Pages

Sharifah Aini akan sertai PAS?

Mengikut rakan facebook, biduanita negara Dato' Sharifah Aini akan mengumumkan kemasukkannya ke dalam PAS pada bulan Julai ini.

Baguslah, setelah berpuluh tahun bergelumang dalam Umno sebagai seorang selebriti tersohor, mungkin beliau agaknya baru tersedar bahawa Umno tidak membawa insan ke arah ketuhanan.

Sharifah Aini yang berasal dari Johor, sejak akhir-akhir ini begitu berminat menyampaikan lagu-lagu dakwah dan menyanyi untuk kutipan dana anak-anak yatim.

Beliau mempunyai seorang anak lelaki yang belajar di tahfiz Al-Quran.

Walau bagaimanapun, beliau dikatakan tidak berapa sihat sejak akhir-akhir ini dan pernah dimasukkan ke wad.

Eloklah, walau bagaimana kontroversinya sepanjang kehidupan kita, yang penting di hujung kehidupan kita memilih Islam sebagai ikutan hidup dan perjuangan kerana itu lebih bermakna daripada awal-awalnya Islam tetapi akhirnya memilih jahiliyyah!

Tun Mahathir tak perlu risau kalau tak buat salah kata Mat Sabu

Bekas perdana menteri Tun Dr Mohathir Mohamad tidak perlu bimbang beliau akan dipenjarakan jika Pakatan Rakyat memerintah, kata Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu.

Sebaliknya katanya, mereka yang melakukan kesalahan sahaja yang perlu bimbang kerana bakal diambil tindakan sewajarnya.

“Pakatan Rakyat bukanlah parti berasaskan dendam dan ingin membalas dendam kepada sesiapa,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika berucap kepada penduduk sekitar Jengka dalam majlis ceramah dan perasmian Ibu Pejabat PAS Kawasan Kuala Krau di Nadi Kota dekat sini.

Pakatan Rakyat ujarnya akan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum warna kulit dan agama.

Kata beliau kebimbangan Dr Mahathir akan dipenjara itu membayangkan bekas perdana menteri itu mulai gerun BN akan kalah dalam dalam pilihan umum ke-13 akan datang.

Sebelum ini, kata Mohamad belum pernah Dr Mahathir melahirkan kebimbangan sebegitu rupa.

Menurutnya lagi, jika Pakatan Rakyat menang dan memerintah beberapa isu besar yang menjadi tanda tanya dan persoal kepada rakyat seperti isu wanita Monggolia yang dibunuh dan di letupkan, Altantunya Saribu akan terjawab.

Isu berkenaan sehingga kini belum terjawab dan masih menjadi persoalan kepada masyarakat dunia kerana kematianya dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin ahli perniagaan dan politik Malaysia.

Saya akan sokong Mukhriz jadi MB kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menyokong jika anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Kedah.

Dalam wawancaranya dengan sebuah stesen TV internet, Mahathir berkata, beliau juga akan menolong anaknya itu.

Mahathir juga berkata, dia tahu anaknya itu berminat dalam politik dan akan menolong beliau.

"Tetapi untuk jawatan apa, terserahlah kepada parti membuat keputusan. Jika dia dicalonkan untuk jadi MB, saya akan sokong," kata Mahathir.

Desas-desus bertiup kencang di Kedah kononnya Mukhris, anak ketiga Mahathir itu akan bertanding peringkat DUN dalam pilihan raya umum akan datang ini.

"Katanya dia akan bertanding di DUN Kota Seputeh," kata anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria kepada Harakahdaily.

Adun Kota Seputeh sekarang, Datuk Abu Hassan Sarif (Umno - BN) sebelum ini didapati tidak layak menjadi Adun kerana gagal menghadiri sidang yang diadakan.

Menurut sumber lain pula, anggota Parlimen Jerlun itu tidak berapa berminat untuk bertanding peringkat DUN kerana takut kehilangan jawatannya yang ada sekarang.

Mukhris, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tahu bukan mudah untuk beliau menjadi MB kerana terpaksa bersaing dengan lain-lain pemimpin Umno Kedah yang lebih senior.

"Dia boleh menang kerusi DUN Kota Seputeh itu tetapi adakah BN akan menang Kedah? Jika BN menang pun, adakah Mahathir Khalid akan setuju dia jadi MB. Di mana pula kedudukan Datuk Ahmad Bashah, Pengerusi Umno Kedah sekarang," kata seorang pengkaji politik antarabangsa kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Menurut beliau, skala pertembungan dalaman Umno Kedah cukup tinggi iaitu 3.5 dari 5 markah penuh.

"Sebab itu, bagi saya, kalau Mukhris bertanding DUN pun bukan kerana dia yakin menang dan mahu sangat tetapi kerana tekanan ayahnya yang mahu legasi beliau diteruskan," kata pengkaji yang berasal dari Amerika itu.

Masuk PAS kerana prinsip, rezeki Allah tentukan kata Hairie Othman

Menyertai parti PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem Leftenan Adnan, Hairie Othman malah beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun ini.

Bagi Hairie, keputusannya hari ini adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan selepas menyertai PAS.

"Nak masuk Umno ramai yang berani, nak masuk PAS satu keputusan kena fikir lama-lama. Kalau nak masuk Umno tidak jadi isu. Kalau masuk PAS habis!!

"Masuk PAS? Nak makan apa? Saya yakin yang bagi rezeki kepada saya bukan BN tetapi Allah Taala. Saya dapat rasa dan saya yakin," ujar beliau ketika berucap dalam forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor atau Kerana Prinsip? anjuran Akademi Pak Sako di Dewan Himpunan Cina KL-Selangor.

Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan keadaan ini seperti sudah dijangka namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, pelakon berusia 41 tahun ini memberitahu beliau mungkin tidak akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas ini.

"Saya tanya orang ramai dalam Himpunan Hijau, selepas ini saya nak buat apa? Nak mana apa? Mereka ramai-ramai jawab, apa lagi ceramahlah!" ujarnya.

Hairie juga tidak bimbang kehilangan kerjayanya sebaliknya beliau kini sedang giat aktif memenuhi undangan-undangan ceramah di merata tempat.

"Dari hari ini hingga bulan puasa, jadual ceramah saya penuh. Dan lepas raya pun saya ada 'job' (ceramah) lagi," katanya.

Bagaimanapun, Hairie menolak dakwaan bahawa penyertaan artis dalam dunia politik hari ini kerana tidak dapat projek dan kerjaya yang semakin malap.

"Sekarang ini saya rasa lebih popular, kalau dulu rakan 'facebook' saya hanya 4000, hari ini rakan saya mencecah 12 000, naik mencanak dan orang lawat laman saya itu dekat 200,000. Tidak popularkah itu?" tegas beliau.

Turut hadir sebagai panel ialah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong yang juga merupakan penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim atau popular dengan nama pena, Budi Hikayat. Serta wakil daripada parti UMNO iaitu Presiden Persatuan Seniman, pelakon Zed Zaidi.

Bercakap di hadapan hampir 100 hadirin, Hairie yang mewakili parti PAS berkata keputusannya untuk menyertai parti berkenaan bukan kerana meraih populariti sebaliknya ia adalah prinsip.

Jelasnya, untuk mengejar glamor lebih sesuai berada dalam bidang seni bagaimanapun ia menjadi satu kelebihan memandangkan beliau adalah seorang pelakon.

"Secara dasarnya kalau kita bercakap soal politik mestilah atas dasar prinsip. Saya ni masih baru jer lagi dalam dunia politik. Saya pilih untuk menyertai parti atas dasar prinsip. Perjuangan PAS berlandaskan Islam. Pada mulanya tujuan saya adalah mahu mengubah diri daripada kurang baik kepada menjadi seorang insan yang lebih baik. Jadi saya merasakan parti PAS sesuai dengan jiwa saya", hujah Hairie.

Hairie juga merelakan PAS menggunakan khidmatnya untuk berkempen bagi menarik ramai undi dalam pilihan raya nanti.

"Saya rela membenarkan rakyat menggunakan khidmat saya untuk tawan Putrajaya," tegasnya yang merasakan tidak timbul isu artis dijadikan alat politik.

Shabery Cheek bakal MB Terengganu?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan sedang merancang untuk melantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum nanti.

Ini kerana, beliau dianggap faktor pengimbang antara dua kem Umno yang bergaduh di Terengganu sekarang iaitu Kem Datuk Seri Idris Jusoh dan Kem Datuk Ahmad Said.

Shabery, bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan tidak memihak di dalam kedua-dua kem itu.

Selain Shabery, turut disebut adalah nama anggota Parlimen Hulu Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Namun, Harakadaily difahamkan, istana Terengganu masih mahukan Ahmad Said kekal sebagai MB.

Di pihak PAS pula, lain ceritanya. Walaupun Shabery pernah aktif di dalam PAS sebelum menyertai Umno, beliau dianggap tidak akan mengubah apa-apa di Terengganu.

Biarpun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, bagi PAS ia tidak memberi jaminan Terengganu akan lebih baik.

Selagi dasar pentadbiran Umno dan Barisan Nasional masih dipenuhi dengan rasuah, kronisme, nepotisme, sesiapapun yang menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar, ibarat dua kali dua.

Lim Guan Eng saman RM50 juta terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Times dan PERKASA

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memfailkan saman berjumlah RM50 juta kepada akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Times dan Pertubuhan Pribumi Melayu Perkasa (PERKASA) berhubung laporan fitnah yang disiarkan.

Guan Eng juga merupakan Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di Parlimen menegaskan bahawa beliau berbuat demikian kerana laporan yang disiarkan itu menuduh seolah-olah beliau adalah pengkhianat negara dengan menjual maklumat kepada negara asing.

“Kedua-dua surat khabar dan Utusan memohon maaf kepada Datuk Kalimullah Hassan berhubung perkara ini tetapi saya tidak faham kenapa kedua-dua akhbar ini tidak memohon maaf kepada saya,” kata Guan Eng.
Tambah Guan Eng, saman malu itu dibuat kerana dakwaan yang dilemparkan amat serius.

“Menuduh saya menjual maklumat rahsia negara adalah dakwaan serius kerana kalau benar dituduh menjual rahsia negara itu adalah perbuatan khianat yang akan dihukum dengan hukuman yang berat (hukuman gantung),” kata Guan Eng.

Tuduhan itu adalah berkenaan dakwaan wujudnya pertemuan di antara Guan Eng dengan pemimpin tertinggi di Singapura khususnya daripada PAP dalam satu majlis makan malam yang diadakan di negara itu.

“Saya terpaksa mengambil tindakan, ini bukan kali pertama Utusan Malaysia membuat tuduhan seperti ini, ia adalah usaha untuk mempertahankan nama baik saya,” katanya.

Krisis dalaman pemuda UMNO Johor makin parah

Umno Johor terus dilanda krisis dalaman parti dan terbaru membabitkan sayap pemuda negeri itu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, beliau mendapat maklumat dalam satu mesyuarat Pemuda Umno Johor di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, 16 daripada 26 ketua pemuda Umno bahagian menolak secara terang-terangan kepimpinan ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fadil Muskon.

Kesemua 16 mereka juga menurut Suhaizan mendesak Mohd Fadil meletak jawatan dengan kadar segera.
"Bermakna 61% Ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian menolak kepimpinan Pemuda Umno Negeri sekarang.

"Antara Ketua-ketua Pemuda Umno yang terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan Mohd Fadil adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Pontian, Batu Pahat, Pagoh, Tebrau, Johor Bahru dan lain-lain lagi," katanya.

Menurut Suhaizan lagi, terdapat juga Ketua-ketua Pemuda Umno Bahagian yang tidak hadir dalam mesyuarat tersebut kerana tidak mahu terlibat dalam masalah yang sedang dihadapi.

Difahamkan antara alasan penolakan Mohd Fadil Muskon adalah kerana beliau daripada kem Khairy Jamaluddin sedangkan16 ketua pemuda yang menolaknya adalah dari kem Datuk Razali Ibrahim.

Selain daripada itu, terdapat juga pandangan menyatakan bahawa Mohd Fadil ‘budak baik’ dan kurang senang dengan pemuda-pemuda Umno bahagian yang mengambil kesempatan daripada projek-projek kerajaan.

"Perpecahan ini telah membuktikan bahawa Umno Johor sudah berada dalam keadaan tenat.
"Ini telah menjadi sebab mengapa Datuk Seri Najib tidak berani membubarkan parlimen sehingga hari ini," ujar Suhaizan lagi.

DAP anti Islam hanya propaganda kata Dr Mazlee

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat hudud tidak boleh dilihat dari sudut hukuman semata-mata tetapi perlu melihat matlamatnya secara menyeluruh.

Beliau yang juga turut mengajar subjek tersebut di UIAM berkata, objektif yang ingin dicapai melalui hudud adalah ingin menjadikan sebuah masyarakat yang bersih dan baik.

"Saya melihat menariknya hudud itu bukan dilihat kepada hukumannya tetapi dari sudut objektif yang mahukan sebuah masyarakat yang bersih tanpa jenayah, rompak, rogol, tuduhan zina mahupun memaparkan gambar-gambar orang berzina di dada akhbar dengan niat untuk memfitnah," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam anjuran Roketkini.com bersama Lim Guan Eng di sini malam tadi.

Tambahnya lagi, oleh kerana mungkin masyarakat berbilang kaum di negara ini sukar menerima perlaksanaan hudud, namun ianya boleh dilakukan dengan melaksanakan objektif-objektif yang terkandung di dalam hudud itu sendiri.

"Bila kita melaksanakan objektif hudud itu seperti meningkatkan keadilan, pemerintahan yang telus, banteras rasuah mahupun meningkatkan intergriti pihak berkuasa dan undang-undang.

"Dengan secara tidak langsung objektif yang dilaksanakan dalam hudud akan dapat dicapai tanpa perlu melaksanakan hukum tersebut," katanya.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa kesal dengan pihak tertentu khususnya di kalangan Melayu yang sering menuduh DAP sebagai anti Islam.

"Persepsi propaganda ini dimainkan sejak dulu lagi, iaitu semasa DAP belum menyertai Pakatan Rakyat yang berniat untuk menimbulkan kerisauan terhadap Islam dan orang melayu.

"DAP anti Islam hanyalah dari sudut pandangan Umno sahaja bukanya orang lain, malah MCA juga ada mengeluarkan kenyataan yang tegas mengenai Islam tapi ia tidak dilihat sebagai anti Islam kepada Umno," katanya.

Tambahnya lagi, jika dilihat kepada perlaksanaan dan dasar-dasar DAP sehingga kini tidak ada suatu pun yang mengancam Islam apatah lagi bukti yang dilakukan oleh parti tersebut di Pulau Pinang.

Nizar Buat Laporan Polis Terhadap Utusan Dan TV3

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu plat kenderaan WWW 1, hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat di IPD Dang Wangi, bersama-sama barisan peguam Pemuda PAS Perak.

Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana kedua-dua media pro Umno itu telah menyiarkan berita yang disifatkannya sebagai fitnah ke atas kredibiliti beliau.


"Mereka telah memfitnah saya dengan memutarbelitkan kenyataan saya di twitter dengan mengatakan saya menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk bidaan WWW1. Sedangkan, saya tidak menyatakan sedemikian," tegas beliau yang ditemui Harakahdaily.

Dalam pada itu, kata beliau peguamnya turut menghantar notis kepada TV3 dan Utusan Malaysia untuk menarik balik dan meminta maaf secara terbuka berkaitan penyiaran berita tersebut.

Sekiranya, TV3 dan Utusan Malaysia tidak berbuat demikian, tambah Nizar pihaknya akan mengemukakan saman malu terhadap kedua-dua media tersebut.

Ditanya tentang tempoh yang diberi pihaknya kepada TV3 dan Utusan Malaysia itu, Nizar berkata pihaknya memberi tempoh sehingga tujuh hari bermula hari ini untuk berbuat demikian (tarik balik dan mohon maaf).

Nizar, sebelum ini dalam twitnya mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran yang dimenangi Sultan Ibrahim itu dengan bayaran RM520,000 dengan kesusahan rakyat Johor.

Ekoran kenyataannya itu, pelbagai reaksi positif dan negatif dibangkitkan, dan turut disiasat di bawah Akta Hasutan, malah pejabatnya turut digeledah pihak polis bagi membantu siasatan.

Nizar bagaimanapun bertindak memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Ibrahim beberapa hari selepas itu.

Mohamad Aziz tarik balik kenyataan gantung Ambiga

Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamad Aziz hari ini menarik balik kenyataan yang dibuat pada hari Selasa lalu di mana beliau bertanya sama Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga perlu digantung kerana menderhaka.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebagai seorang yang berdisiplin dan dari parti yang berdisiplin, beliau - atas semangat setiakawan dalam BN - menarik balik kenyataannya itu jika ia menyinggung perasaan pemimpin rakan-rakannya dari MIC atau PPP.

Mohamad telah diarahkan menarik balik kenyataannya itu oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidy Jaafar.

Ianya selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun meminta satu keputusan berhubung kenyataan Mohamad yang menurutnya telah "keterlaluan".

Ahli Parlimen Indera Mahkota ditawar RM5 juta untuk lompat parti

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini tampil membuat pendedahan bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke parti BN pada tahun 2010.

Azan dari PKR berkata, beliau ditawarkan jumlah tersebut dalam satu pertemuan di hotel lima bintang di ibu negara pada 27 Januari 2010.

"Ia berlaku di siang hari, di hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Siri-siri tawaran ini sudah berlaku sejak 2010 lagi," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Azan juga mendakwa lebih "setengah dozen" ahli Parlimen PKR diberi tawaran sama malah sudah ada yang menerimanya dan lompat parti.

"Siri perundingan diatur dengan kemas dan orang yang terlibat yang mewakili pemimpin yang berjawatan tinggi," katanya lagi.

Menurutnya juga, terdapat banyak bukti yang menunjukkan berlakunya perundingan itu dan akan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat.

"Saya rasa ini perlu dijadikan iktibar lebih-lebih lagi pilihan raya makin dekat. Rakyat pun semakin minat dengan integriti," katanya yang ditemani Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Khalid sebelum ini membuat dua siri pendedahan video dan audio berhubung pembelian ahli Parlimen PKR.

"Saya akan terus buat pendedahan demi pendedahan tentan pertemuan dan perundingan pembelian MP ini dan kita tengok siapa yang akan respons," katanya.

Siapa Sebenarnya Dato Murad?

Isu RM3 bilion ditimbulkan Dato Murad sebenarnya harta beliau sendiri
Ekoran dari permainan Umno/Barisan Nasional menimbulkan kembali dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim mempunyai banyak akaun untuk menyimpan saham dan hartanah, saya telah mengambil inisiatif sendiri meneliti semua fakta dan dakwaan yang dibuat terhadap beliau.

Atas nama kebenaran dan keinginan untuk membongkar perkara sebenar, saya telah menyelidik perkara ini secara peribadi.

Dakwaan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim mempunyai banyak akaun saham dan hartanah sehingga mencecah nilai RM3 bilion ini timbul dari perakuan bersumpah (statutory declaration) yang dibuat oleh Dato' Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara di antara tahun 1994 dan 1994.


Perakuan bersumpah beliau tidak memberikan fakta dan senarai semua harta yang didakwanya dimiliki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Oleh yang demikian, saya berpendapat untuk mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak, saya tidak ada pilihan lain kecuali menyiasat latar belakang Dato' Murad Khalid sendiri.

Jika rekod beliau sendiri pun tercalar dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, ini menimbulkan keraguan bahawa perakuan bersumpah yang dibuat beliau adalah tidak benar, terutamanya apabila beliau tidak menyenaraikan pun harta atau saham yang kononnya dimiliki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hasil siasatan saya mengenai latar belakang Dato' Murad Khalid menimbulkan dakwaan-dakwaan berikut:

1. Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, seawal tahun 1991 beliau menerima habuan dalam bentuk pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara Malaysia;

2. Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, insuran kediaman beliau bagi perlindungan berjumlah RM3.1 juta dibayar oleh pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara;

3. Bahawa melalui satu syarikat bernama Kenworth Sendirian Berhad yang berhubung kait dengan beliau, Dato' Murad Khalid mempunyai kepentingan dan mendapat manfaat dari 15 unit kondominium di Pelangi Indah Condo; dan

4. Pelbagai salah laku lain yang akan dibongkarkan dari satu masa ke satu masa kelak.

Saya mengajukan pendapat bahawa dakwaan Dato' Murad Khalid mengenai kewujudan "master account" yang memegang hartanah dan saham sebenarnya merujuk kepada pegangan beliau sendiri.

Siasatan saya menunjukkan beliau mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan di Malaysia.

Ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau terlibat dalam pelbagai salah laku dan penyelewengan serta menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul harta, sehinggakan kelemahan ini dimanipulasi oleh musuh-musuh Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk membuat perakuan bersumpah palsu terhadap beliau.

Saya menasihatkan Dato' Murad Khalid supaya kembali ke pangkal jalan dan memperbetulkan keadaan dengan berterus terang. Saya juga perlu memaklumkan kepada Dato' Murad Khalid bahawa saya mempunyai salinan surat asal beliau kepada Tun Mahathir Mohamad yang membawa pelbagai implikasi buruk kepada beliau dan beberapa pimpinan tertinggi Umno.

Sebelum perkara ini berlarutan, saya imenasihatkan Dato' Murad Khalid tampil ke hadapan meminta maaf seperti mana yang pernah beliau lakukan secara peribadi kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sudah sampai masanya fitnah selama 13 tahun ini dihentikan supaya rakyat Malaysia boleh maju menumpukan isu-isu negara dan rakyat yang membina.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
27 JUN 2012

PKR dedah dokumen kontrak RM1 bilion LRT

PKR hari ini mendedahkan salinan dokumen rasmi kerajaan berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa, pada mulanya Kementerian Kewangan menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys, berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK).

Sedangkan, dakwa Rafizi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas melahirkan hasrat untuk menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium George Kent seperti yang dilaporkan media.

"Ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang bersidang pada 25 Januari 2012. JPMK adalah jawatankuasa tertinggi Kementerian Kewangan dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Najib sebagai menteri kewangan.

"Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan secara jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini.

"Sebaliknya JPMK mengarahkan supaya pakej kontrak itu dianugerahkan kepada Korsortium Balfour Beatty-Invesys pada harga RM1,012,910,000," kata Rafizi.

Rafizi berkata keputusan tersebut ditandatangani oleh Najib, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbandaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Rafizi juga turut mengedarkan minit mesyuarat tersebut kepada media.

Sehubungan itu, Rafizi mempersoalkan Najib, faktor apa yang menyebabkan menteri kewangan itu mengubah fikiran sehingga didakwanya campurtangan untuk "menolak keputusan" awal penganugerahan projek berkenaan yang beliau sendiri bersetuju.

"Kenapa Konsortium George Kent begitu yakin akan memenangi kontrak ini seperti yang dilaporkan oleh media kebelakangan ini, walaupun keputusan anugerah kontrak telah dibuat seawal 25 Januari 2012?" soal Rafizi.

Nik Aziz dispekulasikan ke Parlimen

Utusan Malaysia hari ini membuat spekulasi bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan bertanding kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya diberitahu oleh orang-orang dalaman PAS, Nik Aziz kali ini mahu bertanding di Parlimen pula," tulis pengarang kanan Utusan Zaini Hassan dalam kolumnya Cuit (bawah).

Zaini mendakwa mursyidul am PAS itu mengambil keputusan ke Parlimen kerana "rakyat Kelantan akan membuat perubahan" jika beliau masih kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Zaini seterusnya meramalkan tempat Nik Aziz selaku menteri besar akan diganti ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurutnya, Kamaruddin akan bertukar kerusi dengan timbalan menteri besar merangkap ahli DUN Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yaakob.

Zaini mendakwa Kamaruddin akan bertanding di DUN Pasir Pekan manakala Yaakob pula akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat.

Dakwanya lagi, percaturan itu merupakan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan pengaruh PKR yang semakin goyah di Selangor dan Pulau Pinang.

"Adakah jika KJ (Kamaruddin) menjadi MB Kelantan kelak, maka akan mudah PKR dapat bertapak di bumi Kelantan selepas ada tanda-tanda jelas akan kehancuran pertahanan PKR di bumi Selangor dan Pulau Pinang," tulisnya.

Gambar Bukti Altantuya Di Perancis Tersebar

Gambar Altantuya Di Perancis Tersebar. Namun, penyiasatan polis Perancis menunjukkan Altantuya Shaariibuu tidak pernah memasuki Perancis dari tahun 1999 hingga 2006. Tetapi gambar yang diterbitkan pada tahun 2007 menunjukkan sebaliknya, kata satu laporan. Dalam pada itu perlu juga kita ketahui bahawa bapa Altantuya, Setev Shaariibuu telah menyatakan dalam satu sidang akhbar yang dihoskan oleh Suaram di Kuala Lumpur bahawa visa anak perempuannya ke Perancis telah dikeluarkan di Kuala Lumpur di bawah nama itu “Amina Abdullah”.

Dengan tersebarnya gambar-gambar ni telah membuktikan dua perkara iaitu ;

1. Altantuya memang pernah ke perancis.

2. Altantuya memang bertujuan sesuatu di perancis.

Soalnya kenapa dia ke perancis atas nama amina abdullah? Kenapa visa dia ke perancis dikeluarkan di kuala lumpur? Siapa yang bertanggungjawab proses permohonan dia? Kenapa guna nama amina dan bukan guna nama altantuya?

Kes ni masih lagi misteri. Menurut laporan, kat bawah ni adalah senarai individu yang ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya.

1. Altantuya
2. Razak Baginda
3. Najib Razak
4. Deepak
5. Rosmah Mansur
6. 2 pegawai polis iaitu azilah dan sirul azhar
7. Penyiasat peribadi yang ditugaskan untuk memerhatikan altantuya



Saya tak ambil kemudahan MB kata Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan usaha membersihkan pentadbiran beliau daripada rasuah bermula dari dirinya sendiri.

Menurutnya, beliau tidak pernah menggunakan peruntukan menteri besar seperti kenderaan untuk ahli keluarga, rumah, perabot dan kemudahan lain.

Beliau berkata, menteri besar tidak boleh mengambil rasuah kerana mereka juga seorang manusia yang akan dihitung sama ada masuk syurga atau neraka.

“Saya tidak ambil kerana saya tahu pegang jawatan ini (menteri besar), sama ada masuk syurga atau neraka, saya tidak mahu masuk neraka.

“Pembantu rumah pun saya cari sendiri, pengawal keselamatan tiada, kereta yang sepatutnya dua, saya ambil satu sahaja, malah kereta keluarga saya beli sendiri,” katanya dalam ucaptama Wacana Ilmu Buku Rasuah, di sini, semalam.

Beliau berkata, rasuah tidak dapat dihapuskan melalui undang- undang, sebaliknya melalui perubahan akhlak dalam diri sendiri.

“Perkara ini mesti difikirkan oleh rakyat kerana selagi sekular menguasai manusia tiada agama, masalah tidak akan selesai,” katanya.

Mengulas dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT), beliau memberi jaminan tidak akan menghalang anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu disiasat.

“Sesiapa hendak siasat, 25 jam saya bagi, bukan 24 jam,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 24 Jun lalu memberi tempoh tiga minggu kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan terbabit.

Awang Adek berkata, hasil siasatan terhadap pengeluar mata wang dinar dan dirham itu harus didedah kepada rakyat, dan jika ada pihak yang mempertikaikannya, kementerian akan mengarah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti membuat siasatan. KGT adalah anak syarikat PMBK yang mengeluarkan, menempa, mengedar, menjual syiling dinar dan dirham Kerajaan Negeri Kelantan.

Siasatan skandal Scorpene menyukarkan Najib dengan PRU makin hampir

Kerajaan Malaysia akan menjawab dakwaan berkenaan pembelian dua buah kapal selam Scorpene pada Selasa, sebagai maklum balas terhadap skandal tersebut yang dilihat cubaan untuk mencalarkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan pilihan raya bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan memberikan jawapan terhadap dakwaan penjualan dokumen rahsia tentera laut negara ini kepada syarikat pembinaan kapal selam Perancis DCNS bagi memudahkan mereka memenangi bidaan tersebut dengan harga €1 billion (RM4 bilion) pada 2002.

Dipetik laporan Reuters, Najib yang pada masa itu merupakan menteri pertahanan, telah menafikan dakwaan tersebut. Tiada bukti yang mengaitkan beliau dengan rasuah berhubung proses jual beli berkenaan, dan penyokong beliau berkata pihak pembangkang sengaja menimbulkan perkara itu semata-mata mahu mencalarkan imejnya selaku perdana menteri memandangkan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.

Agensi berita itu juga mengatakan, kerajaan pimpinan Najib sedang berhadapan tekanan untuk memberikan penjelasan selepas dokumen itu didedahkan di mahkamah di Perancis oleh kumpulan hak asasi manusia Malaysia (Suaram) dan disebarkan secara meluas di media online.

Dokumen yang turut mengandungi rekod rampasan pihak berkuasa Perancis dalam serbuan di pejabat DCNS menunjukkan bukti pembayaran yang dibuat dua syarikat yang dimiliki oleh bekas penganalisis politik, Razak Baginda, yang juga merupakan bekas pembantu Najib yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tersebut.

Dokumen berkenaan yang turut dipaparkan di laman media online, Asia Sentinel turut memaparkan laporan yang disediakan DCNS yang menyatakan kontrak pertahanan yang besar memerlukan “pemindahan wang yang besar kepada individu dan / atau organisasi”.

“Di Malaysia, biasanya ... kerajaan pemerintah adalah pihak yang lebih banyak memperolehi manfaat,” kata dokumen terbabit, merujuk kepada pemerintahan Umno, yang kini diketuai oleh Najib.

Dokumen lain pula menyebut, bekas ketua eksekutif DCNS berkata, Perimekar, salah satu daripada syarikat Razak Baginda berperanan sebagai tidak lebih daripada “agensi pelancongan” yang diwujudkan bagi mencetuskan “pengkayaan yang tidak adil kepada pemegang sahamnya.”

Kenaikan tarif elektrik tanpa disedari

Tidak lama dulu DS Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru. Seingat saya, beliau menyatakan bacaan bil bulanan di bawah 400 unit atau kurang dari RM90 tidak menerima kesan (tolong betulkan jika salah).

Oleh itu pengguna yang bil bulanan di bawah bacaan 400 unit atau kurang dari RM90 (jika tidak silap) tidak akan dikenakan kadar tarif elektrik baru. Mendengar pengumuman tersebut saya antara orang yang merasa lega kerana bil elektrik saya setiap bulan adalah kurang daripada RM90.


Perasaan lega itu hanya untuk sementara waktu sahaja atau beberapa bulan sahaja. Ada perancangan lain yang telah dilakukan bagi merealisasikan kadar tarif baru elektrik ini.

Beberapa bulan ini, pihak TNB (pembaca meter TNB) hanya melakukan bacaan meter dua bulan sekali sahaja ke rumah saya dan rumah-rumah jiran. Oleh itu bacaan meter elektrik yang dibuat dua bulan sekali, diselangi dengan bil anggaran yang dihantar melalui pos. Melalui cara ini, secara tidak langsung kadar tarif baru dapat dilaksanakan kepada pengguna, tanpa disedari.


Sebagai contoh bagi mereka yang menggunakan tarif elektrik sebanyak 350 unit sebulan, bayaran bil adalah sebanyak RM76.30. Melalui sistem bacaan meter DUA BULAN berserta BIL ANGGARAN (secara POS), penggunaan elektrik naik sekali ganda menjadi 700 unit (dua bulan).

Oleh itu, bayaran bil menjadi RM194.20, kiraan seperti berikut:

Penggunaan dua bulan 700 unit.

1. 400 unit X RM0.218 = RM87.20

2. 200 unit X RM0.334 = RM66.80

3. 100 unit X RM0.400 = RM40.00

JUMLAH = RM194.20


Bil bagi dua bulan menghampiri RM200. Berbanding jika bil dikenakan tiap-tiap bulan hanya antara RM70 ke RM80 sahaja. Jika dua bulan pun hanya RM140 ke RM160 sahaja jika pengguna membuat tunggakan bayaran.

Bagi bil anggaran yang dihantar melalui pos pula, jumlah yang dinyatakan hanya pada nilai RINGGIT MALAYSIA tetapi bukan pada jumlah UNIT elektrik yang digunakan. Maka bil dua bulan dalam jumlah ringgit ditolak dengan jumlah bil anggaran dalam nilai ringgit.

Kesimpulannya, TNB telah berjaya melaksanakan kadar tarif baru elektrik kepada pengguna yang pada asalnya bacaan tarif elektrik kurang dari 400 unit.

Tujuh lagi tahanan ISA sertai mogok lapar

Tujuh lagi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menyertai mogok lapar untuk menuntut pembebasan awal, kata Gerakan Anti-ISA (GMI) hari ini.

"Kami mempunyai maklumat bahawa mereka yang menyertai mogok tersebut ialah dua rakyat Malaysia, empat warga Sri Lanka dan
seorang rakyat India, menjadikan jumlahnya kini sembilan orang," kata anggota urusetia GMI, Syukri Razab.

Mereka menyertai Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan yang telah memulakan mogok lapar mereka Khamis lalu.

Dalam satu kenyataan, Syukri berkata kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan lemah kerana mereka hanya minum air sejak enam hari lalu.

Fadzullah menyertai mogok lapar itu bulan lalu untuk menuntut kebebasan, bersama dengan sekumpulan tahanan, yang sebahagian mereka berpuasa selama seminggu.

Tahanan tersebut menghentikan mogok lapar mereka apabila delegasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melawat pusat tahanan apabila diberitahu mengenainya.

Suhakam kini sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai status tahanan tersebut.

Sumpah Morsi kepada Mesir

Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi bersumpah menjadi seorang pemimpin untuk semua rakyat dengan membawa transformasi berpaksikan ajaran Islam selepas memenangi pemilihan kerusi presiden di negara Arab yang paling ramai penduduknya susulan penggulingan Hosni Mubarak awal tahun lalu.

Mursi, pemimpin pertama Mesir yang dilantik sejak pemberontakan berdarah terhadap penyingkiran Mubarak, memenangi 51.73 peratus undi (13 juta undi) berbanding lawannya juga pernah menjadi perdana menteri semasa pemerintahan Mubarak iaitu Ahmed Shafiq, hanya mengaut 48.27 peratus undi.

"Saya berjanji menjadi seorang presiden untuk semua rakyat Mesir. Apa yang saya harapkan, kita semua dapat mengukuhkan perpaduan negara yang tercinta ini kerana perpaduanlah satu-satunya jalan keluar pergolakan yang sedang berlaku," katanya sejurus diisytiharkan memenangi pemilihan presiden kelmarin.

Mursi yang melepaskan jawatannya dari Ikhwanul Muslimin demi menggalas tugas sebagai presiden turut menyuarakan rasa terima kasih kepada pejuang atau rakyat yang terbunuh demi agama sehingga membuahkan hasil yang lumayan.

"Kita akan terus melaksanakan revolusi," katanya.

Jurutera berumur 60 tahun itu, turut berjanji akan menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa kerana Mesir adalah negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka

SPR mahu saman orang mengaku mengundi 2 kali

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini membuat laporan polis terhadap Zulkifli Ismail yang mendakwa telah mengundi dua kali pada pilihan raya umum (PRU) tahun 1980an di dua pusat pengundian.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang membuat laporan itu berkata Zukifli turut mendakwa dan menuduh dalam, akhbar PAS, Harakah, bahawa suruhanjaya itu menipu apabila satu nama boleh mengundi di semua unit pusat mengundi, serta membuat beberapa tuduhan lain yang memfitnah SPR.

“Ia (laporan itu) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya melemparkan dakwaan dan tuduhan yang memfitnah SPR,” kata Kamaruddin dalam satu kenyataan di sini.

Anwar beri 24 jam untuk NST dan BH meminta maaf

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan surat tuntutan kepada akhbar New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) atas dakwaan bahawa beliau mengarahkan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Abdul Razak Idris mengeluarkan perisytiharan berkanun (SD) mengenai RM3 bilion dikatakan disimpan dalam pelbagai akaun.

Anwar mendakwa bahawa laporan, yang diterbitkan pada 21 Jun dalam kedua-dua akhbar harian, berniat jahat dan fitnah. Peguamnya, R Sivarasa, berkata Abdul Razak menerbitkan pembetulan selepas laporan diterbitkan.

Hari ini Sivarasa, yang menganggotai biro politik PKR, bercakap mengenai mesej teks Abdul Razak yang telah dihantar kepada dua akhbar tersebut selepas laporan mereka diterbitkan.

Menurut Sivarasa, Abdul Razak berkata: "Saya telah tidak diarahkan oleh Anwar [untuk mengeluarkan SD] tetapi saya telah diminta oleh Pesuruhjaya Ketua SPRM untuk mencegah pegawai-pegawainya untuk disapina sebagai saksi plaintif dalam saman sivil itu, yang akan didengar pada akhir November 2009. "

Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Ahmad Said Hamdan.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Sivarasa berkata Abdul Razak menyampaikan mesej tersebut kepada dua penerbitan itu kira-kira dua hari selepas cerita itu dibawa oleh akhbar-akhbar yang mesra Umno.

"Ia adalah jelas sekarang bahawa NST milik Umno dan Berita Harian menerbitkan satu pembohongan terang-terangan terhadap Anwar untuk menyebabkan kerosakan politik kepadanya," katanya. "Umno dan akhbarnya telah pun terbukti membuat kenyataan palsu tentang Anwar yang sangat serius."

Anwar menuntut supaya akhbar-akhbar tersebut menyiarkan penafian Abdul Razak bahawa dia telah membuat suatu akuan berkanun di bawah perintah Anwar. Kedua-dua akhbar menerbitkan berita-berita di muka depan mereka, dan Anwar menuntut bahawa penafian atau pembetulan disiarkan "dengan cara yang sama menonjol".

Anwar juga menuntut bahawa kedua-dua isu memohon maaf dan aku janji untuk tidak menyiarkan berita yang sama pada masa akan datang.

Sekiranya mereka tidak memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam akan datang, Sivarasa berkata, Anwar akan membawa ke mahkamah.

Nak berdebat ke tak nak tanya Anwar pada PM

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dengan sinis mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ingin berdebat dengannya atau tidak.

Anwar berkata, kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan bahawa debat bukan satu budaya juga merupakan helah untuk mengelak daripada berdebat dengan beliau.

"Dia nak debat ke tak nak? Dia anjurkan debat-debat di seluruh sekolah. Hadiah (yang diperolehi ialah piala) perdana menteri. Debat-hadiah-perdana menteri. Di sekolah minta anak-anak untuk berdebat. Hadiahnya (piala) perdana menteri. Tapi perdana menteri kata bukan budaya. Habis yang diajar di sekolah itu apa?

"Itu cuma helah nak elak untuk berdebat," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pidato aspresiasi di majlis pelancaran dan diskusi buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat malam tadi.

Majlis pelancaran dan diskusi buku hasil tulisan Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Jumaat lalu, Najib terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran yang dikemukakan Anwar untuk mengadakan debat.

Katanya, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan perbahasan di Parlimen ada unsur perdebatan, Anwar menafikan perkara tersebut.

"Debat... bila Datuk Najib datang? nak debat atau tidak. Bagi alasan Parlimen ada debat. Tak ada.

"Kedua ini bukan budaya Melayu. Maki orang, pukul orang, bunuh, hina itu budaya Melayu ke? Guna media untuk aibkan orang itu budaya Melayu?" soal Anwar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan pemimpin baru Mesir, Mohamed Morsi, Anwar berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa suara rakyat harus dihormati.

Menurut Anwar, presiden Mesir yang baru itu telah menghadapi pelbagai tuduhan tetapi masih ada kekuatan dan sambutan daripada rakyat negara itu.

"Rakyat Mesir dah buat keputusan. Ini tunjukkan bahawa suara rakyat harus dihormati. Beliau telah dipenjara dan dihina dengan pelbagai tuduhan tetapi masih lagi ada kekuatan dan mendapat sambutan rakyat," kata Anwar.

Ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, Anwar berkata, mantan perdana menteri itu masih mewakili zaman lampau.

Sambil menyifatkan bapa pemodenan itu mewakili pandangan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Anwar berkata, Mahathir masih lagi merasai kehilangan Hosni.

"Mahathir mewakili zaman lampau dan mewakili pandangan Husni Mubarak. Jadi kawan kita Tun Mahathir masih rasa kehilangan Hosni sedangkan rakyat Mesir bergembira," kata Anwar.

Isu Haram jadah : Najib enggan minta maaf

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui jawapan bertulisnya enggan memohon maaf serta menarik balik kata-kata kasar 'haram jadah' yang dikeluarkan sebelum ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli yang memohon agar Perdana Menteri memohon maaf serta menarik balik kata-kata tersebut yang dihemburkan dalam ucapan beliau di Felda Jengka 8 pada 8 Mei lalu.

Najib melalui jawapannya menjelaskan soal permohonan maaf tidak timbul memandangkan kata-kata tersebut diungkapkan sebagai eskpresi kolokial (colloquial expression) semata-mata tanpa ditujukan kepada mana-mana individu.

Jelas, Dr Mohd Hatta apa yang dinyatakan oleh Najib melalui jawapannya itu tidak benar dan beliau perlu tampil memohon maaf bukannya cuba mengelakkan.

"Secara jelas kita lihat kata-kata haram jadah yang dikeluarkan oleh Najib itu ditujukan kepada peneroka yang menentang penyenaraian Felda.

"Dan perkara itu berlaku ketika beliau mengumumkan pemberian RM15 ribu kepada setiap peneroka," jelasnya.

Katanya lagi, mana mungkin beliau mengatakan tidak ditujukan kepada mana-mana individu sedangkan jelas ia dilemparkan kepada peneroka-peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda serta kepada mereka yang membawa Felda ke mahkamah.

"Najib menghina mereka yang dianggap menentang supaya tidak diberikan bantuan RM15,000 iaitu kumpulan 'haram jadah' jadi ianya bukan satu ekspresi kolokial yang begitu umum tetapi tuju khas kepada pihak-pihak yang mencabar Felda.

"Kita mahukan Najib tampil memohon maaf jika beliau ingin memulihkan imejnya sebagai Perdana Menteri," jelasnya. Dr Mohd Hatta menegaskan Najib perlu meminta maaf dan kenapa perlu takut untuk mengaku salah.

Jangan guna saya pertahan Lynas kata Dr Che Rosli

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat memberi amaran agar tidak menggunakan nama beliau untuk mempertahankan projek Lynas atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau yang berkata pada sidang media di Parlimen hari ini, tidak pernah ada mana-mana pihak meminta keizinan darinya untuk terus menggunakan nama beliau serta kenyataannya di Parlimen bagi menyatakan loji Lynas selamat didirikan di Kuantan.

"Secara jelas saya nyatakan bahawa kenyataan saya sebelum ini hanya merangkumi satu bahagian sahaja tetapi jika melibatkan keseluruhan operasi Lynas secara terus terang ia tidak selamat untuk beroperasi.

"Selain itu juga, saya tidak membenarkan mana-mana pihak cuba menggunakan nama saya bagi menunjukkan saya menyokong pembinaan loji tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, jika perkara ini berterusan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dari sudut undang-undang kerana menggunakan nama tanpa izin.

"Sebelum ini Perdana Menteri dalam kenyataannya telah membabitkan nama saya yang turut menyatakan bahawa Lynas itu selamat dibangunkan.

"Saya tidak pernah mengizinkan nama serta kenyataan saya digunakan untuk menyokong pembinaan loji tersebut, Lynas bagi saya tetap merbahaya dan Najib perlu peka dalam soal ini kerana membabitkan saya tanpa sebarang kebenaran," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam kenyataannya memberitahu PAS mendengar pandangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar namun dalam masa yang sama faktor dari sudut lain juga turut diambil kira.

"PAS mengambil kira setiap pandangan pakar tentang isu Lynas seperti mana yang dinyatakan oleh Dr Che Rosli sebelum ini tetapi dari faktor lain kita juga turut mengambil perhatian.

"Secara jelas beliau menyatakan Lynas ini tetap merbahaya dan kepada mana-mana pihak tolong hentikan menggunakan nama beliau dalam mencari sokongan pembinaan loji tersebut jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil," katanya.

Isu Bukit Kepong : Mat Sabu saman Utusan

Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu berkata, beliau akan menyaman akhbar Umno Utusan Malaysia kerana didakwanya telah memfitnahnya dalam isu Mat Indera tidak lama dulu.

Katanya, beliau dituduh memfitnah polis Bukit Kepong bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, tetapi pengadu kes Visva Nathan kemudiannya mengaku bahawa laporan yang polisnya tidak benar dan ada unsur fitnah.

"Akhirnya Visva Nathan yang memohon maaf kepada saya adan merayu supaya dia tidak disaman di mahkamah kerana memfitnah aku," ujar Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu (kiri).

Visva sebagai saksi pertama kes perbicaraan itu pada 11 Jun lalu mengaku di Mahkamah Sesyen Butterworth bahawa beliau membuat dakwaan terhadap Mohamad hanya bersandarkan laporan Utusan Malaysia.

Malah Visva beberapa kali memohon maaf dan mengharapkan Mohamad tidak mengambil apa-apa tindakan kepadanya dan mengaku kini bersaudara dengan pemimpin PAS itu.

"Visva Nathan beberapa kali berkata 'we are brother (kita bersaudara), saya mohon maaf'. Saya sudah maafkan dia.

"Visva Nathan pun dah tua, saya tidak akan menyaman beliau kerana yang jahat dan bongkak ialah Utusan.

"Confirm (sah) saya akan saman Utusan," tambah Mohamad disambut laungan takbir penyokong PAS yang hadir pada Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri di Melaka malam tadi.

Ucapan Dr Mohamed Morsi Presiden Baru Mesir

Ucapannya seakan-akan ucapan yang pernah dilafazkan khulafa' arrasyidin ketika dilantik memimpin ummah, penuh tawadhuk dan menyandarkan kembali kekuasaan kepada pemilik sebenar kuasa, Allah s.w.t

Polis didakwa ambil gambar bogel tahanan ISA

Polis mengambil gambar foto tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) Sami Hammad dalam keadaan berbogel dan mengugut hendak mendedahkannya, dakwa peguam Fadiah Nadwa Fikri.

Fadiah mendakwa, perkara itu berlaku dalam 20 hari pertama ketika Sami ditahan pada 21 Januari tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Sami, warganegara Iraq, didakwa disoal siasat oleh empat pegawai polis di pusat tahanan reman.

Fadiah - penyelaras kumpulan peguam Lawyers for Liberty - berkata beliau melawat Sami pada Jumaat lalu bersama peguam Farhana Abdul Halim. Butiran dakwaan salah laku itu didedahkan Fadiah dalam sidang media hari ini.

Utusan kantoikan Umi Hafilda

Kalau menurut salah seorang sahabat blogger, [ASD], tindakan Utusan meng "kantoi" kan Umi Hafilda ini merupakan rentetan atas sebab perempuan kepoh itu telah membelasah salah seorang pemimpin Umno Permatang Pauh.

Umi Hafilda difahamkan telah menghentam salah seorang pemimpin Umno di dalam ceramahnya. Maka pemimpin Umno tersebut yang barangkali "panas hati" bertindak mendedahkan temberang Umi Hafilda berhubung isu RM3 Bilion ini.

Atas sebab itulah Wanita misteri versi Umi Hafilda ini boleh muncul mendedahkan tembelangnya. Kalau tidak, biasanya Utusan akan buat bodoh sahaja.

Sumber: http://milosuam.blogspot.com/
Wanita misteri yang dikaitkan dengan kes pemilikan akaun induk berjumlah RM3 bilion oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini muncul menafikan menjadi proksi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Zaliah Zakaria, 56, bagaimanapun mengakui mengenali isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika memegang jawatan Presiden dan juga pemilik Syarikat Wira Tangkis Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat itu banyak memberi sumbangan dalam kejohanan badminton Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) pada akhir 1990-an semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut mengakui pernah menaja aktiviti sukan air salah seorang anak Anwar di Pulau Pinang semasa Ketua Pembangkang itu dalam penjara selain menerima kunjungan Wan Azizah yang baru pulang dari mengerjakan umrah semasa menetap di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

"Hubungan kami sekadar kawan kerana saya juga meminati sukan badminton. Saya tidak mengenali Anwar malah tidak pernah terlibat dalam politik.

"Oleh itu saya hairan bagaimana nama saya dikaitkan dengan Anwar dan berita ini pernah berlaku pada 13 tahun lalu tetapi saya biarkan.

"Namun kali ini disebabkan wajah saya disiarkan (Mingguan Malaysia) saya tiada pilihan selain untuk tampil menjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wajah Zaliah dipaparkan di muka depan Mingguan Malaysia hari ini berikutan pendedahan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali berhubung seorang wanita yang dikatakan sangat dikenali oleh Anwar.

Dalam pendedahannya, Ummi Hafilda mendakwa, Anwar kenal sangat dengan wanita tersebut yang bukanlah seorang istimewa atau ahli korporat tetapi cukai pendapatan mencecah RM50 juta.

Selain itu, Ummi Hafilda mendakwa, wanita itu memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo kebanyakkan di Pulau Pinang.

Berikutan dakwaan itu, Zaliah meminta Ummi Hafilda agar tampil bersama bukti-bukti bagi membersihkan nama beliau dan keluarganya.

Selain itu, beliau juga meminta Anwar mengeluarkan kenyataan segera bagi menafikan hubungan mereka seperti didakwa pihak tertentu.

Dalam pada itu, Zaliah mendakwa memiliki aset berbentuk wang tunai dan hartanah berjumlah RM100 juta hasil daripada perniagaan lumba kuda yang dijalankannya pada akhir 1990-an.

Menurutnya, bagaimanapun kesemua asetnya bertukar hak milik semasa beliau ke Dubai untuk melupakan kesedihan ekoran kematian anak lelakinya pada Januari 2000.

"Seminggu semasa berada di sana (Dubai), pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat serbuan di rumah saya dan menyita 10 buah peti besi di Bukit Jambul, Pulau Pinang mengandungi wang tunai, barangan kemas dan dokumen penting.

"Pada masa sama, saya dinasihatkan oleh peguam supaya tidak pulang sehinggalah setahun baru saya pulang ke tanah air namun mendapati semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM26 juta di dalam bank telah dipindah milik," jelasnya.

Beliau berkata, harta-hartanya yang lain termasuk empat buah rumah di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM3.68 juta.

Katanya, pada masa itu beliau turut diburu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan dengan cukai pendapatan berjumlah lebih RM50 juta hingga beliau diisytiharkan muflis tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ummi Hafilda ketika dihubungi memberitahu, beliau tidak pernah mendakwa mengenali Zaliah secara peribadi.

Katanya, pendedahan yang dibuat adalah bertujuan semata-mata mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kaitan antara wanita berkenaan dengan Anwar.

"Ini bukan isu kenal atau tidak kenal. Saya sendiri tidak pernah mendakwa bahawa saya mengenal perempuan berkenaan (Zaliah) secara peribadi.

"Pendedahan yang saya lakukan itu bertujuan untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes pemilikan akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Anwar. Saya telah serahkan bukti dan sekarang tugas SPRM menyiasat apa kaitan, hubungan atau penglibatan perempuan itu dengan Anwar," katanya.

Tiada krisis saya sanggup sumpah kata Rafizi

Rafizi Ramli menafikan sekerasnya-kerasnya tindakan beliau meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor minggu lalu disebabkan krisis dengan pemimpin PKR dan sanggup untuk "bersumpah" menyangkal tanggapan sedemikian.

Menurut Pengarah Strategi PKR ini, beliau tidak pernah mempunyai sebarang krisis dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin atau pun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, kononnnya telah memaksa membuat keputusan meletakkan jawatan.

"Isu itu tak ada kebenaran. Cuma tindakan saya itu memberi kejutan kepada ahli PKR sahaja.

"Saya rasa itu mungkin 'cybertrooper' Umno yang menyamar menjadi ahli PKR menyebarkan fitnah tersebut," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan semua ahli pimpinan PKR termasuk Pakatan Rakyat (PR) dan bukan hanya berdasarkan hubungan parti sahaja.

"Saya rapat dengan semua Azmin dan semua rakan PKR.

"Saya kenal Azmin sebelum saya jadi ahli PKR lagi dan hubungan kami bukan berdasarkan parti semata-mata tapi seperti keluarga," katanya.

Azmin juga Pengarah Pilihan Raya PKR dan Pengerusi PKR Selangor.

Rafizi berkata, cerita yang ditimbulkan Umno mungkin untuk memecahbelahkan PR, namun keadaan tersebut akan memudaratkan lagi kedudukan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

"Kalau mereka (Umno) benar-benar kaji tentang saya, mereka akan tahu saya begitu rapat dengan semua orang. "Saya juga sering bertemu Faekah tapi disebabkan bidang tugas yang berlainan kadang-kadang tidak dapat untuk bertentang mata," kata Rafizi lagi.

Rafizi juga berkata, isu yang dimainkan Umno memang tidak betul dan beliau boleh bersumpah untuk menafikan fitnah tersebut. "Demi ALLAH saya tak ada pertelingkahan dengan Faekah atau ahli-ahli PKR yang lain," katanya.

Najib pertahan ambil alih kementerian wanita

Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakannya mengambil alih kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan tidak melantik anggota parlimen wanita untuk portfolio itu.

Perdana menteri berkata, tindakan itu hanya sementara dan selepas memenangi pilihan raya, menteri wanita akan dilantik menggantikannya.

Bercakap dalam sesi soal jawab di Parlimen, Najib (kiri) berkata, melaksanakan program kementerian dan memperkasakan situasi wanita lebih penting pada masa ini.

Pembangunan wanita sudah mencapai tahap kejayaan di bawah pemerhatian kita, kata Najib lagi.

Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) dalam soalan tambahannya bertanya kenapa kementerian itu diketuai lelaki sedangkan terdapat dasar untuk memastikan penyertaan 30 peratus golongan wanita dalam proses membuat keputusan.

Najib memangku jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil - yang diasak hebat dalam isu Nasional Feedlot Corporation (NFC) - selepas tempoh perkhidmatannya sebagai senator berakhir pada 8 April.

Kemenangan Dr Morsi inspirasi buat PAS

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kemenangan Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir sebagai inspirasi buat PAS bagi memimpin kebangkitan rakyat dalam PRU13.

“DPPM percaya kemenangan ini menunjukkan bahawa trend dan gelombang perubahan telah semakin diterima oleh rakyat seluruh dunia dan trend ini sedang menular pula ke negara ini,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Justeru, kata beliau jentera dan penyokong PAS di seluruh negara menyambut kemenangan ini dengan bertakbir dan bersyukur serta menaikkan semangat mereka bekerja bagi menghadapi pilihan raya di negara ini pada bila-bila masa.

Katanya, DPPM juga merasa bersyukur dan mengucapkan tahniah di atas kemenangan Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru.

“Kemenangan ini wajar buat rakyat Mesir yang telah terjajah lama di bawah rejim Hosni Mubarak yang bertindak zalim terhadap rakyatnya,” katanya.

Katanya, Rakyat Mesir juga bergelut dengan krisis kepimpinan yang berlarutan sejak kejatuhan Hosni Mubarak sehingga telah membunuh beribu rakyatnya.

Bagi DPPM, ujarnya tidak ada apa yang lebih memaniskan selain apabila rakyat Mesir memilih jalan demokrasi yang sebenar dalam pemilihan kepimpinan mereka.

“Keputusan yang dianggap adil dan telus telah menyaksikan rakyat memilih Dr Mohammed Morsi sebagai Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafiq mewakili proksi rejim terdahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demokrasi yang tulen dan telus adalah jalan keluar bagi mereka yang mencari keadilan dalam sesebuah negara, dan Mesir telah berjaya mendapatkannya.

“DPPM mendoakan supaya negara Mesir menjadi aman, makmur dan adil di bawah pemerintahan Dr Mohammed Morsi.

“DPPM juga mengharapkan supaya rakyat di sana turut mendoakan supaya angin perubahan ini melanda negara ini dengan kemenangan mutlak kepada Pakatan Rakyat pula dalam PRU ke 13,” tambahnya.

Ulama UMNO akui PAS konsisten

Ulama Muda Umno, Fathul Bari memberitahu PAS sangat konsisten di mana politik tidak boleh dipisah dengan agama.

“Saya setuju di mana PAS sangat kosisten dalam isu tersebut. Saya pertegaskan ketaatan di atas perkara yang makruf.

“Apabila timbul segala masalah hendaklah kita rujuk kepada al Quran dan Hadis,” katanya pada Wacana Perdana anjuran kerajaan negeri di Balai Islam malam tadi.

Wacana siri ke-11 mencatat sejarah apabila seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah tidak dapat mengawal emosinya apabila hujahnya mendapat respon negatif penonton.

Ada ketikanya selepas diberi peluang moderator, Amin Idris, pengacara TV9 Dr Ridhuan tidak mahu menjawab soalan mungkin terkilan dengan gelagat penonton.

Malah beliau dua kali bangun berdiri ketika menjawab soalan moderator dan penonton. Amalan itu tidak pernah berlaku sejak siri wacana diadakan tiga tahun lalu.

Penalis lain bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Wacana itu juga mencatat sejarah apabila kehadiran luar biasa sehingga ramai terpaksa mengikuti dengan menonton melalui skrin besar di luar dewan.

Fathul juga berkata, sejak lebih setahun menyertai Umno beliau telah memberi nasihat kepada pemimpin Umno secara tertutup dan bukan terbuka.

Selain itu beliau menganjurkan program usrah di Masjid PWTC dan merangka modul usrah.

Beliau yang agak petah membaca ayat-ayat al Quran dan Hadis serta membawa sirah-sirah pada awalnya menerima terjahan penonton apabila berkata, kalau hendak bercakap politik hendaklah keluar daripada kepompong agama.

“Antara PAS dan Umno sebenarnya bukan berpecah sebaliknya hanya berselisih pandangan. Maka saya datang ke sini malam ini untuk mencari kaedah membincangkan Islam dan bukan untuk berpecah,” ujarnya.

Tiada keperluan untuk debat Najib dengan Anwar kata KJ

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempertahankan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih mengelak untuk mengadakan debat dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi alasan, pada masa ini tiada kepentingan untuk mengadakan debat di antara pemimpin utama dalam sesebuah parti politik.

Namun sekiranya tiada interaksi langsung di antara Najib dan Anwar, barulah debat itu perlu diadakan, katanya ketika ditanya dalam sidang media hari ini.

"Kalau sekiranya kita tak ada interaksi antara perdana menteri dan ketua pembangkang, jadi keperluan debat itu penting.

"Saya tak nampak keperluan yang terdesak untuk buat debat. Tapi sistem parlimen kita mengamalkan debat perbahasan di Parlimen dan ia selalu terjadi," kata Khairy.

Jelasnya, perbahasan yang dijalankan di Parlimen mempunyai unsur perdebatan apabila perdana menteri membentangkan usul atau menjawab soalan perwakilan dan dicelah oleh ketua pembangkang.

"Kita cari pemimpin, bukan cari pemidato. Setiap kali dalam Parlimen, kita membalas hujahan di Parlimen. Perdana menteri jawab, menggulung setiap soalan dalam perbahasan.

"Anwar antara yang akan bersoal-jawab. Itulah debat. (Ia) setiap kali berlaku di Parlimen," katanya lagi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung kenyataan Najib pada Jumaat lalu bahawa debat bukanlah satu budaya politik di negara ini.

Gelombang Hijau landa Perlis

Gelombang Hijau ke Putrajaya meneruskan momentumnya dengan himpunan yang diadakan di peringkat negeri Perlis pada 22 Jun lalu di Markas PAS Kampung Paya di DUN Santan dekat sini.

Meskipun buat julung kalinya, program besar seumpama ini diadakan di luar premis induk PAS Perlis samada Kompleks PAS Perlis di Kangar mahupun Markas Tarbiah PAS Perlis di Jejawi, sambutan orang-ramai amat membanggakan dengan lebih 5000 orang hadir membanjiri dataran di hadapan markas PAS tersebut.

Sambutan hangat ini diceriakan lagi dengan kehadiran begitu ramai ahli dan penyokong Umno tempatan dan luar kawasan yang sama-sama ingin mendengar ucapan dari pimpinan khususnya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan undangan khas, Tamrin Ghafar.

Program himpunan dimulakan dengan majlis solat hajat dan munajat yang dipimpin oleh Dewan Ulama PAS Perlis.

Kemudiannya, program kemuncak himpunan dimulakan dengan para hadirin menyanyikan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS dengan diikuti bacaan surah an-Nasr oleh qari jemputan yang mambacanya dalam tiga lagu tarannum.

Pengarah Program, Mohd Anuar Tahir memulakan ucapan diikuti ucapan dari Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis, Khoo Yang Chong; Timbalan Ketua Muslimat PAS Perlis, Haton Osman; Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Azmir Azizan dan Ketua Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.

Isu 3 billion : UMNO cabar Anwar saman

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaman pihak yang mendakwa Ketua Pembangkang itu memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion jika tuduhan mereka tidak benar.

"Yang amat saya hairan mengapa sehingga hari ini Anwar tidak saman Ummi Hafilda, Anuar Shaari dan Kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) yang membuat kenyataan berani itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Anwar perlu menjelaskan jika benar akuan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid dan Ummi Hafilda mengenai wang RM3 bilion itu.

Khamis lepas, sebuah akhbar harian melaporkan pendedahan Abdul Razak bahawa beliau telah membuat akuan bersumpah untuk membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion atas permintaan Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia segera menyiasat kes tersebut agar kebenaran dapat diperoleh.

Guan Eng akan serahkan RM220,000 gantirugi dari Utusan kepada badan amal

Guan Eng akan serahkan RM220,000 gantirugi dari Utusan kepada badan amal..

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam saman fitnahnya terhadap Utusan Malaysia sebagai satu kemenangan untuk kebebasan akhbar di Malaysia.

Beliau juga akan mendermakan RM220,000 ganti rugi yang akan dibayar kepadanya oleh akhbar tersebut kepada badan amal dan kebajikan.

“Ini adalah kemenangan untuk kebebasan akhbar kerana di negara ini media dimonopoli oleh akhbar arus perdana yang pro Umno-BN.

“Mereka secara berterusan telah memfitnah saya dalam isu yang sama, tetapi tidak sekalipun diberikan hak untuk menjawab dalam isu yang mereka timbulkan.

“Kalau adapun, kenyataan saya akan diputar belit, jadi sebab itu kerajaan pusat harus membebaskan media-media kita dari cengkaman akta yang mengongkong kebebasan media.

“Ini kerana media telah dikongkong oleh Umno-BN,” kata Guan Eng ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Betul saya nak tumpu PRU13 kata Rafizi

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor minggu lalu semata-mata untuk membuat persediaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kata Rafizi, beliau ingin memberi fokus sepenuhnya ke atas PRU yang bakal dilangsungkan, di peringkat kerusi yang ditandinginya kelak dan juga atas kapasiti Pengarah Strategi PKR melibatkan partinya di peringkat nasional.

Beliau dijadual mengadakan sidang media khas menjawab pelbagai persoalan mengenai keputusannya melepaskan jawatan itu esok.

Rafizi turut berkata, beliau bakal ditempatkan di kawasan yang telah dipersetujui ketika PRU13 dan perlu bekerja keras untuk itu.

"Betul, saya nak tumpukan ke atas PRU yang akan berlangsung tak beberapa lama lagi, yang memerlukan saya bekerja kuat sepanjang minggu (menjelang pilihan raya).

"Kalau dulu saya hanya buat kerja untuk parti secara sambilan, tapi sekarang ceramah sepanjang minggu," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online sebentar tadi.

Menurut beliau lagi, dakwaan Umno kononnya wujud perselisihan faham dan berbalah dengan pemimpin-pemimpin PKR adalah tidak benar.

"Dakwaan Umno sama sekali tak betul, rakyat boleh tengok dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi keretakan yang didakwa mereka tak akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau mengambil keputusan secara mengejut tersebut kerana tidak mahu ada pihak yang akan menghalang keputusan peribadainya itu.

"Saya ambil keputusan ini kerana tak nak orang halang keputusan saya nanti. Ini keputusan peribadi saya dan harap semua orang akan sokong dengan keputusan ini," katanya lagi.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, punca Rafizi meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap perancangan untuk bertanding pada PRU13.

“Beliau berusaha menjadi Ahli Parlimen, oleh itu, beliau tidak mahu banyak persoalan yang timbul, dan mahu bertindak secara individu,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Rafizi yang dikatakan ada kaitan dengan dakwaan wujud krisis dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Rafizi tidak mempunyai sebarang krisis kerana kedua-duanya bertindak secara profesional. Abdul Khalid berkata, Rafizi mahu menjadi seseorang yang bebas menyuarakan pendapat dan tidak lagi terikat sebagai kakitangan Kerajaan Negeri.

Live Streaming Ceramah Anwar Ibrahim dari Bukit Gantang

Video dibawah merupakan Live Streaming atau video siaran langsung ceramah Anwar Ibrahim sempena Jelajah Merdeka Rakyat dari Taman Ria Simpang, Bukit Gantang. Saksikan.

UMNO Perlis pecah dan diambang kejatuhan

Seorang pemimpin veteran Umno Perlis meramalkan BN akan tumbang dalam pilihan umum ke 13.

Bekas Ketua Penerangan negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, pertelagahan sesama pemimpin dan wakil rakyat Umno yang tercetus sejak 2008 belum berakhir.

“Menteri Besar Datuk Seri Mohd Isa Sabu belum mengambil sebarang langkah untuk merapatkan semula hubungannya dengan pemimpin lain.

“Beliau harus ingat musuh beliau bukan Shahidan seorang. Mana-mana ADUN yang tidak dilantik semula itu adalah musuh-musuhnya.

“Lagi pun, Mohd Isa seorang pemimpin yang lemah dan tiada kebolehan,” kata penyokong kuat bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kumpulan Shahidan

Perpecahan Umno Perlis bermula selepas pilihan raya umum 2008, apabila Shahidan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Selepas menjadi Menteri Besar, Mohd Isa membuat rombakan kabinet negeri dengan mengetepikan penyokong kuat Shahidan.

“Bohong jika mengatakan Umno Perlis kuat,” kata Hashim.

“Jika ada kenyataan seperti itu, sama ada kepimpinan negeri menipu atau pemimpin Pusat tidak mengambil peduli Umno Perlis.”

Hashim menambah, mesyuarat Umno berkelompok Umno Kangar baru-baru ini boleh dijadikan ukuran.

“Ketua-ketua cawangan yang datang tidak sampai 50 peratus, Wanita (60 peratus) manakala Pemuda dan Puteri sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Perlis di ambang kejatuhan,” katanya lagi.