan menguruskannya.

“Dia nak jadi juara kepada nelayan, apa DAP boleh buat nak bela nelayan?

“Masalah nelayan DAP Sekinchan tak payah cakap pandai, (wakil rakyat) DAP Sekinchan, Ng Suee Lim boleh balik tidur kerana hidup mati saya ditentukan oleh pesawah,” tambah beliau.

Guan Eng Buat Laporan Polis Keganasan Umno, Perkasa

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertindak membuat laporan polis ekoran keganasan,ugutan dan tindakan ala-samseng oleh Umno dan Perkasa ketika himpunan anti-Lynas di Pulau Pinang pada 26 Februari lalu.
Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Georgetown semalam. Berikut ialah petikan penuh laporan polis tersebut.

Hampir dua tahun lalu, Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menubuhkan Sudut Pidato di Padang Kota Lama bukan sahaja untuk membenarkan kebebasan bersuara tetapi juga kebebasan selepas bersuara.

Sudut Pidato mendukung semangat "Pendapat anda mungkin berbeza dengan saya, tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk menyuarakannya." Sudut Pidato adalah untuk kegunaan umum untuk menyuarakan pendapat tanpa ancaman atau ketakutan. Untuk sebab ini, Kerajaan Negeri jarang menganjurkan acara di Sudut Pidato.

Pada 26 Februari 2012, saya telah sampai pada pukul 6.30pm di Padang Kota Lama untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0, acara yang dianjurkan NGO Pulau Pinang Suaram untuk membantah pembinaan loji nadir bumi di Kuantan. Sebelum ketibaan saya, Ahli Exco kanan Pulau Pinang YB Chow Kon Yeow yang sudah sampai pada pukul 6pm telah memberitahu saya bahawa perhimpunan aman tersebut telah diganggu oleh ahli-ahli UMNO dan Perkas

YB Chow berkata bahawa seramai 1,000 orang hadir untuk membantah Lynas berbanding dengan 100 orang ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang menyokong Lynas. Beliau

memberitahu saya bahawa ahli-ahli UMNO dan Perkasa sedang bertindak ganas.

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah menggunakan taktik keras seperti menolak dan mengasak untuk memaksa golongan anti-Lynas untuk beredar meninggalkan padang. Mujur, golongan anti-Lynas tidak bertindak balas terhadap keganasan ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Mereka hanya duduk atas padang dan enggan beredar seperti yang diarahkan oleh UMNO dan Perkasa.

Saya telah berputus untuk meneruskan perjalanan ke acara Himpunan Hijau 2.0 dan telah sampai pada pukul 6.30pm dalam kereta rasmi PG1. Setibanya saya di situ, saya telah menjadi sasaran tingkah laku ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Mereka telah menggunakan bahasa kasar, makian dan carutan perkauman seperti "Cina Babi, Cina Pulau Pinang Bodoh, Babi Sokong Lim Guan Eng Ketua Menteri".

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah melonjak ke hadapan dengan menunjukkan penumbuk terhadap saya, menggunakan carutan perkauman dan kata-kata ancaman seperti "you jaga". Jika tidak kerana rakyat umum yang melindungi saya, saya percaya saya akan diserang.

Tingkah laku yang ganas ini tidak menggambarkan budaya Melayu atau semangat Malaysia. Saya tidak faham kenapa mereka taksub sangat untuk menyokong Lynas yang merupakan syarikat Australia. Mereka mempunyai hak untuk menyokong Lynas tetapi ahli-ahli UMNO dan Perkasa tidak boleh menafikan hak orang lain untuk membantah Lynas.

Kemudian, saya telah menaiki pentas untuk memberi ucapan bersama YB Chow. Ucapan saya yang membantah Lynas telah diganggu berulang kali oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang berada kurang satu meter daripada saya.


Dalam ucapan saya, saya telah menekankan bahawa pembantahan terhadap loji Lynas bukan bersifat perkauman tetapi merupakan isu persekitaraan yang menjejaskan semua orang tidak kira agama atau bangsa. Pemprosesan nadir bumi mempunyai kesan radioaktif.

Keseriusan kesan-kesan ini terserlah apabila Lynas sendiri tidak boleh mendapat kelulusan daripada Kerajaan Australia untuk membina loji itu di Australia. Jika loji Lynas meletup, semua orang akan menderita - orang Cina akan menderita, orang Melayu akan menderita, orang India akan menderita, orang Kadazan akan menderita, orang Iban akan menderita. Kita tidak boleh mementingkan keuntungan daripada kesihatan.

Selepas ucapan saya, saya telah turun dari pentas untuk berjumpa golongan anti-Lynas. Terdapat banyak asakan dan tolak menolak yang berlaku, dengan bahasa kasar dan carutan perkauman serta ancaman ganas terhadap saya dan aksi menunjukkan penumbuk oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Saya tidak menyaksikan serangan ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa ke atas dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh, Chew Seng Tun dan Lee Hong Chun.

Namun demikian, saya terhutang budi kepada Chew yang diserang ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa kerana beliau telah menghalang mereka daripada menyerang saya. Lee terpaksa menerima 8 jahitan atas jarinya serta lebam di kepalanya. Saya percaya lebih ramai telah dipukul oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa.

Ini bukan kali pertama wartawan dicederakan oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang ganas. Dalam sebuah demonstrasi haram pada bulan Julai tahun lepas, dua orang wartawan telah dicederakan dalam demonstrasi yang dihadiri Senator UMNO Ezam Mohd Nor. Sampai sekarang, tiada tindakan telah diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang telah menyerang dua orang wartawan itu.

Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah meneruskan tindakan ganas terhadap saya dan telah mendekati hampir 1 meter daripada saya semasa saya memasuki kereta. Selepas saya memasuki kereta rasmi, mereka terus memukul kereta saya, meludah ke atasnya dan tidak membenarkan kereta saya untuk berlepas.


Sungguhpun begitu, orang ramai daripada golongan anti-Lynas tidak bertindak balas terhadap tindakan ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa.

Melihat tindakan ganas mereka, saya masih berasa terancam oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa walaupun sudah 2 hari selepas kejadian tersebut. Saya terkejut bahawa BN,

khususnya UMNO Pulau Pinang dan Gerakan (Dato' Musa Sheikh Fadzir dan Dato' Seri Teng Hock Nan) masih lagi menyokong tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa terhadap wartawan-wartawan Kwong Wah Jit Poh dan golongan anti-Lynas. Daripada meminta maaf atas tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa, BN pula ingin menyalahkan saya.

Adalah jelas bahawa kecederaan wartawan-wartawan tersebut tidak mencukupi untuk UMNO dan Gerakan untuk membezakan siapa penjahat dan siapa mangsa. Saya percaya bahawa komen-komen yang tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Geraekan adalah bertujuan untuk mewajarkan tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang tidak boleh dimaafkan.

Apabila UMNO dan Gerakan tidak mahu mengutuk tindakan ganas ahli-ahli UMNO dan Perkasa terhadap wartawan-wartawan yang meliputi acara tersebut, keselamatan peribadi saya tidak dijamin. Seperti dua orang wartawan tersebut, jika saya diserang secara ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa, memang sayalah yang akan disalahkan sementara penyerang daripada UMNO dan Perkasa akan menjadi mangsa.

Demi keselamatan peribadi, saya dengan ini membuat laporan polis terhadap ancaman-ancaman ganas oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa. Sekiranya apa-apa berlaku kepada saya, UMNO dan Perkasa harus bertanggungjawab penuh.

Adalah terpulang kepada pihak polis untuk menunjukkan bahawa mereka boleh menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih dengan bertindak bukan sahaja ke atas ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang telah menyerang dua orang wartawan tersebut, tetapi juga ke atas mereka yang telah mengancam saya.

Politik Gengster: Umno Harus Dipertangungjawabkan

Umno disifatkan sebagai semakin terdesak apabila terpaksa membawa budaya politik tidak matang dengan menggunakan keganasan dan gangsterism bagi menggangu program Pakatan Rakyat bersama masyarakat.

Senario yang mengecewakan ini digambarkan oleh Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Redwan berhubung siri serangan ganas dibeberapa lokasi program Pakatan Rakyat bersama masyarakat yang turut mengancam keselamatan pemimpin tertinggi gagasan itu.

"Umno yang semakin lemah sedar mereka telah gagal untuk menggunakan otak bagi berhujah, lebih memalukan apabila (Perdana Menteri) Najib yang tidak berani berdebat, maka Umno menggunakan keganasan dan gangsterism mengganggu program pendidikan politik rakyat.

"Ditegaskan Umno lah yang bertanggungjawab atas keganasan yang berlaku. Ia merupakan keganasan terancang dan sememangnya menjadi strategi Umno mutaakhir ini,"jelas Edy Noor dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.


Pada 20 Februari lalu, Ketua Umum PKR, Datu Seri Anwar Ibrahim menerima serangan fizikal ketika siri ceramahnya di Sembrong.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik Anwar mengalami kerosakan akibat diserang

Terbaru, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menerima nasib yang sama apabila dirinya diserang oleh seorang lelaki ketika sedang menyampaikan ceramah di Gambang, Pahang.

Kisah yang sama turut dihadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut diserang ala-samseng yang melibatkan pimpinan Umno dan Perkasa sehingga mencederakan wartawan di Padang Kota Lama.

Begitu juga dengan serangan bersifat perkauman dibeberapa tempat sejak kebelakangan ini seperti di Jalan Kebun, Klang dan Rantau, Negeri Sembilan.

Penglibatan pemimpin Umno dalam siri serangan ini dikuatkan lagi dengan pendedahan gambar.

Antaranya, Senator Md Nor Ezam dilihat bersama dengan ketua penyerang di Jalan kebun yang konon sedang diburu polis.

Begitu juga gambar Datuk Helmi Yahya bersama dengan antara kumpulan penyerang yang menyerang Lim Guan Eng baru minggu lepas juga disertai pimpinan utama Umno Pulau Pinang.

Mengulas lanjut siri serangan ganas yang disifatkan sebagai suatu yang dirancang, SAMM menzahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang dilihat seperti diperkuda oleh pemerintah.

"Yakinlah polis punya rakaman, bukti yang cukup bagi mendakwa gangster ini tetapi mereka tidak mampu kerana umno melindungi gangster ini.

"Walaubagaimanapun rakyat perlu tenang kerana perkembangan ini merupakan perkembangan biasa bagi regim hujung usia seperti mana di mesir ketika di hujung usia pemerintahan, regim Husni Mubarak menggunakan pendekatan keganasan dan kekasaran untuk menghalang kebangkitan rakyat Mesir,"

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia seharusnya bangkit menolak regim Umno seterusnya mengekang politik ganas, samseng dan ugut-mengugut yang menjadi amalan Umno selama ini.

DAP Minta Umno Hentikan Serangan Samseng

Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Janice Lee hari ini mendesak Umno agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan samseng ahli Umno yang sering menyerang pimpinan Pakatan Rakyat.

Desakan itu dibuat ekoran beberapa serangan ke atas beberapa pimpinan Pakatan baru-baru ini. Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang wartawan diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli Umno Pulau Pinang apabila beliau menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Di dalam satu insiden yang berlainan, ceramah Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar Hilir 1, Pahang terpaksa dihentikan apabila ia diganggu oleh sekumpulan lelaki dipercayai dari Umno.

Janice yang kecewa dengan provokasi murahan seperti itu, meminta supaya Umno mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal dan mendisiplinkan ahli-ahli mereka.

"Kejadian ini bukan kali pertama tetapi sudah berulang kali terjadi. Itu juga bukan satu teladan yang baik buat masyarakat kita," ulas Janice yang juga merupakan Adun Teratai.

Selain itu, mengambil contoh kejadian di Pulau Pinang, Janice melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pihak polis yang gagal mengambil tindakan segera menghentikan serangan samseng Umno.

"Walaupun polis berada di tempat kejadian semasa Lim Guan Eng dan pemberita diserang oleh Umno tetapi polis berdiam sahaja.

"Ini jelas menunjukkan polis mengamalkan prinsip 'double standard', satu untuk ahli Umno, satu lagi untuk rakyat biasa dan pemimpin Pakatan Rakyat," hujah Janice lagi.

Justeru, Janice meminta Ketua Polis Pulau Pinang untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalan pihak polis untuk melindungi keselamatan Lim Guan Eng dan juga rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda UMNO dakwa 'wartawan Cina' kurang ajar?


Insiden wartawan tercedera dalam perhimpunan anti-Lynas di Pulau Pinang semalam meletus akibat provokasi dan penampilan mereka sendiri, yang digambarkan mengambil sikap memihak, dakwa Pemuda Umno setempat.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri berkata, seorang daripada wartawan itu - Adam Chew dari harian Kwong Wah Jit Poh - menimbulkan kemarahan rakyat apabila "bertindak sebagai benteng" kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Aksi wartawan suratkhabar Cina yang membangkitkan kemarahan anak muda Melayu," tulis Dr Novandri dalam blognya "Dr MiM".

Beliau mendakwa lagi, Adam juga tidak memegang kamera dan memakai baju hijau seperti penyokong anti-Lynas.

"Walhal, dalam insiden di Padang Kota semalam , tiada seoranng pun wartawan yang memegang kamera dan video dipukul atau cedera," tulisnya lagi.

Chew, 29, dilapor dibelasah semasa membuat liputan Himpunan Hijau di Padang Kota dan mendapat lapan jahitan akibat kecederaan di tangan. Rakannya Lee Hong Chun, 25, pula dilapor dipukul dengan topi keledar dan mengalami kecederaan kecil di kepala.

Chew (kanan) mendakwa dipukul oleh kira-kira enam lelaki yang terdiri daripada peserta kumpulan pro-Lynas , yang dilapor turut disertai pemimpin Umno dan PERKASA.

Manakala Pemuda PKR pula mendakwa Dr Novandri muncul di kawasan insiden bersama dengan samseng yang membuat kecoh dan provokasi.

Sambil menggelar Adam sebagai "wartawan Cina kurang ajar" dan "lelaki kung fu cari pasal",

Dr Novandri mendakwa media propembangkang memuatarbelitkan peristiwa itu untuk menagih simpati orang ramai.

"Pada mulanya MiM mahu berlapik-lapik untuk memberikan laporan di dalam blog ini tetapi memandangkan ada pihak yang cuba menukar cerita sebenarnya, MiM dan rakan yang lain akan dedahkan semuanya!" tulisnya


MB Kedah bakal bertukar?

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka melepaskan jawatannya kerana pucuk pimpinan Pas dilihat akur terhadap tekanan golongan pro-Anwar di dalam parti itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara itu boleh berlaku jika melihat kepada semangat puak Anwarinas dan barisan Exco kerajaan negeri yang berusaha keras untuk menjatuhkan Azizan.

''Keadaan itu ditambah dengan strategi tangan ghaib dalam gerakan menjatuhkan Azizan dan diyakini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dapat menyelamatkan lagi rakan ulamanya itu, sama seperti beliau akur dengan kemasukan kumpulan pro Anwar dalam barisan kepimpinan parti.

''Selagi Azizan tidak melepaskan jawatan kepada puak penyokong Anwarinas, krisis di Kedah akan berlarutan malah lebih buruk. Dalam hal ini, Abdul Hadi lebih kusut dalam mempertahankan puak ulama,'' katanya kepada Utusan.

Beliau mengulas kenyataan Azizan semalam yang yakin tekanan politik dialaminya tidak menggugat kedudukan dan peranannya sebagai Menteri Besar selain terus mendapat sokongan hebat daripada rakyat.

Mohd. Azizuddin melihat situasi itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan 30 hingga 40 peratus pengundi di negeri itu yang terkenal sebagai pengundi atas pagar selain 50 peratus yang merupakan pengundi setia UMNO.

Kata beliau, para pengundi atas pagar dari awal telah kecewa dengan pentadbiran Azizan termasuk aspek kesihatan Menteri Besar itu yang tidak meyakinkan.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, pilihan raya umum akan datang bukan lagi peluang untuk Pas mempertahankan Kedah walaupun hasrat Abdul Hadi dan ulama Pas mahu Azizan terus kekal mentadbir negeri berkenaan.

Jelasnya, isu dalaman Pas Kedah yang melibatkan Menteri Besar itu juga sebenarnya lebih banyak berpunca daripada sikap Azizan sendiri yang gagal dalam banyak perkara dan seharusnya beliau menerima dengan terbuka kejatuhan yang bakal dialaminya.

''Azizan begitu lemah, bukan hari ini sahaja tetapi sejak dari awal pemerintahannya. Kelemahan itu bukan sahaja ditonjolkan oleh puak penyokong Ketua Pembangkang yang berada di dalam Pas bahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas turut memperakui perkara itu.

''Justeru, Azizan bukan lagi pilihan utama rakyat yang mengimpikan pembangunan,'' katanya.

Azmi berkata, krisis yang melanda di Kedah bukan sahaja menyebabkan Presiden Pas berasa serba-salah terhadap puak ulama tetapi bakal membawa kehancuran parti itu di negeri tersebut.

BN Perlu Hentikan Sikap Pura-Pura Berhubung Israel

Kerajaan Barisan Nasional diseru untuk menghentikan sikap hipokrasi dan double standard berhubung isu hubungan dagangan dengan negara haram Israel.

Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad yang mendakwa penjelasan Kerajaan Pusat berhubung isu kapal Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang tidak boleh diterima sama sekali.

"Lebih-lebih lagi dalam keadaan kononnya negara Malaysia adalah juara memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan kononnya Malaysia tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

"Jadi kita sangat terkejut dengan pendedahan kapal Israel yang biasa berlabuh di Pelabuhan Klang," ujar Khalid sambil menambah alasan anak kapal Israel tidak dibenarkan menjejakkan kaki di pelabuhan sebagai penjelasan 'main-main' oleh Kerajaan Umno/BN.

Lebih mengejutkan, Malaysia berada di kedudukan bawah 20 bagi negara-negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, beritahu Khalid dalam sidang medianya pagi tadi.

"Rekod ini adalah berdasarkan laporan yang telah didedahkan oleh beberapa pihak dan ia membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan yang 'kuat' dengan Israel.

"Dan antara produk terpenting ialah minyak kelapa sawit. Saya percaya peneroka-peneroka Felda akan merasa dikhianati kerana tanpa disedari hasil mereka menjadi bahan dihantar ke Israel," jelas Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, Khalid mendesak agar BN menghentikan sikap kepura-puraan mereka berhubung isu Israel-Palestin seterusnya melaksanakan tiga perkara sekiranya benar Kerajaan Pusat menghormati aspirasi rakyat Palestin seperti yang selalu dilaungkan mereka.

"Sekiranya kamu benar-benar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, maka zahirkanlah dalam tindakan kamu.

"Yang pertama, hentikan kemasukan kapal-kapal Israel melalui perairan Malaysia, kedua hentikan perdagangan dengan Israel dan yang ketiga tamatkan perkhidmatan APCO sebagai penasihat kamu," tegas beliau

Jawapan Najib Mengenai Isu Lynas

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Perdana Menteri berkata kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.

"Yang penting sekali dari segi fakta, dari segi 'scientific evidence' projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di SRJK (C) Yoke Kuan, di sini, hari ini.

Katanya kerajaan juga mengenakan syarat yang cukup ketat untuk operator Lynas termasuk syarat di mana sisa-sisa dari kilang tersebut perlu dilupuskan di tempat yang jauh dari penempatan masyarakat.

"Dan kita tidak akan beri 'lesen operasi' melainkan kita berpuas hati bahawa masyarakat tempatan boleh menerima bahawa projek ini selamat dari segi kepentingan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai perhimpunan yang diadakan di Kuantan pagi ini bagi membantah projek itu, Perdana Menteri berkata pembangkang sengaja mengunakan isu sedemikian untuk menyerang kerajaan dan mendapatkan sokongan rakyat.

"Tetapi apa yang mereka lakukan bukanlah mencari satu penyelesaian.

"Kita (kerajaan) nak cari satu penyelesaian yang dapat diterima oleh rakyat, di samping itu tidak menjejaskan pelaburan kita, sekiranya pelaburan itu tidak mendatangkan bahaya dan mudarat kepada komuniti tempatan," katanya.

Suami Shahrizat Patut Didakwa Lebih Awal

Peguam Negara dan pihak polis seharusnya menjadikan Pengerusi Eksekitif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail sebagai orang pertama yang seharusnya di siasat dan didakwa berhubung pecah amanah yang membabitkan dana rakyat bernilai RM250 juta tersebut.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, cadangan polis supaya Peguam Negara hanya mendakwa Mohamed Salleh menggambarkan wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat pihak berkuasa tersebut.

"Masih lagi wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat. Kita melihat bahawa ia hanya difokuskan kepada Pengerusi Eksekutif NFC sahaja," katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Aktivis masyarakat itu menambah, polis sepatutnya menyiasat secara keseluruhan dan semua pengurusan tertinggi NFC kerana semua pihak itu diyakini turut sama melakukan penyelewengan dan pecah amanah.

Malah laporan yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, tegasnya, turut menyatakan penglibatan ketiga-tiga anak Mohamed Salleh sebagai pengurusan tertingginya iaitu Wan Shahinur Izmir selaku Pengarah Eksekutif, Wan Shahinur Izran (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah (Pengarah).

"Maknanya kertas siasatan itu yang dihantar kepada Peguam Negara seharusnya turut melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC.

"Ini kerana segala laporan yang kita buat sebelum ini bukan sahaja melibatkan Mohamed Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC tetapi turut sama melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC iaitu Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir dan termasuk Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah," ujarnya.

Fariz seterusnya berkata, Jingga 13 mempercayai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut terlibat dan mengetahui segala-galanya disebabkan isu itu melibatkan anak dan suaminya.

"Dalam perkara ini kita melihat Shahrizat cuba mengelak diri seolah-olah dia tidak terlibat langsung tetapi kita yakin dan percaya bahawa Shahrizat mengetahui segala aktiviti yang dilakukan oleh suami dan anak-anaknya kerana ia melibatkan pembelian kondominium, hartanah, kenderaan mewah dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis dan Peguam Negara bersikap profesional dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada pihak tertentu demi kepentingan politik.

Januari lalu, seorang Ahli Perniagaan Shamsulbahrin Ismail (46) ditangkap polis dan dijadikan kambing hitam bagi menutup pembabitan dakwaan penyelewengan yang membabitkan keluarga Shahrizat.

Nik Aziz 'tok guru' saya kata Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media arus perdana tidak mempunyai harapan untuk "melaga-lagakan" beliau dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keselamatan Israel.Mendedahkan secara ringkas isi pertemuan beliau dengan Nik Aziz beberapa hari lalu, Anwar menganggap jika pergaduhan itu berlaku, ia merupakan "hadiah paling besar" bagi media arus perdana."Kalau saya gaduh dengan Nik Aziz, bagi mereka (itu) hadiah paling besar."(Gaduh) dengan Nik Aziz, dia tok guru saya, tidak ada harapan (tengok) saya nak bergaduh dengan dia (Nik Aziz)," kata Anwar dalam ceramahnya di Kuantan semalam.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, menteri besar Kelantan itu bertanya beliau mengenai dakwaan 'menyokong' Israel, ketua pembangkang menunjukkan kepada Nik Aziz, laporan bahawa beliau menyebut perkataan 'contingent' yang membawa maksud "tertakluk dengan syarat".Bagaimanapun, Anwar menegaskan perkara tersebut tidak dilaporkan oleh media arus perdana."Tok Guru kata tak tahu cerita panjang, minta penjelasan.

Saya jelas, saya tetap (membela) rakyat Palestin."Tetapi PAS tak mahu terus (iktiraf) pada Israel," kata Anwar di hadapan lebih 500 penyokong di sebuah tanah lapang dalam kawasan Pejabat Perhubungan PKR negeri.Katanya, antara syarat tersebut adalah menerima negara Palestin, kembalikan Baitulmaqdis, melepaskan Gaza dan tidak membunuh rakyat Palestin."(Israel) terima syarat tak?... Tak terima. Jadi (saya) tak (sokong Israel)... Apa parti Umno, hari-hari kena (buat) fitnah," katanya sambil menempelak parti itu yang didakwanya mahu menang dengan memfitnah.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan berkata beliau amat menghormati Mursyidul Am iu dan pandangan PAS."Nik Aziz, dia baik, kita hormat beliau," katanya Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu Selasa lalu, Anwar dilapor berkata kenyataannya yang dibuatnya sebelum ini, selari dengan pandangan Hamas dan Fatah.Dalam pertemuan selama 40 minit itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata beliau tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirundingkan mereka di Doha, Qatar dua minggu lalu."Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal.

Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian PAS yang tegas tentang Israel, " katanya .Dalam ceramahnya beberapa jam sebelum berlangsungnya Himpunan Hijau 2.0, Anwar berkata beliau berjanji untuk "melepas" pelajar dari beban hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dalam masa satu hingga dua tahun jika mentadbir Putrajaya."Dalam masa satu atau dua tahun kita lepaskan (mereka) dari PTPTN.
Kita buat macam Erdogan dalam masa tiga tahun untuk lupuskan pinjaman (pendidikan)," katanya sambil menambah Turki memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya.

PKR Mahu Siasatan Ke atas Badrulamin Secara Profesional

Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional berhubung kes penangkapan Dr Badrulamin Bahron yang didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Kuantan awal pagi semalam.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu diminta Jaip untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

"PKR menuntut agar Jaip dan pihak berkuasa yang lain membuat siasatan secara telus dan profesional. PKR juga mengulangi komitmen parti untuk terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Dr Badrulamin membuat penafian mengenai laporan media yang mendakwa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jaip di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

"Kenyataan Timbalan Pengarah Jaip (Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz) bahawa saya ditahan oleh pegawai Jaip ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.

"Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Badrulamin berkata, beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan Jaip pada 27 Februari ini dan akan hadir bersama peguamnya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan berkenaan.

Dalam penafiannya, Dr Badrulamin yang juga Ketua Cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.

Bagaimapun pada jam 2 pagi semalam, beliau kemudiannya dihubungi seorang wanita dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.

"Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya.

"Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga," katanya.

Menurut Dr Badrulamin lagi, wanita berkenaan juga menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

Katanya, wanita itu kemudian datang ke hotel penginapannya bersama anaknya dan Dr Badrulamin berkata atas rasa bertanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu mereka mendapatkan bilik penginapan.

"Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.

"Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jaip tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik," katanya.

Dr Badrulamin berkata beliau berharap dengan penjelasan ini, semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap dirinya.

Tambahnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.

Pas tiada masalah dengan PR

Hubungan Pas dan rakan Pakatan Rakyat (PR) tidak terjejas meskipun menghadapi pelbagai isu sen­sitif seperti kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibra­him di Wall Street Journal baru-baru ini.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof berkata, kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya menarik diri daripada PR hanya bertujuan untuk meme­cah­belahkan hubungan antara Pas, DAP dan PKR.

“Suasana hari ini, suasana pilihan raya umum. Kita faham Umno nak tengok Pa­katan Rakyat berpecah dan apa yang diwar-warkan me­reka adalah ingin meng­gam­barkan bahawa PR tidak ada persefahaman, sedangkan ka­mi memerintah empat negeri, tidak timbul pula ma­salah se­bagaimana didakwa,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ke­nyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyarankan agar Pas menarik diri daripada be­kerjasama dengan parti yang secara terangan tidak memperjuangkan Islam.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang tu­rut mempersoalkan ke­nya­taan pemimpin Umno yang tidak memandang ke­lemahan diri sendiri sebelum membuat mengkritik ter­hadap parti lain.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas tidak perlu mengkaji kedudukan dan hubungannya dalam PR hanya semata-mata desakan beberapa ahli di peringkat akar umbi.

“Memang ada beberapa perkara yang kita berbeza pandangan di antara Pas, PKR dan DAP. Tetapi seperti yang kita sebut sebelum ini, kita menghormati pandangan masing-masing untuk mengekalkan prinsip masing-masing,” katanya.

ABU Bukan Anti Melayu

Secara umum, segalanya bermula pada tanggal 9 Disember 2011 apabila negara dikejutkan dengan sidang media serentak di seluruh negara. Sidang media yang membawa kepada pelancaran penting sebuah gerakan inisiatif rakyat - Gerakan ABU diperkenalkan dengan penjenamaan semula pada malam bersejarah 15 Disember 2011 di Taman Melewar.

Asalkan Bukan Umno - sebuah gerakan berani yang tidak lagi berselindung dalam menyatakan pendiriannya betapa regim Umno itu harus ditumbangkan segera demi menyelamatkan negara ini. Rakyat yang punya rasa tanggungjawab wajar menyertai gerakan ABU bagi memastikan tiada ruang lagi buat Umno mengkhianati amanah rakyat dengan merompak khazanah kekayaan negara.

Dari masalah perkauman melampau, ketegangan antara agama membawa ke masalah ekonomi, rasuah serta kelemahan pentadbiran sehingga pembaziran melampau yang mencipta kepayahan hidup sehinggalah kenaikan kos hidup (harga barang) secara mendadak dan melampau. Semuanya ialah kerana Umno yang dicipta penjajah mewarisi negara ini dan lebih - lebih lagi ia sudah terlalu lama berada ditampuk kuasa.

ABU ialah penyatuan kuasa rakyat menentang Umno, menentang penyelewengan yang dilindungi, menentang rasuah yang dihalalkan, bukan untuk menentang mana-mana bangsa apatah lagi kepercayaan agama. ABU adalah trend melawan penindasan.

Menentang Umno bukan bererti menentang melayu, malah orang melayu harus disedarkan bahawa di atas nama 'melayu' itu jugalah Umno meneruskan amalan pecah perintah yang diwarisinya dari penjajah untuk terus kekal berkuasa.

Apakah anda semua mahu terus percaya kononnya Umno perjuang bangsa ketika nasib dan pencapaian melayu hari ini tidak sejauh mana?

Anak melayu menjadi juara rempit di malam minggu, menjadi penghuni majoriti terbesar pusat serenti, kehancuran moral yang memperlihatkan banyak kes pembuangan bayi adalah terdiri dari anak melayu dan terkini, segelintir darinya pula hanyut diperkuda politik sempit Umno yang tergamak mengupah RM30 untuk menjadi samseng pengganggu majlis. Ini fakta, hakikat, hasil keputusan yang perlu ditelan walau pahit.

Gagal Fitnah Liwat, Dr M Guna Isu Israel Serang Anwar kata SAMM

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mengalihkan perhatian umum terhadap pelbagai masalah dihadapi Umno-BN ketika ini dengan membuat kenyataan Israel membantu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membekalkan butiran perdagangan antara Malaysia dan Israel.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, memang wujud hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Israel tetapi cuba disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Menurutnya, isu hubungan dagangan Malaysia-Israel telah lama dipersoal malah pada 7 November 2011 lalu Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa telah membantu dengan mengemukakan isu perdagangan Malaysia - Israel di Parlimen.

Malah menurut Chegu Bad sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sememangnya telah sedia maklum berhubung hal tersebut.

"Semua sedia maklum fitnah Dr Mahathir terhadap Anwar sebelum ini telah gagal maka sekarang dicuba lagi untuk menfitnah dengan menggunakan isu Israel pula," kata beliau

Menurut beliau yang juga Ketua Cabang Rembau, Parlimen Malaysia telah diperakui sememang negara mempunyai hubungan dagang dengan Israel yang melibatkan syarikat Multy Nasional Corperations (MNC).

"Umum perlu sedar Malaysia ialah negara yang bukan sahaja mengiktiraf Israel tetapi membantu ekonomi Israel dalam membekalkan minyak sawit. Berdasarkan rekod perdagangan dengan Israel, ia telah wujud sejak 1967 lagi malah kemungkinan secara tidak lansung lebih awal dari itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badrul Hisham berkata, sebagai orang lama dan licik politik, bekas Perdana Menteri memang bijak bermain politik persepsi dan kenyataan itu jelas bagi membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang terkapai-kapai dengan pelbagai pendedahan bagaimana Malaysia sebenarnya hipokrit dengan sikapnya dalam isu Palestin - Israel.

Jelasnya, ketika era kebangkitan kesedaran untuk menyokong perjuangan Palestin dan anti apartheid di Afrika Selatan dalam negara, Umno-BN terpaksa memperkenalkan akta larang perdagangan yang melarang perdagangan kerana takut populariti mereka merundum.

"Namun akta larangan perdagangan ini telah ditarik balik serentak dengan jatuhnya regim apartheid di Afrika pada tahun 1994. Kabinet di bawah Dr Mahathir lah yang membuka ruang dagang dengan Israel semula dengan mengambil kesempatan pada Mei 1994 apabila Parlimen meluluskan Akta Larangan Import (Pindaan bil 7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

"Ia boleh menggugurkan larangan kepada Afrika Selatan sahaja tetapi begitulah liciknya politik Dr Mahathir tanpa sedar ia mengambil kesempatan membuka ruang berdagang dengan Israel secara terbuka," katanya.

Menurutnya, berdasarlan laporan Kesatuan Eropah, Malaysia merupakan rakan dagang ke 15 yang bersungguh membantu ekonomi Israel.

Maka dengan itu, katanya, umum harus menolak kenyataan Dr Mahathir itu dan SAMM sebagai gerakan muda yang sering membuat pendedahan menegaskan tuduhan Dr Mahathir itu adalah salah dan fitnah semata-mata.

"Umum harus sedar perang anti Israel dan sokongan terhadap Palestin dalam negara ini hanya untuk mengaburi sokongan dalam negara semata-mata.

"Kita tidak harus lupa ucapan Dr Mahathir yang begitu bersifat perkauman dan anti Yahudi, anti Barat dalam Persidangan Umno yang telah mengundang rasa kurang senang Barat khususnya Amerika Syarikat.

"Mungkin ketika berucap itu Dr Mahathir lupa bahawa dalam dunia moden ini ucapanya boleh diikuti di seluruh dunia. Panik dengan itu, maka Dr Mahathir telah menggunakan Heritage Foundation melalui Jack Abramoff dan telah membazirkan sehingga hampir RM40 juta wang negara untuk membolehkan pertemuan 'meminta maaf' dengan Presiden Amerika Syarikat dapat dilansungkan," ujarnya.

Beliau berkata, SAMM berharap umum khususnya generasi muda sedar akan perkara ini dan tidak terpengaruh dengan amalan fitnah Dr Mahathir yang sering menggunakan taktik sama bagi mengalihkan perhatian umum.

Suara Nik Aziz bukti ulama boleh tegur Anwar kata Hassan Ali

Gesaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah "satu perkara yang jarang-jarang timbul" dalam sistem parti itu mempersoalkan Ketua Pembangkang.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, kenyataan Nik Aziz supaya Anwar menarik balik kenyataan beliau dalam Wall Street Journal (WSJ), adalah bukti pemimpin ulama Pas mampu menegur Anwar.

Beliau turut memuji kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa adalah haram menyokong negara haram, yang disifatkan beliau sebagai satu pendirian tegas pemimpin Pas.

Namun, Hasan mempersoalkan mengapa golongan parasit dalam Pas masih tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Anwar.

“Kenyataan yang ditunggu-tunggu adalah dari golongan profesional ataupun golongan parasit dalam Pas. Sehingga hari ini, tiada seorang pun, yang mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap Anwar, rakyat ingin mendengar bilakah parasit ini akan bersuara dalam isu ini," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Nik Aziz menggesa Anwar menarik balik kenyataan beliau berhubung sokongan terhadap keselamatan Israel, sebelum ini.

Bekas Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor itu berkata, rakyat masih tertanya-tanya mengenai kenyataan Anwar itu, sama ada benar ataupun tidak.

Hasan berkata, ramai rakannya di Eropah dan negara Arab juga menyatakan kerisauan dengan apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini.

Kita mahu Anwar menerangkan sama ada Pakatan Rakyat tidak menjalinkan hubungan langsung dengan Israel. Ini sangat penting ataupun PR mesti mula usaha-usaha menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Kedua-duanya jelas. Rakyat tertanya-tanya," katanya.

BN Salah Guna Sekolah Untuk Kempen

Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang mengambil peluang dengan menggunakan sekolah sebagai medan politik dibantah sekeras-kerasnya sebilangan besar pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat kerana dilihat akan mencemarkan institusi terbabit.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi TV Selangor berkata, kenyataan itu dibuat sejurus beliau menerima aduan daripada ibu bapa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan bahawa satu ceramah ekonomi akan diadakan (semalam) di Sekolah Menengah Sri Andalas anjuran bekas Adun-adun Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, ia telah disalahgunakan oleh pihak terlibat dengan mengutarakan isu politik semata-mata selain turut menyampaikan mesej bahawa Umno-BN akan menawan semula kawasan Kota Raja semasa Pilihan Raya ke-13 (PRU-13) nanti.

"Mereka (penganjur) mengeluarkan satu jemputan kepada ibu bapa. Pada asalnya, ia adalah program Umno iaitu mereka hanya menjemput orang-orang tertentu sahaja. Tetapi apabila ibu bapa pakat telefon sekolah untuk bertanyakan tentang hal berkenaan, mereka membukanya kepada semua orang.

Jadi ibu bapa telah menaikkan kain rentang untuk membantah program ini dan murid-murid sekolah juga dilepaskan awal pada jam 5.45 petang. Saya difahamkan, aktiviti kokurikulum juga terpaksa dibatalkan untuk memberi laluan kepada program tersebut," tegasnya.

Tambah Dr Mariah, ibu bapa murid-murid sekolah berkenaan telah menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mendapat pengesahan, namun pihak PPD memaklumkan mereka tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.

Beliau berkata, program yang dianjurkan di sekolah itu mendapat kebenaran daripada Pengetua serta turut disertai pihak PIBG dan sebilangan besar guru-guru sekolah.

Perkara ini jelas katanya, menunjukkan salah guna kuasa Pengetua kerana membenarkan program politk berlangsung tanpa kebenaran PPD, mengarahkan murid-murid untuk pulang awal sebelum tamat sesi persekolahan selain memaksa para guru untuk hadir.

"Kita akan menulis surat kepada Kementerian Pelajaran untuk mengambil tindakan kepada Pengetua kerana secara terang-terangan melanggar tugas dan membenarkan satu program politik dijalankan di sekolah," ujarnya.

Difahamkan, program politik tersebut dihadiri oleh Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Dr Abu Hassan Omar, Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd Nor dan beberapa pemimpin tempatan lain.

Anwar jawab Tohmahan berhubung Isu Israel (Mesti Baca)

Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tohmahan dari pemimpin Umno/BN berhubung isu Israel merupakan putar belit yang sengaja dilakukan sedangkan dalam masa yang sama kerajaan menjalin hubungan baik dengan negara zionis tersebut.


Menurut Anwar, Menteri Pertahanan, Datuk Zaid Hamidi juga pernah bertemu dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009 , walaupun perkara ini cuba dipadamkan.

Begitu juga dengan pentadbiran Perdana Menteri juga telah melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

Ketua Pembangkang itu juga berkata walaupun terdapat perbezaan pandangan dengan PAS berhubung isu tersebut namun kedua-dua parti tersebut mempunyai matlamat yang sama untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.

Ikuti kenyataan penuh beliau


16hb Februari 2012

KEADILAN JUNJUNG ASPIRASI DAN HASRAT RAKYAT PALESTIN

Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel," (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel) sedangkan kenyataan penuh selepas itu, "a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya.

Media, pimpinan UMNO dan Dato' Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin

Kenyataan saya kepada Asian Wall Street Journal secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin .

Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama Kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan Menteri Luar nya, Putera Saud al Faisal bahawa:

"This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can't keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security".

Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:

"The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people's foremost cause. In Jordan, the "final-status" issues-including borders, refugees, security and Jerusalem-are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel."

Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.

Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.

Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin :

"If Israel withdraws to the '67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people - what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them".

Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. Parti Islam SeMalaysia berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini berbeza dengan adu domba UMNO yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka.

Tatkala media UMNO menyerang saya sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari UMNO secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu .

Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri Pertahanan dari UMNO jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009 , walaupun perkara ini cuba dipadamkan.

Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994.

Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan UMNO bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke 15 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.

Sikap bermuka UMNO dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.

Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.

Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel.

Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80% dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90% hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.

Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai.

Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.

Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut.

Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.

Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini.

Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin.

Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, "a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT

Logo 1 Malaysia Bukan Politik Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata langkah kerajaan mewajibkan pengeluar barangan terkawal memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusan produk mereka tidak seharusnya dianggap sebagai satu langkah politik.

"1Malaysia bukan politik, ia adalah mengenai Malaysia," kata Najib sinis, menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi BN di PWTC, Kuala Lumpur, malam semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe pada 10 Februari lalu mengumumkan bahawa tiga barang kawalan - tepung, gula dan minyak masak - mesti memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusannya untuk layak bagi menikmati subsidi kerajaan.

Idea berkenaan bertujuan memaklumkan kepada pengguna bahawa produk tersebut disubsidi oleh kerajaan. Arahan itu sepatutnya dikuatkuasakan mulai bulan ini.

Sebelum ini, pengeluar tepung juga diminta oleh kerajaan supaya memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusan mereka mulai Januari lalu tetapi perkara itu tidak diwajibkan.

Sesetengah pengusaha sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa bahawa arahan itu "tergesa-gesa" dan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mematuhinya.

Menurut pengkritik logo dan slogan 1Malaysia sebenarnya adalah sebahagian daripada jentera propaganda BN untuk menarik sokongan rakyat.

Hujah mereka, kerajaan menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat bagi meraih sokongan untuk BN.

Mengenai cadangan agihan wang tunai RM500 mengikut program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat secara tahunan, Najib jelas keberatan menjawab soalan itu.

"Kita tengok dulu, sampai masa kita umumkan," katanya.

Sebelum ini, ramai pihak berpendapat program seperti BR1M hanya propaganda BN dan Umno bagi memancing undi kerana pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi.

BN menafikannya dan mendakwa program berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 dan mudah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Sehingga 12 Februari, sebanyak RM602,579,500 baucar BR1M telah ditunaikan. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,597,434 orang telah membuat permohonan BR1M dan 3,580,916 permohonan telah diluluskan.

Pakatan Sokong Himpunan Anti-Lynas

Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong penganjuran Himpunan Hijau pada 26 Februari sebagai usaha menterjemahkan gesaan memberhentikan projek nadir bumi oleh Syarikat Lynas di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mewakili pimpinan Pakatan dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam.

"Gerakan membantah Lynas diteruskan. Pada 26 Februari ini akan diadakan himpunan hijau, menentang Lynas di Kuantan.

"Pemimpin parti akan turun bagi menyatakan sokongan kepada penganjuran itu," kata Anwar.

Projek yang diusahakan oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Pembinaan loji kontroversi ini menjadi titik pertembungan antara Umno-BN dan Pakatan disamping menyaksikan kemarahan awam terus memuncak.

Tentangan terhadap loji itu berhubung kebimbangan terhadap keracunan radiasi terhadap masyarakat dan persekitaran.

Rakyat juga kelihatan kurang yakin dan percaya terhadap jaminan yang diberikan oleh kerajaan pusat Umno-BN dan Lynas bahawa operasi kilang itu hanya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah.

Mengulas lanjut perkara ini, Anwar bekata Gabungan Hentikan Lynas (SLC) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang meluluskan Lesen Kendalian Sementara (TOL) untuk projek itu.

"Jawatankuasa itu akan mempersiapkan tindakan undang-undang bagi semakan kehakiman diadakan dalam masa yang segera dan diharapkan dapat dikemukakan sebelum 26 Februari ini," jelas Anwar.

Kenyataan Anwar tak gugat Pakatan, kata Mat Sabu

Terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik sokongannya terhadap Israel meskipun Majlis Syura memutuskan beliau harus berbuat sedemikian, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Justeru kata beliau, pendirian Ketua Pembangkang itu tidak akan menjejaskan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mohamad menambah, apa yang diperkatakan oleh Anwar kepada Wall Street Journal (WSJ) adalah pandangan peribadi dan dasar partinya, dan oleh itu, terpulang kepada beliau untuk memohon maaf atau sebaliknya.

"Pas tidak mempunyai halangan, terpulang kepada Anwar sendiri, persamaan dasar yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menuju ke Putrajaya, sekiranya ada parti ddalam PR mempunyai dasar lain, ia akan diperbincangkan kemudian.
"Namun sekiranya PKR dan DAP mempunyai dasar partinya sendiri, Pas tidak mencampurinya. Terpulang kepada mereka, termasuk menyuarakan pandangan peribadi ataupun mewakili parti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan Majlis Syura yang meminta Anwar menarik balik kenyataannya mengenai Israel. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Anwar itu satu tindakan yang tidak betul.

Nik Abdul Aziz menyarankan kepada Anwar sekiranya kenyataan itu telah diputar belit, beliau seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.
Mohamad berkata, apa yang dilakukan oleh Anwar itu tidak menggugat hubungan antara parti yang ada dalam PR, malah Pas masih tetap bersama.
"Apa yang berlaku tidak akan menggugat hubungan kami dalam PR, kami mempunyai dasar perjuangan yang sama, dan saya yakin rakyat memahami perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Anwar harus mengambil tindakan terhadap WSJ sekiranya beliau tidak membuat kenyataan sedemikian.
"Apa masalah? Jika benar tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian, Anwar harus bertindak terhadap WSJ, kenapa perlu bimbang tindakan itu boleh menyelesaikan masalah.
"Sekiranya Anwar enggan tarik balik atau menyaman WSJ. Apa boleh buat. Terpulang kepada beliau. Anwar bukan ahli Pas untuk diambil tindakan disiplin," katanya menerusi laman sosialnya.

Anwar akan jumpa Nik Aziz

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat ini bagi menjawab isu beliau dikatakan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini.

Menurut sumber dalaman PKR, perjumpaan akan dilakukan selepas mesyuarat bersama kepimpinan PKR, hari ini.

“Esok kita akan adakan perbincangan bersama kepimpinan PKR, selepas itu baru tentukan bila Datuk Seri Anwar bertemu Tok Guru (Nik Aziz).

“Perbincangan yang mendalam akan diadakan bersama Tok Guru bagi menjelaskan isu ini,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian cuba mendapatkan komen pemimpin PKR, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution yang dihubungi mengatakan PKR masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi perkara itu.

“Awak adalah wartawan ke-19 yang menghubungi saya hari ini… saya tiada kenyataan yang boleh saya keluarkan lagi setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat yang mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan.

Kelmarin, Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim tarik balik kenyataannya menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ, baru-baru ini.

Pas Minta Karpal Tidak Politikkan Hari Kekasih

Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak mempolemikkan isu sambutan Hari Kekasih kerana apa yang ditentang Pas, bertepatan dengan perjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Karpal tidak perlu mempersoalkan pendirian Pas kerana mereka tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.

“Pemuda Pas konsisten dalam menegaskan isu ini kerana ia bukanlah ajaran Islam, tetapi kita tidak larang orang bukan Islam menyambutnya.

“Apa yang menjadi fokus adalah umat Islam terutamanya generasi muda. Orang Islam punya cara tersendiri meraikan kasih sayang antara suami isteri dan kekasih. Tidak perlu ada hari tertentu untuk meraikannya,” katanya di Ibu Pejabat Pas, semalam.

Katanya, sebagai parti memperjuangkan Islam, pihaknya bertanggungjawab menentang sambutan itu terhadap umat Islam.

Pendirian itu turut disokong oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahad lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukanlah satu pendirian yang baik.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Pas yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.

Beliau juga menggesa Pas menarik balik pendirian tersebut sebelum 14 Februari.

Menurut Nasrudin, Pemuda Pas sentiasa menghormati hak orang lain dan mereka tidak akan campur tangan dalam urusan agama lain, sebaliknya mereka menegur sikap golongan muda Islam yang meraikan sambutan Hari Kekasih.

“Jika Karpal mahu bercakap soal hak asasi dan hak individu dalam meraikan sesuatu sambutan, maka beliau juga perlu menghormati umat Islam yang terikat dengan tatacara digariskan dalam Islam. Itu yang kita tegaskan dan Karpal perlu memahami perkara ini,” katanya.

Katanya, Majlis Fatwa jelas menyatakan umat Islam dilarang meraikan sambutan Hari Kekasih itu kerana ia bukan daripada ajaran Islam.

Nazri nasihat Shahrizat bayar RM250j

Menteri Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masya­rakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang menasihatkan demikian berkata, itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan.

“Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan,” katanya.

Nazri berkata, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC.

“Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Ria di pekarangan pejabat Umno Bahagian Padang Rengas di sini, semalam.

Najib Mengadap Sultan Johor Bincang Pengganti Ghani Othman

Kedudukan Menteri Besar Johor, Ghani Othman yang disokong kuat Najib rupanya dikatakan tidak disenangi baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sehingga Najib dan Rosmah Mansor terpaksa mengadap baginda di Istana Pasir Pelangi, Johor Bharu, petang tadi.

Najib yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri berkenaan dikatakan berusaha memujuk Sultan supaya membenarkan Ghani meneruskan tugasnya buat sepenggal lagi tetapi dikhabarkan Sultan tidak bersetuju.

Ada juga cerita yang mengatakan selepas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dikatakan kembali bertanding di negeri asalnya, Najib bergegas mengadakan satu mesyuarat tertutup dengan pemimpin Umno negeri membincangkan strategi untuk membalas berita yang mengejutkan itu, walaupun dinafikan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim petang tadi.

Razali menafikan dakwaan Pakatan Rakyat sambil kunun persetujuan melantik Salahuddin menjadi menteri besar hanya angan-angan semata-mata.

Sekiranya Razali menganggap cabaran Pakatan Rakyat sebagai angan-angan, mengapa bosnya yang baru pulang dari Australia terpaksa mengadap Sultan Ibrahim secara mengejut??

Telah menjadi rahsia rakyat negeri ini bahawa Ghani sudah mula tidak disenangi kerana tindakannya yang membelakangkan almarhum ayahanda baginda semasa menjadi sultan sehingga mangkat pada 22 Januari 2010.

Sultan Ibrahim yang mengetahui hal tersebut dikatakan menjauhi Ghani menurut sumber-sumber yang rapat dengan pentadbiran negeri.

Baginda dikatakan lebih tegas dengan Ghani dalam soal pemerintahan sehingga Muar diisytiharkan sebagai bandar diraja dimaklumkan sendiri baginda.

Pengganti Ghani sudah ada, namun keputusan sama ada Sultan Ibrahim menerima atau tidak tertakluk kepada budi bicara baginda apabila pilihanraya umum selesai kelak.

Selepas majlis ulang tahun ke-15 Danga Bay di Pusat Konvensyen Danga Bay yang dirasmikan Sultan Johor, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengadap Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam berakhir dengan majlis santapan petang.

Malam ini Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan ke Johor menghadiri sambutan perarakan chingge di Dataran City Centre, Johor Bahru.

MB Terengganu label PAS ‘parti ajaran sesat’

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan tunduk kepada desakan Pas yang memberi tempoh tiga hari agar beliau menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Malah, Ahmad bersedia disaman oleh Pas berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana yakin dakwaan terhadap Pas itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak bukti kukuh.

“Ikut pandai dia lah (terserah pada Pas), saya tunggu (bila Pas akan saman). Saya tak akan tarik balik.

“Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah. Tapi dia kata kita (BN dan UMNO) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di daerah ini hari ini.

Ahmad diminta mengulas mengenai pendiriannya berhubung desakan Pas agar beliau menarik balik kenyataannya selepas melabelkan Pas ‘parti ajaran sesat’.

Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Ahmad agar menarik balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan ‘parti ajaran sesat’.

Amaran itu dinyatakan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bahawa sekiranya dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik kenyataannya, parti itu akan mengambil tindakan terhadapnya.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, penyelewengan dan kesesatan yang dibawa Pas terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Bukti jelas dan nyata, kata beliau, adalah ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah.

“Selagi Tok Guru mereka (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah Pas berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” tegasnya.

SPRM Perlu Segera Siasat Muhyiddin

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyoal siasat Timbalan Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yasin berhubung skandal lembu Fidlot (NFC).

Menurut beliau, Muhyiddin seharusnya menjadi orang pertama dipanggil memandangkan beliau merupakan orang yang meluluskan dana RM250 juta kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Isu pokok NFC adalah salahguna kuasa dan pemberian dana sebegitu besar pada keluarga menteri. Ini membenarkan lagi bagaimana amalan rasuah yang begitu menyerlah berlaku dalam kerajaan.

"Keduanya adalah wang negara dan wang rakyat berjumlah RM250 juta diserahkan kepada kroni yang tidak ada pengalaman langsung dalam bidang ternakan lembu.

"Saya rasa orang-orang Umno lebih faham tindakan Muhyiddin tersebut menyerahkan projek mega yang begitu besar kepada keluarga Shahrizat." kata beliau.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan SPRM yang masih tidak memanggil Muhyiddin untuk di soal siasat sedangkan hal tersebut adalah perkara asas siasatan.

"Saya kira sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap Muhyiddin sekarang akan diberi persepsi oleh rakyat sebagai sudah terlambat.

"Saya tidak mahu memperkatakan sesuatu perkara yang tidak berfakta tetapi SPRM perlu bersikap profesional dan tidak memilih bulu.

"Janji BN dan tranformasi Najib akan dianggap sebagai hipokrasi sekiranya masih agensi-agensi kerajaan masih bersikap menjaga kepentingan pemimpin tertenyu." kata beliau ketika di hubungi.

Pada 8 Februari lalu, Rafizi turut mendedahkan maklumat terbaru kepada pihak media berhubung dakwaan pembelian dua kondo mewah di Singapura oleh NFC bernilai RM34.6 juta.

Sehubungan itu pada sebelah petangnya pula Shahrizat dipanggil oleh SPRM untuk di soal siasat. Shahrizat sebelum itu telah mengambil cuti selama tiga minggu namun SPRM tidak mengambil sebarang tindakan menyiasat terhadap beliau.

Ketika ditanya kepada Rafizi kenyataan Muhyiddin bahawa BN tidak tergugat dengan serangan pembangkang kerana isu yang dibangkitkan membabitkan serangan individu beliau berkata kenyataan tersebut disebabkan Muhyiddin merasakan diri beliau tidak lagi selamat.

"Muhyiddin telah merasakan diri beliau tidak lagi selamat kerana orang Umno sendiri telah tahu agenda disebalik pemberian projek tersebut kepada keluarga Shahrizat.

"Lagi pun ini bukan isu individu, isu ini libatkan dana rakyat bernilai RM250 juta. Rakyat nak tahu kemana wang tersebut telah disalurkan dan apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat hasil dari sumbangan wang mereka keluarga menteri tersebut." kata beliau.

Menurut beliau, gesaan Pakatan Rakyat supaya ditubuhkan suruhanjaya di raja untuk menyiasat isu NFC dianggap jalan terbaik.

"Inilah yang Muhyiddin takutkan kerana beliau bimbang dengan trand sokongan rakyat yang semakin menolak BN disebabkan pelbagai amalan rasuah dan salah guna kuasa amat berleluasa berlaku ketika BN memerintah negara." kata Rafizi lagi.

Salahuddin : Kubu kuat Johor akan runtuh

Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan dapat menakluki Johor sekali gus memadamkan stigma bahawa negeri itu kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Keyakinan tersebut disuarakan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diuar-uarkan akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Salahuddin berkata, persoalan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Johor jika PR berjaya menakluki negeri ini bukan menjadi matlamat utama mereka.

“Soal siapa jadi Menteri Besar, itu perkara tidak berapa penting. Tetapi apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan PR menang di Johor pada PRU13.

“Saya lihat politik perkauman tidak ada tempat dalam negara mahupun di Johor ini. BN tidak boleh berbangga Johor akan menjadi kubu kuat mereka kerana kita akan meruntuhkan kubu kuat ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR Johor, di sini, semalam.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Salahuddin juga menegaskan hanya akan memberi kepastian sama ada dirinya bertanding di Johor, akhir bulan ini.

Sementara itu, desas-desus untuk meletakkan Salahuddin sebagai Menteri Besar Johor semakin kuat apabila pemilihan beliau mendapat lampu hijau PKR Negeri.

Pengerusinya, Datuk Chua Jui Meng mengakui tindakan Pas membawa balik Salahuddin untuk bertanding di negeri ini memberi peluang besar dalam usaha PR menakluki Johor.

“Dia (Salahuddin) berasal dari Tanjung Piai dan dia seharusnya balik ke Johor. Beliau akan membantu mengetuai Pas dalam PRU13 dan PKR Negeri mengalu-alukan kepulangannya ke sini.

“Kita belum bincang siapa menjadi Menteri Besar, biar kita menang dulu baru boleh bercakap mengenai siapa jadi Menteri Besar. Saya percaya kehadiran beliau bertanding di negeri ini menyumbang kepada kemenangan PR di negeri ini.

“Beliau merupakan calon yang progresif Pas dan diterima semua kaum. Beliau adalah calon muka baru bagi Johor dan akan membantu PR menang di sini," katanya.

Turut hadir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kaw Meng bersama hampir seribu orang awam yang turut serta ke majlis rumah terbuka yang diadakan dari jam 11 pagi hingga 2 petang itu.

Dalam pada itu, Jui Meng juga tidak menolak kemungkinan PKR akan mengikut jejak langkah Pas untuk menurunkan calon dari Pusat bagi bertanding di kerusi di negeri ini.

Umno : Sharizat tidak perlu letak jawatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak ada sebab untuk meletakkan jawatan ekoran isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Datuk Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan Umno berkata, Shahrizat tidak seharusnya meletakkan jawatan kerana suaminya yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFCorporation tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

“Shahrizat tidak seharusnya dibebani dengan masalah NFC ini kerana beliau tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut walaupun suaminya mempunyai kaitan.

“Itu adalah satu kebetulan. Shahrizat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang suaminya untuk berniaga. Tambahan pula, jika suami atau isteri menteri tidak berniaga, apa lagi kerja yang mereka boleh lakukan,” katanya di sini, malam tadi.

Ahmad berkata demikian sebagai respons kepada desakan beberapa pihak supaya Ketua wanita Umno itu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti bagi melicinkan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu NFC.

Beliau turut berkata, geran bernilai RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat tersebut bukan diperuntukkan secara percuma, sebaliknya ia adalah satu bentuk hutang yang perlu dibayar.

“Selain itu, NFC, sama seperti lima atau enam syarikat lain, mereka turut bertanding untuk mendapatkan tender di mana mereka akan membuat pembentangan atau taklimat dan hanya syarikat terbaik sahaja yang terpilih.

“Tambahan pula, syarikat tersebut mendapat kelulusan projek dari Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) dan bukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipegang oleh Shahrizat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, jawatankuasa NFC juga telah memutuskan bahawa Shahrizat tidak ada kaitan dengan syarikat tersebut.