Pages

Salahuddin Ayub sahkan tanding di Johor

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akhirnya mengesahkan hasrat mahu bertanding di Johor, kampung halamannya, dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun belum menetapkan mana-mana kerusi, beliau berkata kerusi seperti Pulai, Tanjung Piai dan Batu Pahat "dilihat menarik" untuknya pada masa ini.

"Saya tiada masalah jika pucuk kepimpinan parti sedia beri laluan di kerusi-kerusi yang saya sebutkan tadi," katanya kini yang bertugas sebagai anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau mengumumkan perkara itu hari ini dalam pertemuan denagn beberapa media terpilih dan penulis blog di sebuah hotel di Skudai hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat dan anggota jawatankuasa PAS pusat Mazlan Aliman.

PKR tidak tunduk ugutan saman NFCorp

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menegaskan, beliau dan rakan-rakannya dalam parti itu menghormati hak NFCorp untuk menyaman pihaknya berhubung siri pendedahan yang telah dibuat, tetapi tidak akan tunduk kepada ugutan bahawa akan dikenakan tindakan undang-undang.

Semalam, NFCorp membuat kenyataan media bahawa telah membuat satu laporan polis terhadap Rafizi, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita parti, Zuraida Kamaruddin mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta.

Nurul Izzah dan Zuraida merupakan Ahli Parlimen.

Kesalahan itu kononnya dilakukan ekoran tindakan Rafizi, Nurul Izzah dan Zuraid mendedahkan pembelian lapan unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Ketua Wanita Umno dan Menteri Pembangunan Wnaita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarga beliau dalam pembangunan KL Eco City pada satu sidang akhbar bulan lalu.

Shahrizat tidak akan kekal sebagai anggota Kabinet apabila tempoh perkhidmatan sebagai senator berakhir 8 April ini.

“Sementara saya menghormati hak NFCorp dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFCorp supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media, hari ini.

Rafizi yang membuat siri pendedahan sejak awal November lalu berlalu berkata, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes semasa.

“Sekiranya ada pendakwaan, saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFCorp dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku dalam NFCorp dibongkar wajib dihormati,” katanya lagi.

Malah Rafizi juga berkata, laporan polis NFCorp semalam tidak sedikit pun mengganggu perancangan PKR untuk meneruskan siri pembongkaran baru minggu depan, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Nik Aziz kesal ada pihak persenda nama Jalan Tok Guru

Kerajaan Kelantan akan terus mengabadikan nama tokoh dalam bidang tertentu di negeri ini, untuk dijadikan contoh atau ikon kepada generasi baru yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sejak mengambil alih teraju pentadbiran negeri itu pada 1990, beberapa nama tokoh diabadikan pada nama jalan atau tempat di negeri ini.

"Selain memberi penghormatan kepada tokoh berkenaan, langkah itu juga dapat memberi pengetahuan dan sejarah kepada generasi muda mengenai peranan yang dimainkan oleh tokoh tersebut kepada masyarakat terdahulu, malah dapat mengangkat martabat dan jasa mereka kepada negara," katanya pada majlis ulang tahun ke-75 jubli intan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Perempuan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau dianugerahi Tokoh Jubli Intan sempena sambutan ulang tahun ke-75 sekolah agama itu.

Nik Abdul Aziz berkata, beberapa tempat ditukar dengan nama baru, seperti Pasar Pusat Buluh Kubu ditukar kepada Pasar Besar Siti Khadijah sebagai mengenang tokoh usahawan wanita di zaman Rasulullah S.A.W, Jalan Hospital kepada Jalan Abdul Kadir Adabi dan Jalan Pekeliling kepada Jalan Long Yunus dan Jambatan Tok Kenali.

Beliau kesal kerana ada pihak yang mempersendakan cadangan supaya Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) menamakan sebatang jalan di kawasan pihak berkuasa tempatan itu sebagai Jalan Tok Guru, kononnya untuk mengaitkan namanya sebagai pemimpin kerajaan negeri itu.

Katanya nama tok guru sebenarnya bukannya untuk mengaitkan nama beliau tetapi sebagai suatu penghormatan kepada guru agama di negeri ini yang banyak memberi sumbangan melahirkan ramai cendekiawan Islam di nusantara, sehingga Kelantan digelar sebagai serambi Mekah.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Bekas Pelajar sekolah itu memungut lebih RM200,000 sumbangan bagi membina masjid di perkarangan sekolah menengah tersebut yang kos keseluruhan bernilai RM3 juta.

Majlis perletakan batu asas pembinaan masjid itu akan disempurnakan Sultan Kelantan Sultan Mohammad V, esok.

Umno tidak faham konsep

Pas Selangor menegaskan Umno masih lagi tidak memahami konsep janji syurga yang sering dibawa parti itu, kerana Umno masih membezakan agama dengan politik.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman berkata, janji itu bukan rasuah politik seperti didakwa Ahli Parlimen Kota Belut, Datuk Abdul Rahman Dahlan, kelmarin.

Menurutnya, janji syurga merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam.

“Umno sejak dahulu lagi tidak faham konsep dibawa Pas, mereka membezakan perkara lain dengan agama.

“Walhal, minum air atau makan nasi lemak pun, mempunyai kaitan janji syurga, apatah lagi jika membabitkan mengundi pemimpin yang tidak zalim dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Rahman yang mendakwa, rasuah politik yang paling tertinggi, yang patut dikutuk adalah parti politik yang menjanjikan syurgajika pengundi memberi sokongan kepada mereka dalam pilihan raya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad pula menegaskan Pas akan tetap meneruskan kaedah tersebut untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ia bukannya rasuah politik dan tidak bercanggah dengan agama Islam.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, rakyat perlu mengetahui latar belakang calon yang akan dipilih menjadi wakil rakyat mereka, sama ada baik atau sebaliknya.

“Jika pengundi salah memilih calon yang zalim dan rasuah mereka tidak mendapat ganjaran syurga,” katanya.

Kelmarin, Abdul Rahman berkata, Pakatan Rakyat (PR) sering menuduh BN memberi rasuah apabila dikatakan sering menjanjikan sesuatu sebagai ganti kepada undi.

Wakil rakyat dari Umno itu berkata, pemimpin PR selalu terlupa mereka juga menjanjikan pelbagai perkara umpama ‘memberi bulan dan bintang’ sehingga janji itu sukar dilaksanakan.

Hati-hati jika mahu sokong Anwar kata Ibrahim Ali

Rakyat dinasihatkan berhati-hati sekiranya masih mahu menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Umum Ke 13, kelak.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menasihati rakyat agar menilai semula tindak-tanduk pemimpin pembangkang ini, sebelum berlakunya bencana kepada negara.

Menurutnya, Anwar tidak lekang dengan kontroversi, dibangkitkan oleh bekas pengikut setianya, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakarupan.

“Isu demi isu dikaitkan dengan Anwar malah ia bukannya kontroversi yang kecil, tetapi melibatkan isu moral pemimpin terbabit.

“Bukan Nallakarupan yang lantang bersuara, tetapi ramai lagi bekas pengikutnya, mula ‘membuka pekung’ Anwar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan zink kepada 250 mangsa ribut di Kelar, berjumlah RM 80,000, semalam.

Menurutnya, rakyat perlu mengambil serius terhadap semua pendedahan yang dilakukan bekas pengikut Anwar, agar tidak lagi hidup dalam pembohongannya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang itu menimbulkan isu baru, dengan menyokong Israel dan pluralisme kerana cuba beralih kepada sokongan kaum bukan beragama Islam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Anwar bijak bermain dengan sentimen mereka, kerana pemimpin PKR ini, hanya mahukan undi kaum lain.

“Anwar tidak lagi mendapat sokongan orang Islam dan Melayu, sebab itulah dia menggunakan pelbagai isu untuk memancing undi,” katanya, semalam.

BN-PR perlu bincang hapus PTPTN kata Gamis

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menggesa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat (PR) berhubung cadangan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukannya dengan mengkritik idea dibawah perikatan pembangkang itu.

Naib Presiden I Gamis, Eikhwan Ali berkata, kedua-dua BN dan PR harus melihat isu berkenaan sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac lalu iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Katanya, isu penghapusan skim pembiayaan pendidikan PTPTN bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan "isu yang dibawa untuk menjada hak dan kebajikan mahasiswa."

"Gamis menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang.

"Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga univerisiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara," kata beliau dalam satu kenyaatan media.

Eikhwan berkata, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa’ terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia.

Sehubungan itu kata beliau, inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 barisan mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini.

NFCorp dakwa 3 pemimpin PKR

National Feedlot Corporation (NFCorp) membuat satu laporan polis terhadap tiga pemimpin tertinggi PKR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin hari ini mendakwa mereka membocorkan rahsia dokumen bank syarikat itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, NFCorp mendakwa Rafizi melakukan kesalahan serius melanggar Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) apabila mengedarkan dokumen akaun bank yang sepatutnya rahsia kepada media pada 7 Mac lalu.

“Pada sidang media tersebut, bukan sahaja maklumat dan dokumen akaun bank NFCorp didedahkan tetapi juga akaun bank milik syarikat lain selain akaun individu pengarah juga diedarkan.

“Jika disabit bersalah mengikut Jadual Empat, Seksyen 103 BAFIA kerana melanggar Seksyen 97(1) dan (3) adalah penjara tiga tahun dan denda RM3 juta,” kata NFCorp dalam kenyataan itu.

Kata NFCorp lagi, pihak bank yang membocorkan rahsia ini patut disiasat kerana terlibat sekali melanggar BAFIA kerana mengeluarkan maklumat sulit pelanggan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran.

Tambah NFCorp, maklumat yang diedarkan itu adalah cetakan dalaman bank untuk penilaian kredit dan baki bank, bukannya penyata biasa yang dihantar kepada pelanggan atau maklumat yang boleh di muat turun dari internet.

“Adalah mudah bagi Bank Negara dan bank terbabit menjejaki dalang yang membocorkan maklumat itu berdasarkan kepada tarikh dan masa cetakkan itu dibuat.

“Bagaimanapun nama pegawai yang tercatat di dokumen itu telah sengaja dipadamkan,” kata mereka.(CIDB) Melaka bersama 10 badan dan agensi penguatkuasaan negeri, di sini.

Bekas Menteri UMNO & Pegawai Tinggi Kerajaan Temui Presiden PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau telah megadakan pertemuan dengan tokoh Umno termasuk bekas menteri dan exco Umno Selasa lalu.

Pemimpin PAS itu berkata, tokoh Umno berkenaan dari Johor, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Mereka pernah menjadi menteri dan exco berjumpa dan berbincang bagaimana mahu meyakinkan rakyat supaya menolak Umno, lapor laman web rasmi PAS Terengganu.

“Tokoh-tokoh Umno mahu PAS membuat perubahan politik dan menyelamatkan negara dari pemerintahan BN yang diterajui Umno.

“Saya turut dikunjungi oleh Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera.

“Jeneral-jeneral yang bersara, bekas pegawai tinggi polis Bukit Aman yang berjumpa (kerana mereka) melihat sudah muak dengan Umno, (mereka berkata) Umno kena berundur,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam ceramah di Dungun, Rabu lalu .

Menurut Abdul Hadi, pemimpin Umno berkenaan memaklumkan kepada beliau bahawa Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), ketua-ketua cawangan Umno dan imam-imam masjid adalah yang berpengaruh di kalangan masyarakat kampung.

Katanya, pengundi-pengundi peringkat kampung, peringkat Felda dikuasai oleh JKKK, Ketua-ketua cawangan (Umno) dan imam yang mereka lantik.

“(Cuma) 20, 30 orang sahaja yang menguasai beratus-ratus pengundi, (tetapi) rakyat yang miskin, yang terima duit, tak tahu apa,”jelasnya.

Perarakan ke pejabat PM bantah penyenaraian Felda di Bursa Malaysia

Kira-kira 200 orang berarak dari Masjid Putrajaya ke depan Pejabat Perdana Menteri tidak jauh dari situ bagi membantah penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Perhimpunan yang diketuai Pengerusi Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman (kiri) itu turut disertai, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Ketua Biro Felda PKR Suhaimi Said.

Orang ramai yang menyertai perarakan itu turut membawa sepanduk yang bertulis "kami tolak FGHV", "Selamatkan Felda" kain panjang yang ditandatangan orang ramai bagi menolak penyenaraian.

Mereka juga melaungkan melaungkan "Reformasi" dan slogan anti-Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berbunyi "Turun Isa Samad" dan "Isa Samad tipu peneroka".

Bagaimanapun, ketika hendak menyerahkan memorandum, hanya lima wakil sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam pejabat perdana menteri, termasuk A Samad, Mazlan, Suhaimi dan Pengerusi JINGGA 13 Fariz Musa.

"Kita dah beri penerangan pada (wakil pejabat Najib) S Azhar. Kita juga minta perdana menteri meluangkan masa untuk bertemu dan bersemuka dengan kita untuk nyatakan tuntutan daripada peneroka," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Mazlan sekali lagi mengulangi desakannya supaya perdana menteri agar membatalkan penyenaraian Felda kerana ia merupakan kepentingan orang Melayu.

"Bagaimana nasib orang Melayu nanti jika tanah orang Melayu nanti lenyap. Hampir 97 peratus Felda ini orang Melayu.

"Felda kini dalam krisis dan pergolakan yang mana ia tak pernah berlaku sebelum ini. Saya harap jangan sebab nak pertahankan Isa Samad, (seramai) 1.6 juta warga Felda hancur," katanya.

Perarakan itu juga kelihatan penuh warna warni apabila terdapat peniaga mengambil kesempatan baju-T kempen membantah penyenaraian FGVH.

5 negeri dalam bahaya kata Khir Toyo

Bekas Jawatankuasa tertinggi Umno Dr Mohd Khir Toyo telah menyenaraikan lima negeri yang mungkin sukar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya akan datang, kerana formula lama yang digunakan untuk meraih undi tidak lagi berkesan.

Antara negeri yang dinamakan Khir adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan juga Kuala Lumpur, yang mana jumlah pengundinya tidak mempunyai perbezaan ketara antara Melayu dan bukan Melayu.

“Ini adalah negeri yang sukar, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah, jika kita lihat pengundi di sini, bilangan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama dengan pengundi Melayu, jumlah mereka tidak banyak berbeza.

“Negeri-negeri ini dalam bahaya,” kata Khir (gambar) kepada The Malaysian Insider dalam temuramah eksklusif minggu lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata sementara Melayu masih lagi menyokong Umno, kebanyakan sokongan tersebut adalah daripada kumpulan pengundi di kawasan luar bandar, sementara pengundi “bandar” akan mengundi untuk Pakatan Rakyat (PR).

“Bukan kerana pembangkang bagus. tidak, mereka banyak kelemahan. Adakah mereka menunaikan janji mereka? Tidak.

“Namun pengundi bandar adalah sangat berbahaya di negeri-negeri ini. Masalahnya adalah menjadikan Umno terlalu dominan ... mungkin akan hilang negeri ini,” katanya.

Sementara Umno melakukan segala tugas BN akan menjadikan pengundi bukan Melayu seperti tidak berkuasa akan menyebabkan kurangnya sokongan kepada kerajaan.

“Saya belajar dari kesilapan saya. Menjadikan Umno terlalu dominan dalam BN adalah tidak baik. Kepimpinan negara perlu mempunyai strategi lain.

“Lihat PAS, mereka lebih berbahaya daripada Umno tapi bukan Melayu tetap menyokong mereka, kenapa? Kerana mereka tidak dominan dalam Pakatan,” tegas Khir.

Pemimpin Umno itu turut mengeluh kerana adalah sukar untuk mengukur sokongan terhadap BN daripada bangsa, dan menyalahkan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana tidak cukup agresif.
Isu lain menurutnya adalah masalah pertuturan antara pengundi bukan Melayu dan Umno.

“MCA, MIC sepatutnya turun padang dan bercakap dengan pengundi. Umno sudah lakukannya untuk Melayu.

“Bila Umno cuba untuk berkomunikasi dengan bukan Melayu, kadangkala berlakunya halangan dari segi bahasa, contohnya, di bandar, mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, tapi sesetengah pemimpin Umno tidak dapat memahaminya,” tambahnya lagi.

Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh” MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.

“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.

“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya.

Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan oleh sebab itu pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.

“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum pilihan raya.

“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat (Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”

Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu menyokong BN.

Nik Aziz berang dengan YB Kota Belud

Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.

Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.

Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.

Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.

“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.

“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Kelantan tak halang hiburan kata Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang program berbentuk hiburan diadakan di negeri ini asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menurutnya, Islam juga tidak menghalang ia diadakan kerana apa yang penting adalah pengisian yang ada padanya.

”Ini kerana agama kita membenarkan umatnya mencari hiburan kerana ia selaras dengan fitrah kehidupan manusia yang suka berhibur,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Pesta Air Tok Bali di sini, semalam.

Pesta tersebut dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim sebagai tuan rumah dan ramai lagi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini sudah banyak program berbentuk hiburan yang diadakan di negeri ini seperti Jom Heboh TV3, Sua Rasa TV9, Hari Hiburan Islam dan bermacam-macam lagi.

Bagaimanapun katanya, acara tersebut dipantau oleh Kerajaan Negeri agar ia sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan seperti golongan wanitanya menutup aurat, bersopan dan tidak melalaikan sehingga mendorong kepada kegiatan maksiat.

Sementara itu mengenai pesta air tersebut, beliau berkata, Tok Bali akan menjadi satu produk pelancongan yang menarik dan dapat membantu Kelantan mencapai sasaran pelancong seramai 6 juta pada Tahun Melawat Kelantan 2012.

”Acara yang diadakan seperti pertunjukan lumba perahu, jet ski, pertandingan ratu kuda serta bermacam-macam lagi acara lain dapat menarik orang ramai ke sini terutama mereka dari negeri jiran seperti Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil suatu hari nanti pesta air tersebut akan menjadi acara tahun yang dapat melonjakkan Tok Bali sebagai sebuah bandar baru pelancongan bertaraf dunia.

Rafizi buat tuntutan balas mengenai saman Shahrizat

Pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli membuat tuntutan balas terhadap saman RM100 juta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Mohd Rafizi mengemukakan tuntutan balasnya itu pada 8 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan mendakwa Shahrizat melancarkan serangan peribadi dan berdendam terhadapnya semasa berucap di perhimpunan Agung Wanita UMNO pada 30 November tahun lepas.

Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kata-kata Shahrizat itu telah diterbitkan semula dalam laman web, media cetak dan 'online' yang membawa maksud Mohd Rafizi tidak jujur, tidak setia, penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa dan agama.

Antara yang dituntut Mohd Rafizi ialah gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera yang mendengar tuntutan itu hari ini, menetapkan 12 April untuk pengurusan kes.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Mohd Rafizi dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin, berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya (Shahrizat).

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Ketua Wanita Umno itu juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadapnya berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) atau syarikat-syarikat bersekutu.

Shahrizat mendakwa kedua-dua defendan secara bersistem dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadapnya.

Shahrizat diwakili peguam Nurul Nabila Zamri manakala Mohd Rafizi, peguam Ranjit Singh, dan Zuraida pula diwakili oleh S. Ravindran.

21 Orang Pemuda Umno Pulau Pinang Sertai PAS

Ketika riuh rendah Umno menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang, seramai 21 orang dari Pemuda Umno Kampong Dodoi Pulau Pinang menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS.

Mereka berbuat demikian dalam satu majlis yang diadakan di perkarangan Pasti cawangan Kampong Dodoi malam ini.

Berucap dalam majlis penyerahan borang ialah Ustaz Taqiyudin Hamzah YDP PAS Jelutong dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menerima borang permohonan menjadi ahli PAS dari mereka.

Beliau turut memberi ucapan dan mengalu-alukan penyertaan Pemuda Umno yang membuat pilihan yang tepat dalam keputusan mereka.

"Ini satu kehebatan kerana di sebalik serangan bertubi-tubi Umno terhadap PR di Pulau Pinang dan PAS, mereka tetap bertegas untuk bersama PAS," kata Mujahid dalam ucapan itu.

Dr Mujahid juga menyatakan bahawa PAS adalah parti pilihan terbaik untuk orang Melayu Pulau Pinang memandangkan kerajaan yang memerinah hari ini adalah dari Pakatan Rakyat.

Dengan memberikan sokongan kepada PAS, suara orang Melayu akan dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan, jikalau tidak Umno akan menjadikan orang Melayu sebagai umpan politik mereka dan akhirnya merugikan orang Melayu di Pulau Pinang.

Turut hadir ialah Ketua AMK Jelutong sdr Khairil Anuar Kamarudin.

Menurut Pemuda Umno yang berhijrah ke PAS, mereka sudah muak dengan sikap Umno yang hanya menggunakan mereka bila diperlukan tetapi dalam banyak keadaan meminggirkan sumbangan mereka.

Sukar nak ramal keputusan PRU13 kata Dr. M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan".

Beliau berkata pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.

"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap utama bertajuk 'Bahasa - Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu' pada Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa di sini.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris bukan bermaksud seseorang itu perlu melupakan bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa.

"Bahasa Melayu mesti terus dipupuk kerana mungkin satu hari nanti ia akan menjadi bahasa ilmu tetapi hakikatnya ketika ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris, jadi kita perlu menguasainya," kata beliau.

Dr Mahathir berkata peranan bahasa di zaman moden ini juga bukan sekadar menjadi penentu identiti sesuatu bangsa tetapi juga untuk menjadikan bangsa itu sebagai bangsa terpelajar.

Status Anwar boleh dicabar

Usul untuk mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada persidangan Dewan Rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.

Beliau berkata sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.

"Namun ianya tetap perlu dibahas di dewan terlebih dahulu. Kita berpandu kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan...tidak ada satu pun dari tiga elemen itu yang memberi ruang dan peluang seseorang boleh membuatkan satu usul dalam dewan untuk membuat satu impeachment terhadap seseorang.

"Terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kulim/Bandar Bharu Datuk Zulkifli Noordin semalam yang berkata anggota Parlimen berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.

Kenyataan itu turut disokong Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah bahawa usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula percaya jika dibahaskan, usul 'impeachment' Anwar itu boleh berjaya bersandarkan kekuatan jumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang pasti akan turut mendapat sokongan anggota Parlimen Bebas.

Dewan Rakyat tolak usul bincang isu dagang dengan Israel

Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk membuat ketetapan mengharamkan semua bentuk hubungan dengan Israel, termasuk hubungan perdagangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan itu atas alasan ia telah dibangkitkan sebelum ini, dan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telahpun memberi penjelasan pada 26 Mac lalu.

"Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(b)," katanya.

Usul itu dibawa oleh Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta dewan membahaskan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi menggesa Perdana Menteri menarik balik semua keputusan Jemaah Menteri berhubung perdagangan dengan Israel pada 1996.

Er turut meminta kerajaan mengiktiraf kewujudan Hamas atau parti politik yang dilantik secara demokrasi oleh rakyat Palestin.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang sambut saman Guan Eng

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin berkata, beliau menyambut baik hasrat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung isu penjualan tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara di sini.

Katanya, menerusi tindakan undang-undang itu kelak, isu penjualan tapak masjid dan tapak sekolah berkenaan dapat didedahkan dalam mahkamah.

"Biar rakyat negeri ini tahu apa sebenarnya kerajaan negeri telah buat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik Lim sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana didakawa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat mengenai isu penjualan tanah berkenaan.

Shaik Hussein berkata, sehingga sekarang Lim masih tidak menjawab dakwaan bahawa tapak masjid dan tapak sekolah yang diluluskan untuk fasa satu Bayan Mutiara itu telah dijual sebaliknya Ketua Menteri itu telah mengalih isu penjualan tanah itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan isu perkauman.

"Persoalan utama adalah isu penjualan tapak masjid dan tapak sekolah. Kalau betul telah jual, akuinya dan bagi tapak baru untuk bina masjid di kawasan yang sama dan jangan hendak tutup isu berkenaan," katanya.

Shaik Hussein berkata, Pemuda Umno Pulau Pinang tidak akan berdiam berhubung isu itu dan akan terus bersuara sehingga kerajaan negeri mengembalikan tapak masjid dan tapak sekolah di Bayan Mutiara.

Hasan Ali nafi tuduhan Azmin Ali

Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menafikan tiga perkara yang didakwa oleh Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri Jumaat lalu, sebaliknya menuntut Timbalan Presiden PKR itu menjawab lima persoalan sebelum mempersoalkan kredibiliti pihak lain.

Salah satu persoalan, menurut Hasan, beliau mahu Azmin menjelaskan dari mana sumber kewangannya bersama isteri untuk membeli saham mencecah RM2juta pada 1992 hingga 1994.

Katanya, Azmin juga perlu menafikan laporan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia S.A Vickneswaran yang mendakwa dia bersama isterinya termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5juta pada awal 90-an.

Hasan terus menuntut Azmin untuk menafikan tuduhan adik kandunganya, Ummi Hafilda yang mengatakan dia sudah lapan bulan tidak menziarahi ibunya yang kini berusia 78 tahun dan berada dalam keadaan uzur.

Malah, Hasan berkata, Azmin juga perlu menyahut cabaran para blogger yang memintanya untuk menjalankan ujian DNA ke atas anaknya di klinik diiktiraf kerajaan untuk menentukan kesahihan biologinya.

Menurutnya, beliau mahu Azmin menafikan tuduhan dibuat dalam buku karangan Syed Hussin Al-Attas bertajuk 'Tuhan, Politik dan Seks' yang mendakwa Azmin mengetahui hubungan intim isterinya bersama Penasihat PKR merangkap ketua pembangkang.

Hasan menegaskan, beliau menimbulkan persoalan tersebut kerana padanya Azmin tidak mempunyai 'locus-standi' untuk berbicara mengenai soal intergriti, ketelusan dan soal kredibiliti.

PKR dan DAP perlu bertolak ansur kata MB Kedah

Menteri BesarKedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta kepimpinan PKR dan DAP di negeri itu bertolak ansur dalam isu berkaitan dengan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, kedua-dua parti perlu mencari jalan penyelesaian terbaik berdasarkan situasi menang-menang untuk menghadapi PRU13.

“Agihan kerusi antara Pas dan PKR sudah selesai dan kita masih mengekalkan formula berdasarkan apa yang dipersetujui pada PRU 2008.

“Namun antara PKR dan DAP masih ada sedikit lagi yang sedang dibincangkan…rundingan masih dijalankan dan kita sebagai abang tua, berharap mereka boleh mencapai kata sepakat berdasarkan situasi menang-menang,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Pelubang sempena Hari Air Sedunia 2012, semalam.

Difahamkan sehingga kini rundingan mengenai agihan kerusi antara kedua parti itu masih belum dapat diselesaikan berikutan pertembungan antara PKR dengan DAP berkenaan kerusi Parlimen Alor Setar dan Padang Seraiselain kerusi Dun melibatkan kawasan Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas serta Derga.

Azizan berkata, perkara itu tidak terlalu penting kerana mereka tidak boleh bergaduh sesama sendiri sebaliknya memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi PRU serta bertolak ansur dalam sesuatu perkara.

Pada PRU12, Kedah yang mempunyai 36 kerusi Dun, Pas bertanding di 24 kerusi manakala PKR (10 kerusi) dan DAP (dua).

Daripada jumlah itu, Pas menang 16 kerusi, PKR lima kerusi dan DAP menang satu kerusi.

Bagaimanapuan, dua daripada lima wakil rakyat PKR kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Agihan kerusi antara PKR dan DAP kembali hangat bulan lalu apabila Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik meminta penjelasan daripada Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Ahmad berikutan kenyataannya yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana menganggap agihan kerusi PKR dan DAP sudah selesai.

Shahrizat jelajah sepanjang negeri menjelang PRU13

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan bertemu ketua wanita setiap negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas bagi menentukan nama calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata, pertemuan terakhir itu adalah bagi mendapatkan senarai calon untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pertemuan itu untuk mendapatkan cadangan terakhir dan sudah semestinya nanti akan ada penambahan calon wanita Umno pada PRU13,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Keluarga di Dataran Sejarah, di sini, semalam.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita Umno juga telah bersiap sedia menghadapi PRU13.

“Saya yakin pengundi wanita akan bagi sokongan hebat kepada Perdana Menteri kerana di bawah kepimpinan Perdana Menteri, isu-isu wanita mendapat pembelaan yang tiada tolok bandingnya,” katanya.

Saya bukan calon Menteri Besar kata Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau bukanlah calon Menteri Besar Terengganu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menurutnya, beliau akan memberi laluan kepada muka-muka baru untuk menerajui kepimpinan negeri selain mendedahkan Pas sudah mengenalpasti beberapa calon berpotensi memegang jawatan itu.

“Apapun keputusan akhir terletak kepada pucuk pimpinan parti dan kita akan mengikut arahan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di sini, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan mungkin tidak akan bertanding pada PRU13 berdasarkan kepada khidmatnya yang sudah terlalu lama menyandang jawatan Yang Berhormat.

Katanya, beliau tidak berhasrat bertanding pada PRU13 bagi memberi laluan kepada tenaga muda. Jikapun diperlukan beliau hanya akan bertanding satu kerusi.

Namun pada 2 Februari lalu, pucuk pimpinan Pas membuat ketetapan menolak hasrat Hadi tersebut kerana menyifatkan perkhidmatannya masih diperlukan.

Hadi pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 selepas Pas merampas negeri itu dari Barisan Nasional (BN). Beliau sekarang adalah Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Redang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut mengumumkan Saiful Bahri Mamat sebagai calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Paka, untuk PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Abdul Wahid berkata, persiapan menentukan siapa calon perlu diteliti sebaiknya supaya pengundi boleh menerima calon tersebut.

“Yang pasti calon itu boleh menang, kita menang kerana semua orang undi. Calon mestilah diterima Melayu, Cina ataupun India,” katanya

Anwar saman Nalla sandiwara politik kata Zahrain

Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim mendakwa tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman Senator Datuk S. Nallakaruppan RM100 juta kerana memfitnahnya adalah sandiwara politik.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya menyaman Nallakaruppan atas kenyataannya yang didakwa memfitnah Ketua Pembangkang itu sejak dulu lagi dan bukan hanya pada masa kini.

Zahrain mendakwa tindakan Anwar menyaman Nallakaruppan pada Selasa lepas hanya bermotifkan politik untuk meraih undi memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir.

Beliau berkata demikian bagi menggulas kenyataan Nallakaruppan semalam yang tidak akan berganjak daripada kenyataannya yang didakwa Anwar sebagai "tuduhan memfitnah dan berniat jahat."

Selasa lepas, Anwar memfailkan tindakan undang-undang ke atas Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) terhadap kenyataan Nallakaruppan itu yang disiarkan oleh akhbar tersebut.

Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Anwar melalui firma Edwin Lim Suren & Soh telah menghantar surat tuntutan bagi meminta Nallakaruppan dan UMMB menarik semula berita itu, memohon maaf serta membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta ekoran penyiaran artikel tersebut.

Wanita Umno ikrar sokong padu PM dan BN kata Shahrizat

Pergerakan Wanita Umno berikrar memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat sebagaimana dibayangkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kaum wanita amat menghargai kestabilan politik, perpaduan kaum dan pembangunan ekonomi yang sentiasa menjadi perhatian kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

"Saya yakin bahawa pengundi wanita untuk PRU-13 akan bagi sokongan yang hebat kepada Perdana Menteri dan kepimpinan beliau.

"Isu-isu wanita mendapat pembelaan yang tiada tolok bandingannya kerana semuanya diambil tahu," kata Shahrizat kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2012 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Dataran Sejarah di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tiada sebab untuk kaum wanita terutamanya Wanita Umno tidak menyokong kepimpinan Najib.

Shahrizat berkata beliau akan bertemu dengan ketua-ketua wanita Umno negeri untuk mendapatkan senarai nama calon PRU13 dalam masa terdekat.

"Ini merupakan pertemuan terakhir untuk mendapatkan senarai nama calon yang sebenarnya sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri," katanya.

Mengenai pertambahan calon wanita Umno pada PRU13, beliau berkata inilah yang diharapkan namun masih belum dapat diputuskan.

Sementara itu, Mohd Ali selaku Pengerusi Badan Perhubungan BN Melaka yakin BN akan memenangi majoriti dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRU13.

Beliau berkata Umno negeri sedang menyiapkan senarai calon seperti yang diminta oleh Perdana Menteri.

PAS tidak masuk campur isu saman Anwar

Pas menegaskan pihaknya tidak pernah masuk campur dalam isu saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas rakan karibnya, Senator Datuk S Nallakarupan.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu itu tidak pernah ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat Pas sebelum ini.

“Jika ada pihak yang menuduh Pas mendesak Datuk Seri Anwar, itu tidak betul, kita tidak pernah bincang hal ini dan kita juga tidak mahu masuk campur dalam hal ini.

“Pada pandangan Pas, isu itu adalah masalah peribadi antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Nallakarupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Tuan Ibrahim, Anwar berhak untuk menyaman sesiapa sahaja jika beliau merasakan perkara itu tidak benar dan tindakan itu mampu membersihkan maruahnya terhadap tuduhan yang dilempar.

Semalam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Noor mendakwa Anwar memfailkan notis mahkamah terhadap Nallakarupan dan sebuah akhbar baru-baru ini kerana desakan dalaman Pakatan Rakyat (PR).

Dakwannya lagi, sejak 2004 lagi, Anwar sering dituduh sebagai seorang homoseksual dan mengamalkan hidup biseksual, namun kali ini barulah beliau berani mengugut untuk saman.

Menurut Ezam, ini adalah kerana tekanan dalaman, khususnya daripada pemimpin Pas yang semakin sangsi dan mahukan Anwar membersihkan namanya secepat mungkin.

“Daripada maklumat sahabat saya dalam PR, Anwar berani kali ini kerana beliau mahu membendung desakan daripada pemimpin Pas, selain mahu menunjukkan beliau ada melakukan sesuatu.

“Jadi apa yang Anwar boleh buat adalah saman. Dulu mungkin Anwar selamat kerana pemimpin Pas tidak desak, tetapi sekarang beliau kena pertahankan dirinya,” katanya.

Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Anwar melalui firma Edwin Lim Suren & Soh menghantar surat tuntutan bagi meminta akhbar terbabita menarik semula berita itu, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta.

BN yakin rampas Telok Kemang

Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas semula Parlimen Telok Kemang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar sedia ada yang digubal Kerajaan Negeri untuk menyejahterakan rakyat mampu meyakinkan mereka terhadap kerajaan pimpinan BN.

“Walaupun Parlimen Telok Kemang kalah pada 2008, saya yakin dan percaya BN akan merampas semula parlimen dan beberapa kerusi yang telah tewas sebelum ini.

“Meskipun ada beberapa kesilapan yang kita pernah buat, kita akan perbetulkannya dengan persediaan rapi untuk menghadapi PRU13 sebagai isyarat akan merampas semula kerusi yang kalah pada 2008,” katanya pada Majlis Penyerahan Rumah Mampu Milik Berkualiti di Taman Intan Duyung, di sini, semalam, sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Negeri Sembilan.

Mohamad berkata, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang dilemparkan pembangkang kepada kerajaan.

“Mereka hanya pandai mengutuk, malah setiap program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua turut dijadikan isu bagi mengaburi rakyat.

“Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) juga dikatakan mereka sebagai bantuan rasuah. Dakwaan mereka tidak betul dan saya hairan mengapa mereka sanggup berkata demikian dan membuat fitnah terhadap usaha baik kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan telah mensubsidi RM10,000 bagi setiap unit rumah kos rendah yang dibina di Taman Intan Duyung untuk penduduk berpendapatan rendah.

“Sebanyak 70 unit rumah kos rendah berkeluasan 1,100 kaki persegi telah siap dibina dan akan dijual secara ‘cabut undi’ berikutan permintaan tinggi daripada masyarakat setempat.

“Rumah tiga bilik ini pada asalnya berharga RM52,000 namun kerajaan memberi subsidi sebanyak RM10,000 yang membolehkan ia dijual dengan harga RM42, 000 seunit,” katanya.

Usah termakan auta pembangkang kata Najib

Rakyat dinasihatkan jangan terpengaruh auta pembangkang yang mahu menggugat keyakinan pada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang akan mencari isu, sama ada ada fakta atau tidak kerana pilihan raya semakin hampir.

“Rakyat mesti bezakan antara fakta dan auta. Saya lihat banyak yang diutarakan pembangkang bukan fakta tetapi auta, kalau lebih banyak auta daripada fakta, kita tidak boleh pakai orang yang banyak membawa auta daripada fakta. Kerajaan BN tak cari populariti semata-mata.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kita berikan, mereka tuduh duit haram, kita pinjam bank dunia dan ia rasuah politik. Tiga tuduhan ini dilemparkan kepada kita, tapi bila kita buka kaunter BRIM, pembangkang terpacul untuk dapat bantuan, kadang-kadang dia lebih awal daripada penyokong BN.

“Kalau kata duit haram, nak beli rasuah politik, janganlah terima daripada kerajaan. Muka tak malu, muka tebal. Ini yang kita kata ‘auta belit’,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Perdana 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, semalam, sempena lawatan sehari beliau ke Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan pimpinan BN berdiri atas fakta di mana telah mengurus tadbir negara dengan baik dan memulangkan hasilnya kepada rakyat.

Manifesto pembangkang tidak masuk akal kata ADUN UMNO

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat menganggap manifesto pembangkang memberi bekalan air percuma bagi 20 meter pertama kepada pengguna domestik adalah helah yang tidak masuk akal.

Rozi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu mengingatkan pembangkang, agar tidak bercakap kosong kerana beliau percaya apa yang dijanjikan seperti di dalam manifesto yang tergantung di bahu-bahu jalan adalah mustahil untuk dilaksanakan.

“Macam mana hendak beri air percuma, semua yang bekerja di dalam syarikat itu perlu dibayar gaji, lainlah kalau mahu menggunakan air sungai, memang ia percuma.

“Mari ramai-ramai bawa baldi pergi ke sungai dan ambillah seberapa banyak air sekali pun kerana ia memang percuma dan tidak perlu dibayar,” katanya.

Dalam nada berseloroh itu, Rozi yang sudah lama bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN) dapat menduga helah itu sebenarnya adalah bagi mengaburi mata rakyat terutamanya golongan warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman.

Oleh itu, beliau berharap supaya rakyat bijak dalam membuat keputusan dan penilaian serta mengingat kembali apa yang berlaku sewaktu pembangkang memerintah.

Tiada tindakan ke atas Hasan Ali kata MB Selangor

Kerajaan Negeri tidak akan ambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dituduh boros guna peruntukan hampir RM300,000 untuk mengubah suai pejabatnya ketika menjawat jawatan Exco.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbelanjaan itu sudah dibincangkan sebelum ini dan ia mengikut tatacara ditetapkan Perbendaharaan, bagaimanapun sesiapa pun boleh mempersoalkan sama ada nilai berkenaan tinggi atau rendah.

“Saya rasa tidak ada sebab (ambil tindakan terhadap Hasan) berhubung perbelanjaan itu kerana ia mengikut tatacara Perbendaharaan.

"Kita amalkan polisi ketelusan umpamanya saya kena bentangkan perbelanjaan dan penggunaan dalam Selangor, sudah tentulah orang boleh bangkitkan atau nyatakan apabila mereka lihat nilai tersebut,” katanya selepas merasmikan Muzium Insitu Jugra, di sini, semalam.

Jumaat lalu, Azmin dedahkan tiga isu melibatkan Hasan iaitu guna peruntukan untuk baik pulih pejabat Exco membabitkan kos RM300,000, sedangkan menteri besar sendiri tidak ubah suai pejabat.

Menurutnya, pejabat Exco yang didakwa dibaik pulih itu merupakan bangunan baru kerana pejabat lama yang terletak berhampiran premis tersebut terlalu padat.

“Dia (Azmin) buat perbandingan dengan pejabat Menteri Besar sedia ada yang tidak diubah,” katanya.

Abdul Khalid bagaimanapun tidak mengulas mengenai dua lagi dakwaan Azmin mengenai pembaziran Hasan melaksanakan program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan amalan tender terus yang dikaitkan dengan bekas Pesuruhjaya Pas itu.

Ditanya kemungkinan dakwaan terbabit menimbulkan kontroversi kerana pendedahan dibuat selepas Hasan dipecat daripada Pas, Abdul Khalid menyifatkan, tiada sebab untuk bangkitkan perkara itu kerana perbelanjaan itu sudah dibincangkan.

“Saya akan jawab beberapa soalan tentang berapa banyak ahli Exco guna wang untuk jalan ke luar negeri.Ahli Dewan boleh persoalkan sama ada perbelanjaan itu murah atau mahal kerana ia dibenarkan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis perasmian muzium itu, Abdul Khalid berkata, seramai 1,500 pengunjung sudah melawat bangunan bersejarah berkenaan sejak ia dibuka kepada orang ramai dua bulan lalu.

Hadir sama, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi serta Pengerusi Padat, Dr Shafie Abu Bakar.

Azmin dakwa Hasan Ali salah guna dana

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mendedahkan tiga perkara, didakwa menyalahgunakan dana dan kedudukan, membabitkan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) ketika menjadi Exco Selangor.

Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, Hasan menggunakan peruntukan untuk baik pulih pejabat Exco membabitkan kos RM300,000 sedangkan Tan Sri Abdul Khalid selaku Menteri Besar tidak menggunakan satu sen pun untuk ubah suai pejabat.

Selain itu, Azmin juga mempersoalkan tindakan Hasan melaksanakan program Padat yang disifatkan sebagai satu pembaziran di mana program tersebut membabitkan perbelanjaan RM546,920 untuk satu majlis sahaja.

Hasan juga didakwa menyuburkan proses pemberian tender secara terus walaupun cuba dikekang Abdul Khalid.

Bagaimanapun beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempertikaikan dakwaan Azmin berhubung salah guna peruntukan kewangan oleh Hasan, yang kini bertindak sebagai Adun Bebas, ketika memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer), Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) dan Sulaiman Razak (BN-Permatang) yang tidak berpuas hati dengan dakwaan berkenaan, bangun mencelah ketika Azmin membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, hari ini.

Azmin ketika memberikan penjelasan kepada ketiga-tiga Adun dan Dewan berasa hairan kenapa BN beria-ria mempertahankan bekas Pesuruhanjaya Pas Selangor yang tidak hadir pada sidang Dun hari ini.

Ketika yang ditemui di luar dewan berkata, mereka tidak terkejut dengan pendedahan Azmin memandangkan ia dipertikaikan selepas Hasan tidak lagi menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan dipecat dari Pas.

Penyalahgunaan dana yang didedahkan Ahli Parlimen Gombak itu pernah dibangkitkan oleh Adun BN pada sidang Dun sebelum ini, namun tidak dipersoalkan dan diberi perhatian oleh mana-mana Adun Pakatan Rakyat (PR) memandangkan Hasan masih berada dalam PR.

Hasan dipecat oleh Pas awal Januari lalu dan disusuli dengan pengguguran beliau dari barisan Exco Kerajaan Negeri.

Shahrizat akan kekal Ketua Wanita Umno kata Najib

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini menegaskan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kekal sebagai Ketua Wanita parti itu meskipun ada pihak dalam parti itu mahu beliau berundur.

Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, yang menggesa Shahrizat berundur sebagai ketua pergerakan itu dan pengkritik lain agar berganding dengan anggota Kabinet itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas taklimat pada Perhimpunan Wanita Umno di PWTC hari ini.

Najib berkata, pengunduran Shahrizat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah keputusan yang perlu dihormati.

"Shahrizat telah ambil tanggungjawab moral secara terhormat untuk lepaskan jawatan sebagai menteri biarpun tiada bukti berhubung dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

"Jadi, berkenaan jawatan Ketua Wanita Umno, selagi tiada bukti, tiada sebab mengapa kita perlu suruh dia letak jawatan itu.

"Tambahan pula, jawatan itu dipilih oleh ahli," katanya.

Bercakap pada sidang media, Najib berkata, pertemua bersama kira-kira 8,000 ahli Wanita Umno hari ini, antara lain bagi memastikan seluruh Pergerakan Wanita bekerja keras untuk menghadapi PRU13.

"Kesemua yang hadir melahirkan kesanggupan untuk pastikan Barisan Nasional (BN) capai kemenangan dalam PRU nanti.

"Mereka juga berikrar untuk mendokong tanggungjawab sebagai ahli parti serta menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita," katanya.

Pada 12 Mac lepas, suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.

Mengenai gesaan Kamilia supaya Shahrizat meletak jawatan demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan wanita, BN dan kerajaan, Najib berkata, isu itu telah diselesaikan.

Perdana Menteri berkata beliau, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersemuka dengan kedua-dua pemimpin wanita itu di mana kedua-duanya berjanji untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi meraih kemenangan buat Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, Shahrizat dan Kamilia juga berjanji untuk turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin pergerakan wanita yang lain, bergerak sebagai satu unit kukuh dan jitu yang dapat menggalas tanggungjawab besar seperti
ditetapkan parti kepada pergerakan itu.

Najib berkata, tekad itu dapat dilihat menerusi ikrar yang dilafazkan semua anggota pergerakan itu pada perhimpunan di mana mereka sebulat suara menyatakan kesanggupan dan komitmen tinggi untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan besar buat BN pada pilihan raya akan datang.

"Pengakuan yang Wanita Umno buat ialah untuk menyokong kepimpinan saya dan Muhyiddin dan mendukung tanggungjawab menjamin kemenangan yang besar untuk pilihan raya akan datang serta menyokong kepimpinan Shahrizat sebagai Ketua
Wanita Umno," katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata di sebalik isu antara Kamilia dan Shahrizat, moral Wanita Umno masih berada pada tahap tertinggi, kuat dan kukuh sepertimana ikrar yang dilafazkan bahawa pergerakan itu bersama kedua-dua pemimpin tersebut akan turun padang dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Kami akan memastikan mereka akan bekerjsama sebagai satu pasukan. Adalah penting bagi Wanita sebagai sayap parti ini utuh dan boleh berfungsi sepenuhnya serta bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam pada itu, Kamilia pula berkata, beliau akan bekerjasama dengan Shahrizat demi memastikan kemenangan BN dalam PRU13.

Katanya, kenyataan sebelum ini hanya berdasarkan pada pandangan dan luahan dari akar umbi dan beliau hanya bertindak sebaga penyampai mesej.

Shahrizat baru-baru ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet apabila tempoh khidmatnya sebagai anggota Dewan Negara berakhir 8 April ini.

Saya tidak kecil hati kata Shahrizat

“Saya tidak kecil hati dengan (Datuk) Kamilia (Ibrahim), malah anggap dia sebagai kakak dan hubungan kami baik.” Demikian kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung desakan naibnya itu agar beliau melepaskan jawatan daripada memimpin pergerakan tersebut.

Menurut Shahrizat, selaku Ketua Wanita, beliau perlu menjadi “paying” kepada semua dan kenyataan itu bukan satu tamparan dan perkara besar buat dirinya.

“Saya tidak kecil hati dengan kenyataan itu. Pada saya beliau telah beri pandangan beliau. Saya tidak mudah kecil hati, apatah lagi hujah-hujah itu datang daripada orang yang lebih tua dari saya,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Wanita Umno Bersama Presiden Umno di PWTC hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Kamilia mendesak Shahrizat melepaskan jawatan itu “demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan Wanita, Barisan Nasional dan kerajaan.”

Sementara itu, Kamilia pada sidang media berasingan berkata, kenyataan dikeluarkannya sebelum ini berdasarkan pandangan akar umbi.

“Apa yang saya katakan sebelum ini berlandaskan apa yang saya dapat dari akar umbi,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kenyataan itu, Kamilia berkata, beliau hanya bertindak sebagai penyampai mesej terhadap apa yang disuarakan.

“Saya berjanji akan bekerjasama dengan Datuk Seri Shahrizat untuk pastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita akan pastikan Wanita Umno akan berdiri teguh dan saya akan bekerjasama untuk memimpin Wanita di semua peringkat sama ada di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi,” katanya.

Kamilia dilaporkan berkata, Shahrizat perlu meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno rentetan dakwaan beliau terlibat dalam isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) di mana syarikat mengendalikan projek itu National Feedlot Corporation (NFCorp) adalah milik suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

SPR gagal urus daftar pemilih

Pakatan Rakyat (PR) mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah gagal menguruskan daftar pemilih dengan baik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PKR) merupakan salah satu pilihan raya yang pastinya kecoh.

Menurutnya, ini dapat dibuktikan berikutan berlakunya penambahan pengundi di beberapa kawasan Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara.

"Sebelum ini, SPR mendakwa terdapat 42,025 pemilih yang diragui dan disahkan sebagai pengundi yang ragu serta bersetuju untuk keluarkan nama tersebut, tetapi ia tidak dilaksanakan, sebaliknya dikekalkan.

"Perkara paling ketara adalah pengundi berganda di mana di satu alamat terdapat lebih kurang 100 pengundi, ada 354 alamat dengan 79,098 pengundi, termasuk di Parlimen Johor Baru, Parlimen Seremban, Dun Batu Caves dan beberapa kawasan yang lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata, contoh paling ketara adalah Parlimen Pekan, dengan penambahan sebanyak 18,568 daftar pemilih pada tahun lalu, ini berbeza pada 2008 hanya ada 59,019 pemilih di kawasan berkenaan.

Katanya, jika terdapat lima nama bagi satu alamat yang bukan pengundi, beliau menjangkakan terdapat setengah juta kes berlaku di seluruh negara.

"SPR juga telah mengumumkan bahawa terdapat tambahan bagi undi pos sebanyak 240,000 bagi pegawai dan petugas SPR, ini menimbulkan tanda tanya berikutan kenyataan sebelum ini bahawa pengundi pos perlu mengundi awal tetapi kini SPR bertegas untuk mengadakan undi pos.

"Salah satu sebab penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambaikan Proses Pilihan Raya adalah berkaitan dengan undi pos serta tata cara pengurusan SPR dalam menguruskan pilihan raya di negara ini.

"Kami juga mendesak agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau sistem data yang digunakan oleh SPR agar kes pengundi berganda tidak berulang," katanya.

Wanita UMNO P. Pinang mahu Shahrizat kekal Ketua Wanita

Perkhidmatan cemerlang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam Pergerakan Wanita Umno perlu dikekalkan demi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, Ketua Wanita Umno itu wajar meneruskan kepimpinan dalam pergerakan itu dan BN kerana terbukti berjaya melakukan perubahan yang amat memberangsangkan sejak mengambil alih kepimpinan pada 2009.

Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Zabariah Wahab berkata, Shahrizat mempunyai karisme sebagai seorang pemimpin wanita yang amat disegani oleh kawan dan lawan selama ini, terutama ketika turun padang mengadakan program atau kempen pilihan raya.

Menurutnya, kepimpinan Shahrizat berjaya memberi suntikan baru kepada sayap Umno itu yang kini lebih proaktif dan bermaya dengan pelbagai program yang berjaya mendekatkan rakyat dengan kerajaan dan pemimpin parti.

"Saya sudah melihat semangat dan kepimpinannya yang berjuang untuk menyelami hati dan naluri rakyat dengan mengenepikan kepentingan peribadi.


"Oleh itu, semua pemimpin Wanita Umno perlu terus memberi sokongan padu kepada Shahrizat menerajui pergerakan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk memporak-poranda perpaduan yang wujud selama ini semata-mata demi menjayakan agenda peribadi pemimpin tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Adun Bertam mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik Naib Ketua wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim sebagai berkata, Shahrizat wajar meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno untuk mengekalkan kewibawaan parti, sayap itu, BN dan kerajaan.

Kamilia berkata, langkah Shahrizat meletak jawatan sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat pada 8 April ini adalah tidak memadai untuk Wanita Umno dan Wanita BN terutama ketika PRU akan datang kerana masyarakat menganggap ia menyalahi dari segi politik dan moral berkiatn isu National Feedlot Corp (NFCorp) yang diterajui suaminya.

Menurutnya, ketika PRU13 semakin hampir, ahli pergerakan itu sewajarnya bersatu padu untuk menguatkan parti dan jentera pilihan raya dan tidak mencetuskan isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan ahli.

"Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan pemimpin BN tetapi hanya memejamkan mata atau mendiamkan diri apabila ia melibatkan pemimpin mereka," katanya sambil menyatakan sokongan padunya kepada kepimpinan Shahrizat.

Menurutnya, pemimpin dalam pergerakan itu yang tidak sealiran dengan suara majoriti wajar mengundurkan diri agar tidak menjadi parasit yang boleh melemahkan agenda dan perjuangan wanita Umno yang menjadi tonggak dalam parti keramat orang Melayu itu.

Jika ada bukti serius kita larang Lynas kata Najib

Kerajaan pasti tidak akan membenarkan projek Lynas beroperasi jika bukti saintifik menunjukkan ianya memudaratkan kesihatan dan mencemar alam sekitar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur berhubung isu berkenaan kerana kerajaan amat mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

"Bagi mereka yang menentang Lynas, kita perlu berdialog. Kita ingin tahu apakah alasan saintifik dan teknikal bagi membantah operasi Lynas.

"Perlu ada bukti kukuh bahawa kesihatan dan keselamatan penduduk sekitar khususnya akan terjejas. Dan jika ada bukti serius, kita pasti tidak akan

benarkan Lynas beroperasi," katanya dalam temubual dengan stesen radio 988 FM hari ini.

Beliau ditemubual oleh DJ Sam Mak dan Tan Yi Hui dalam program 988 Street VIP selama satu jam.

Rafidah idamkan jawatan ketua wanita semula?

Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan yang bergelumang rasuah berkata adalah sesuatu yang benar dan betul bila beliau menyeru rakyat memilih kerajaan yang mempunyai rekod yang terbukti.Tapi yang sedihnya, beliau memerangkap dirinya dan ketidakyakinan nya bila beliau menggunakan contoh yang salah untuk menerangkan maksud kata-katanya

PM (Najib) boleh mentadbir, dan telah membuktikan kebolehan nya,” beliau dilapurkan berkata demikian kepada media kerajaan..
Jika ada seseorang yang boleh membukti an dirinya ialah pemimpin yang tidak peka dan tanpa sebarang idea bagaimana hendak mentadbir negara,pemimpin tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah PM Najib Razak.

Bukan satu yang memeranjatkan bila dengan segera Rafidah menjadi sasaran kritikan beliau cuba membodek Najib. Sokongan nya mengimbas kembali kenangan tentang rekod buruk beliau sendiri, bagaimana kukuhnya akar rasuah yang membuatkan Badawai mengambil masa bertahun tahun sebelum berjaya mengenepikan beliau.

Sekarang beliau cuba menumpang tuah Najib-mungkinn risaukan nasib kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang dipegangnya.Adakah Najib akan memberi ruang kepada beliau yang berusia hampir 70 tahun untuk mempertahankan kubu kuatnya di KK atau menjadi ketua Wanita sekali lagi? Hakikatnya Rafidah ialah ‘lanun’ Umno sebenar-terma yang digunakan oleh rakyat Malaysia untuk merujuk pemimpin parti yang oportunis yang sentiasa dalam mengikis antara satu sama lain.

Apapun yang beliau katakan, Rafidah sendiri digugurkan dari kabinet oleh mantan Perdana Menteri Abdulah Badawi kerana desakan rakyat berkenaan cara beliau memilih menantu lelakinya untuk mendapat permit impot kenderaan motor dan juga berkenaan beberapa saham di firma tertentu.

Pekida buat laporan polis bantah tindakan DSAI

Tindakan Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat seolah-olah menyokong Israel terus menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Batu Pahat menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai perkara itu, seterusnya membuat laporan polis kelmarin.

Ahli Jawatankuasanya, Nor Eddy Jamaludin berkata, laporan berkenaan dibuat atas laporan beberapa media tempatan, termasuk media cetak yang mengaitkan Anwar menggunakan campur tangan pihak Yahudi.

“Adalah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat negara ini, perlu menghalang tindakan berkenaan kerana jika bekerjasama dengan Yahudi samalah seperti hendak menghancurkan negara ini.

“Jangan kerana hendak mencapai cita-cita yang tinggi, sanggup menggadai dan juga meminta dengan pihak yang sememangnya terkenal dengan kekejamannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, laporan itu dibuat berdasarkan artikel yang disiarkan media bertarikh 14 Mac mengenai Anwar yang menggunakan atau menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada hubung kait dengan Yahudi atau Israel.

“Kami berkeyakinan bahawa tindakannya itu untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini untuk kepentingan politiknya menerusi campur tangan Yahudi atau Israel.

“Tujuan laporan dibuat adalah untuk meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan tersebut dan kami berharap satu tindakan yang tegas perlu diambil demi menjaga keharmonian rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Pekida sama sekali membantah hubungan dengan Israel dan campur tangan Israel dalam politik Malaysia.

Rizab Melayu tak diusik kata MB Selangor

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui tiada projek pembangunan melibatkan tanah rizab Melayu oleh anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, apa yang dirancang Kerajaan Negeri ialah membangunkan tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik seperti di Klang, Hulu Langat dan Sepang untuk projek perumahan.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada masa ini tidak mempunyai perancangan khusus membangunkan tanah rizab Melayu,” katanya, semalam.

Kenyataan berkenaan menjawab pertanyaan mulut Ng Suee Lim (DAP-Sekichan) berhubung perancangan membangunkan tanah rizab Melayu yang strategik demi meningkatkan tahap ekonomi Melayu.

Abdul Khalid berkata, jumlah keluasan tanah rizab Melayu bagi sembilan daerah di seluruh Negeri Selangor sebanyak 182,701.7 hektar.

Beliau berkata, jumlah keluasan mengikut pecahan daerah adalah Sabak Bernam iaitu 69,129.4 hektar, Gombak (4,576.8), Sepang (9,146 ), Hulu Langat (13,237.5), Hulu Selangor (12,720.8), Kuala Langat (15,012.3), Kuala Selangor (7,474.5), Klang (9,123) dan Petaling (1,093.2).

Dalam pada itu katanya, pihaknya bercadang membangunkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang difikirkan boleh menjana keuntungan dan memberikan faedah kepada kaum bumiputera dalam masa terdekat.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dun Selangor Isnin lalu menitahkan agar pentadbiran Kerajaan Negeri bertanggungjawab mengawal selia tanah dengan amanah dan berhemah.

Dalam titah tersebut, baginda mahu kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan malah pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Peruntukan Perlembagaan untuk Tanah Rizab Melayu mesti dipatuhi. Beta tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan cuba memindahkan Tanah Rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan milik Melayu.

“Beta percaya Menteri Besar, Kerajaan Negeri Selangor dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan tanah rizab Melayu dengan memastikan tidak ada yang bertukar status,” titah baginda.