Pages

Majoriti 2/3 di Kelantan mampu dipertahan kata PAS

Walaupun tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13 masih lagi menjadi tanda tanya, PAS Kelantan tetap yakin mampu mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga mereka di negeri tersebut, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ahli mesyuarat negeri Kelantan (Exco).

Keyakinan itu berdasarkan usaha yang dilaksanakan kerajaan PAS kelantan untuk kesejahteraan rakyat selain tiada isu besar yang mampu menggugat pemerintahan menteri besar (MB), Datuk Nik Aziz Nik Mat, kata Mohd Amar yang juga Timbalan Pusurujaya III PAS negeri tersebut.

Walaubagaimanapun, Mohd Amar enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.

“Setakat ini Insya-Allah berdasarkan kajian dan usaha-usaha yang kita buat, kita yakin boleh mempertahankan Kelantan. Paling kurang kita boleh menang dua pertiga kerusi ada dalam tangan,” katanya kepada seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Exco Kelantan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui menghadapi saingan hebat daripada PAS untuk merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Mustafa mengakui kesukaran tersebut disebabkan faktor PAS yang telah memerintah Kelantan selama 22 tahun.

Mohd Amar berkata, kenyataan Mustapa tersebut menunjukkan Umno Kelantan realistik kerana menyedari berhadapan masalah besar untuk merampas negeri Kelantan daripada PAS.

“Saya berterima kasih kepada ‘Tok Pa’ (Mustapa) yang bercakap secara objektif dan realistik mengaku ada masalah-masalah yang dihadapi sebab selama ini dia (Mustapa) seolah-olah boleh ambil Kelantan dengan mudah,” katanya.

Walaubagaimanapun, Mohd Amar tidak menolak agar PAS terus berkerja keras bagi memastikan tidak ada satu kerusi pun yang akan terlepas kepada pihak lawan.

“Usaha kita untuk mempertahankan apa yang ada, sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi yang kita menangi sebab kita tidak hendak terlepas, itu asas sekarang. Kalau dapat lebih kerusi pun tidak apa, lagi baik,” katanya.

PAS Kelantan berjaya menawan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dari 45 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam kerusi Dun dengan satu kerusi tambahan apabila memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas.

Bagi kerusi Parlimen pula, PAS berjaya merampas sembilan kerusi dari 14 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

Hairie Othman belum rancang bertanding PRU

Pelakon Hairie Othman yang baru sahaja menyertai PAS tidak menolak kemungkinan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika dicalonkan.

Hairie ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sendiri sendiri belum merancang untuk berbuat demikian buat masa ini.

"Itu saya saya tidak menolak (kemungkinan akan dicalonkan). Tetapi buat masa ini saya masih belum memikirkan ke arah itu. Saya anggap diri saya ini sebagai aktivis parti sahaja," kata Hairie.

Ura-ura itu timbul apabila beliau dilihat semakin rancak berceramah di pentas PAS selepas menyertai parti itu secara rasmi akhir Jun lalu.

Mengulas lanjut, Hairie berkata penyertaannya ke dalam PAS merupakan satu bentuk penghijrahan agama dan politik.

"Dua-dua sekali (hijrah agama dan politik), dan sejak masuk PAS ini saya banyak belajar tentang agama," kata Hairie.

Penyertaan golongan pelakon dan penyanyi ke dalam parti pembangkang merupakan sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.

Salah satu penyebabnya adalah tanggapan bahawa mereka yang berbuat demikian akan sukar mencari makan menerusi media massa perdana yang dilihat menyebelahi parti pemerintah.

Mengulas perkara itu, Hairie menegaskan yang beliau yakin rezekinya tetap akan terjamin walaupun bergiat aktif dengan PAS.

"Kita sentiasa boleh cari sumber rezeki yang lain," katanya.

Menurutnya lagi, sokongan terhadap Pakatan Rakyat di kalangan seniman dan selebriti tanah air juga semakin meningkat akhir-akhir ini.

Namun demikian tambahnya, ramai yang memilih untuk tidak menyatakan sokongan mereka secara terbuka kerana tidak mahu sumber pendapatan mereka terjejas.

"Kawan-kawan artis ada yang menyokong dan bersama Pakatan Rakyat secara senyap-senyap.

"Cuma kebanyakannya memilih untuk tidak menyuarakannya kerana masih mahu kekal dalam industri," kata Hairie.

Selain Hairie, turut menyertai PAS setakat ini ialah penyanyi Aishah, pelawak Bob Lokman, dan terbaru pelakon Abby Abadi ketika parti itu dilihat semakin rancak menerima keanggotaan dari selebriti dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Penglibatan Hairie dalam bidang lakonan bermula menerusi filem pertamanya, Kad Cinta pada tahun 1995.

Popularitinya melonjak naik pada tahun 2000 selepas memegang watak Leftenan Adnan dalam filem dengan judul sama.

Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan

Kartunis politik Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, hari ini menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Zunar.

Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dipetik oleh The Star hari ini, Zunar berkata, keputusan mahkamah hari ini sebahagian kemenangan bagi kesemua kartunis politik memandangkan Vazeer memutuskan bahawa tindakan menahan buku-buku berkenaan adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi penahanan Zunar adalah sah pada waktu itu.

Saham FGV Holding terus jatuh

Perkara yang dibimbangkan selama ini terhadap penyenaraian Felda ke pasaran saham antarabangsa akhirnya terjadi. Harga saham Felda Global Venture yang dipaparkan di Bursa Malaysia terus menjunam.

Harga saham Felda pada waktu ini menunjukkan trend menurun dan dilihat akan terus menurun untuk satu tempoh waktu menimbulkan kebimbangan di kalangan pemegang saham [Bursa Malaysia].

Kalau dilihat pada waktu ini para pelabur sedang mengalami kerugian.

Meskipun suatu masa harga saham dilihat melonjak melebihi paras harga ketika ia dibuka, namun kini ia berada pada tahap kerugian di bawah harga ketika mula-mula ia dibuka.

Spekulasi menjangkakan trend menurun ini akan berterusan, menyaksikan ramai pemilik saham sudah mula menjual saham-saham mereka kerana bimbang mengalami kerugian yang lebih teruk.

Sumber: http://milosuam.blogspot.com/

Video Lajim Ukin Cabar Najib Pecat Timbalan Menteri

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lajim Ukim mengajak rakyat Sabah supaya meninggalkan ‘kapal Barisan Nasional (BN) yang bocor’ dan bakal tenggelam.

Pada pelancaran Pakatan Perubahan Sabah (PPS) di rumahnya di Beaufort malam tadi, beliau menggesa rakyat negeri itu, khususnya pengundi Beaufort menaiki kapal baru.

“Ayuh kita masuk kapal baru. Jangan ikut kapal BN yang bocor dan akan tenggelam,” katanya depan kira-kira 20,000 penyokongnya.

Beliau mencabar Perdana Menteri Najib Altantuya memecatnya sebagai timbalan menteri setelah mengisytiharkan keluar dari Umno-APCO yang dipegangnya selama lebih 20 tahun.

Tidak sedikit pun menyesal jika dipecat, Lajim hanya menunggu Najib Altantuya memecatnya sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno-APCO yang akan diputuskan hari ini.

Malah beliau rela dipecat dari semua jawatannya kerana kepentingan rakyat Sabah lebih penting daripada pangkat dan wang ringgit.

Turut hadir ialah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Pengerusi KEADILAN Sabah, Ahmad Thamrin Jaini; bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan pimpinan KEADILAN lain.

Lajim menyifatkan tindakan itu perlu kerana Umno BN selama ini membuli rakyat Sabah dengan mengabaikan mereka lantaran menganggap mereka sebagai pengundi ‘deposit tetap’.

“Umno BN buat sesuka hati mereka sebab kita dipandang sebagai fixed deposit (deposit tetap). Saya beri amaran kepda BN, jangan buli rakyat Sabah lagi,” katanya.

Setiap kali Lajim mengajak penyokongnya menukar kerajaan, orang ramai akan bersorak dengan melaungkan ‘Tuuuuukar’ -slogan PPS dan Angkatan Perubahan Sabah (APS).

“Sabah kaya dengan hasil balak dan minyak banyak tapi yang kaya adalah kroni Umno di Sabah dan Semenanjung. Rakyat Sabah tetap sama – miskin,” katanya.

"Saya cabar tuan-tuan tunjuk pada saya, mana jalan raya highway kita di Sabah ini, tolong tunjuk... Ini bukan penumbuk, ini highway, ini jalan kampung... Terima kasih pada Yang berhormat Datuk Seri Anwar kerana dialah yang meluluskan jalan raya ini, pada tahun 1996," tambahnya

Lajim juga menegaskan sokongannya terhadap Pakatan Rakyat bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya demi kebajikan rakyat Sabah.

“Saya sudah kaya tapi apakah rakyat Sabah juga kaya? Tidak. Mereka masih miskin. Dulu, saya sokong Umno masuk ke Sabah dulu, sebab mahu tolong rakyat tapi tidak, nampaknya.

“Ada yang tuduh, pembangkang beli saya. Apa sangatlah duit pembangkang. Yang sibuk mahu beli ialah BN,” katanya.

PAS alukan pimpinan Sabah kalau mahu bersama

PAS mengalu-alukan semua pemimpin politik di Sabah kalau mahu bersama-sama dengan PAS dalam memperjuangkan keadilan di negara ini.

Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Hatta Ramli membuka laluan itu ketika berucap dalam majlis pengumuman pimpinan BN Sabah yang meninggalkan BN.

Mereka diketuai oleh anggota Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang mengumumkan tindakan beliau meninggalkan BN dan akan bersama Pakatan Rakyat.

"Saya memuji keberanian tuan-puan semua menolak BN yang sememangnya sudah melampaui batas.

"Tindakan tuan-puan semua bukannya terburu-buru tetapi setelah mengambil masa begitu lama namun BN tidak berubah," kata Dr Hatta di majlis itu.

Turut serta di majlis pengumuman Wilfred itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling.

Semalam, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin membuat pengumuman di satu majlis yang lain meletakkan semua jawatannya dalam Umno. Namun beliau masih kekal ahli Umno.

Dalam ucapan itu, Dr Hatta turut berkata, kunjungan hormat Lajim menemui Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menimbulkan pelbagai spekulasi.

"Saya mengalu-alukan kalau tuan-puan mahu bersama PAS tetapi yang lebih penting buat masa ini adalah keluar dari BN dan membantu Pakatan Rakyat membawa perubahan kepada Sabah," kata Dr Hatta di majlis itu.

Beliau yang berucap lebih awal dari Wilfred Bumburing kerana terpaksa bergegas ke Kota Kinabalu untuk mengejar pesawatnya untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian masuk PAS

PAS Negeri Sembilan menerima suntikan semangat baru apabila bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapah Mohd Omar menyertai PAS secara rasmi kelmarin.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kawal Selia Air Selangor; Penolong Pegawai Daerah Port Dickson dan Penolong Pegawai Daerah Seremban.

Mustapah bersara pada tahun lepas.

Mustapah menyerahkan borang ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di majlis berbuka puasa anjuran PAS Seremban di PASTI Wildan, Ampangan, Seremban.

Turut menerima penyertaan Mustapah ke dalam PAS ialah Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby.

Kontrak Abby jadi duta tudung ditamatkan selepas sertai PAS

Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi menulis dalam laman sosial Twitter yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung, baru sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam PAS.

"4 Julai 2012 - Kontrak saya sebagai duta kepada tudung mereka terbatal secara rasminya.

"Saya terima dengan hati terbuka & saya minta maaf kerana terlibat Pakatan Rakyat," tulisnya di laman Twitter pagi tadi.

Sementara itu syarikat tudung berkenaan, AlHumaira Contemporary, dalam maklum balas segera dalam facebooknya berkata, kontrak itu ditamat kerana "tidak mencapai matlamat yang diharapkan".

Tanpa menyebut nama Abby, syarikat itu menegaskan bahawa pihaknya sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masa yang dianggap sesuai mengikut situasi.

"Itu ialah hak kami dan kami berharap semua pihak boleh respect (hormat) keputusan ini," kata syarikat itu pada laman Facebooknya.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah - ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu - menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.

Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.

"Saya tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya terlibat secara tak sengaja," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.

Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.

"Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS," kata Abby.

Abby yang dahulu merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai lalu.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas dijemput parti itu untuk berceramah tentang perubahan dirinya daripada seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.

"Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi tentang saya punya hijrah itu," kata Abby.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.

"Kita nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama," kata Abby ringkas.

Ku Li mahu BN selesai isu royalti sebelum PRU

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya - kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.

Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13.

Beliau berkata, ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan.

"Saya kata apa yang dilakukan oleh mereka sudah cukup kecuali hendak digerakkan di peringkat 'grass root' supaya mereka tak tunggu pemimpin datang baru nak bergerak. Tengok parti-parti lawan bergerak sepanjang masa.

"Jadinya, saya cadang kalau boleh diatasi atau diselesaikan dua perkara yang dihadapi oleh rakyat Kelantan, saya rasa masalah boleh selesai...

"Satunya mengenai tuntutan rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sememangnya sudah pun ditentukan oleh Akta Kemajuan Petroleum yang dibuat pada tahun 1974 atas kehendak Tun Razak yang juga menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu," kata beliau lagi.

Katanya, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya.

Tengku Razaleigh pada masa yang sama menepis kritikan kononnya beliau kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum.

"Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak.

"Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah," katanya.

Najib akan bersama rakyat Kelantan dalam bulan puasa ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melakukan lawatan sehari ke Kelantan untuk bersama rakyat negeri ini pada Ramadan ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri dijadual bertemu rakyat di Bachok dan Ketereh di sini.

Tarikh dan atucara lawatan Najib bagaimanapun belum dimuktamadkan, katanya.

“Kita yakin lawatan ini dinanti-nantikan rakyat Kelantan, kita tahu Perdana Menteri banyak turun ke bawah pada bulan Ramadan ini dan Kelantan tidak dipinggirkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota pemikir Umno Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa (foto fail), yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata lawatan Najib, yang juga Presiden Umno itu, juga akan memberi semangat dan motivasi kepada pemimpin dan anggota Umno Kelantan untuk bekerja lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Umno Kelantan sudah mengadakan program bagi mendekati pengundi negeri ini yang berada di luar termasuk Lembah Klang, memandangkan mereka mempunyai peranan besar dalam pilihan raya.

“Kita mengadakan pelbagai program dalam bulan Ramadan ini, antaranya majlis berbuka puasa dengan pengundi luar di Lembah Klang, kita menyakinkan kepada mereka bahawa Umno Kelantan mempunyai komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat Kelantan dan mengubah keadaan Kelantan,” katanya.

Mustapa berkata perubahan tersebut termasuk kemudahan infrastruktur yang lebih baik, pendapatan rakyat semakin bertambah, masalah kemiskinan dapat dikurangkan dan pekerjaan untuk rakyat diperbanyakkan.

Ahli Parlimen Tuaran pula keluar BN dan sokong Pakatan

MP Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan daripada parti Upko dan seterusnya menyokong Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau telah berbincang dengan beberapa orang anggota jawatankuasa tertinggi dan ketua bahagian Upko dan akan meninggalkan BN.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Angkatan Perubahan Sabah (APS) di Tuaran.

"Saya masih setia kepada Upko tetapi meletak jawatan dari BN," katanya.

Bumburing sebelum ini meletak jawatan sebagai pengerusi BN kawasan tersebut tanpa mengemukakan apa-apa sebab.

Beliau hari ini berkata kekecewaannya ke atas janji BN yang tidak ditepati dan peningkatan jumlah imigran tanpa dokumen serta royalti petroleum menyebabkan beliau bertindak demikian.

'Janji Ditepati' Lagu Paling Buruk Dan Busuk Dalam Sejarah Malaysia

Saya tertarik untuk mengulas tentang lagu tema sambutan kemerdekaan negara ke-55 yang kini sedang hangat diperkatakan di kalangan rakyat khususnya anak muda Malaysia.

Jika diteliti respon dan sambutan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog, ternyata lagu Janji Ditepati yang mana liriknya ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim ini diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka oleh khalayak internet khususnya di kalangan anak-anak muda.

Semakan saya di laman YouTube mendapati, setiap video yang memaparkan lagu ini menunjukkan bilangan pengunjung yang mengundi untuk tidak menyukai (dislike) jauh lebih tinggi berbanding pengunjung yang mengundi untuk menyukai (like) video lagu ini.

Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan melodinya yang cincai dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah lirik lagu ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan untuk memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar sambutan ulangtahun kemerdekaan negara.

Bermula dari rangkap awal lagu ini yang mengungkapkan perumpamaan kabur -- "macam malam ikut siang, macam bulan ikut matahari" -- diikuti dengan "satu Malaysia terus berjuang, janji kita ditepati", pendengar pastinya gagal memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.

Apa kaitan malam, siang, Bulan dan Matahari dengan konsep 1Malaysia? Apakah 1Malaysia ini hanya retorik bersifat janji kosong sehingga objek-objek angkasa lepas seperti Bulan dan Matahari pun boleh ditawarkan kepada rakyat?

Maka dari rangkap awal lagi lirik pembukaan lagu ini sudah bermasalah dan gagal menyampaikan sebarang mesej kepada pendengar.

Pendengar kemudiannya akan dibuai dengan lirik perihal "janji dikota" (kononnya) dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah iaitu "janji sudah ditepati, kini masa balas budi". Persoalan yang timbul adalah janji siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya "kini masa balas budi"?

Pendengar yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN (kerajaan sekarang) telah berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.

Lantaran itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu yang seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium propaganda picis dan ditransformasikan menjadi lagu kempen untuk meraih undi dalam pilihan raya?

Pada bahagian korus pula, secara jelas dapat disimpulkan bahawa lagu ini sebenarnya adalah wahyu penguasa yang diturunkan sebagai ingatan kepada rakyat.

Ini berbeza dengan lagu-lagu tema sambutan kemerdekaan sebelum ini khususnya di era Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi yang lebih berteraskan unsur kekitaan dan kebersamaan di antara pelbagai lapisan rakyat.

Keseluruhan bahagian korus lagu ini jika diteliti sememangnya tiada langsung penzahiran elemen patriotisme dan penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara. Apa yang ditonjolkan hanya sekadar memuja-muja dan mengangkat retorik kosong janji 1Malaysia yang sehingga kini masih kabur dan mengelirukan.

Akhir sekali adalah pada rangkap 'rap' -- lirik yang mengisi rangkap akhir ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang dalam benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang lemah, dangkal dan membosankan.

Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1Malaysia.

Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat? Ini langsung tiada kena mengena dengan semangat patriotisme.

Dan paling memalukan adalah tatkala dihebahkan kepada khalayak bahawa penulis lirik lagu ini merupakan seorang yang memegang jawatan menteri dan bertanggungjawab menjaga portfolio kebudayaan.

Jelas, menerusi lagu ini, Umno-BN cuba untuk memanipulasi sentimen patriotisme bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan menerapkan propaganda lekeh dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi menjelang PRU yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Tidak dapat tidak untuk disimpulkan bahawa tiada langsung sebarang elemen patriotisme di dalam lagu ini melainkan puja-pujian dan sanjungan melangit ke atas retorik 1Malaysia serta pujukan halus supaya rakyat terus mengekalkan kuasa di tangan Umno-BN.

Semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme langsung tidak dirasai di dalam lagu ini.

Justeru, rakyat khususnya anak muda tidak wajar untuk terus membiarkan diri mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit ini.

Kemerdekaan seharusnya dirai dan dihargai dengan menghayati nilai patriotisme berasaskan semangat pencerahan yang tulen; bukannya dengan propaganda lapuk yang disandarkan pada sebuah lagu "kemerdekaan" paling buruk dalam sejarah negara.

Najwan Halimi merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadinnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Selepas didesak rakyat, Kerajaan ganti logo hari merdeka dengan "1Malaysia"

Kerajaan memutuskan untuk menggantikan logo sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang menampilkan kempen "Janji Ditepati" selepas menghadapi kritikan pelbagai pihak sejak seminggu lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan bahawa langkah itu untuk "membendung salah faham".

"Untuk membendung sedikit salah faham kami (akan) hanya (menampilkan) 1Malaysia sebagai logo Merdeka (dan) Hari Malaysia," kata di laman Twitter.

Najib tak terperanjat Lajim letak jawatan parti

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedudukan Datuk Lajim Ukim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diputuskan Isnin ini.

Perdana Menteri berkata keputusan Lajim melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Bahagian Beaufort adalah sesuatu yang telah dijangkakan oleh beliau dan parti.

"Keputusan beliau itu sudah dijangkakan akan berlaku kerana tindakan dan ucapan beliau yang bertentangan dengan dasar parti sebelum ini.

"Saya tidak terperanjat dengan keputusan itu kerana tiada sesiapa yang lebih besar dari parti melainkan kesetiaan.

"Kita terima hakikat di antara kita ada yang berbeza pendapat tetapi boleh diselesaikan dengan saluran yang betul sama ada cepat atau lambat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Tarawih di Masjid Ubudiah Kampung Mambang, Chini di Pekan pada malam tadi.

Najib berkata dalam sejarah parti peletakan jawatan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru kerana pengasas parti, Datuk Onn Jaafar pernah bertindak demikian.

"Namun, sebagai parti yang berpengalaman kita mampu menghadapi cabaran itu," katanya.

Lajim semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MT Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Lajim Ukin Isytihar Letak Jawatan Umno dan Pengerusi BN

Datuk Seri Lajim Ukin, yang lima hari yang lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) agak mengejutkan banyak pihak.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.

"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya dipetik Bernama.

Beliau mengumumkan keputusannya itu ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan program khas serta pengisytiharan gerakan 'Pakatan Perubahan Sabah' (PPS) di kediamannya di Likas Jaya, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Lajim turut mengumumkan senarai perwakilan PPS di 17 kawasan Parlimen di Sabah.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

“Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telah dihantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu. Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat,” katanya yang dipetik portal berita New Sabah Times pada Isnin lalu.

Sebelum ini, Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.

Lajim berkata, beliau masih ‘pemimpin kerajaan’ dan meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan.

Kaji selidik terbaru tunjukkan BN dalam bahaya kata Rafizi

PKR melihat, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin berbahaya apabila kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan populariti perdana menteri itu menurun dari kalangan sokongan pengundi Melayu.

Rafizi menjelaskan, berdasarkan kaji selidik itu, beliau turut mendapati, isu “bread and butter” menjadi isu pokok kepada sokongan pengundi terhadap kepimpinan Najib.

“Hasik kaji selidik Merdeka Center mendapati isu ekonomi menjadi faktor penurunan sokongan pengundi Melayu terhadap perdana menteri.

“Saya berpendapat, isu bread and butter ini memainkan peranan penting. Selepas kerajaan mengumumkan GTP, (Program Transformasi Kerajaan), ETP, (Program Transformasi Ekonomi), mereka cuba memaparkan seolah-olah semuanya baik ... tetapi rakyat terutamanya bangsa Melayu tidak merasai kesan daripada transformasi berkenaan,” kata Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.


Rafizi Ramli: Isu “bread and butter” akan memainkan peranan penting. — Foto fail
Selain itu, Rafizi juga turut menjelaskan, kaji selidik ahli akademik daripada Majlis Professor Negara yang menjangkakan Selangor dan Kedah bakal dikuasai Barisan Nasional (BN) juga tidak tepat, dan ia memerlukan perbincangan lanjut.
“Saya mempersoalkan penemuan ahli akademik daripada kaji selidik MPN, kecuali ianya dibentang secara terbuka.

“Tetapi situasi politik sekarang lebih mirip kepada kaji selidik Merdeka Center,” katanya.

“Kalau benar BN dan Najib begitu popular, sudah lama PRU telah dilaksanakan,” tambahnya lagi.

Jelas Rafizi, Pakatan Rakyat sangat gembira dengan hasil kaji selidik Merdeka Center dan Najib jelasnya, perlu merasa bimbang kerana beliau seolah-olah bertindak sebagai “presiden” dan berkempen secara individu.

“Kami sangat gembira dengan keputusan kaji selidik Merdeka Center ... kalau saya Najib, parti sudah sepatutnya menyuarakan kebimbangan kerana Najib berkempen seolah-olah beliau seorang Presiden.

“Ia bukannya semangat berkumpulan, bukan team effort, tapi personal strenght,” kata Rafizi lagi dan menambah,”PRU ini mungkin 50-50, (persaingan antara BN dan PR).”

Kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center semalam mendedahkan, penerimaan terhadap Datuk Seri Najib Razak menurun satu peratus kepada 64 peratus pada Jun lalu, namun penerimaan terhadap kerajaan menurun sebanyak enam peratus kepada 42 peratus pada bulan sama dengan penurunan terbanyak datang dari pengundi Melayu.

Kaji selidik yang dijalankan terhadap pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan tahap kepuasan terhadap prestasi perdana menteri (PM) menurun bagi pengundi Melayu dan India, daripada 79 kepada 75 peratus, dan daripada 72 kepada 69 peratus.

Namun bagi pengundi Cina, penerimaan Najib meningkat daripada 37 peratus pada bulan Mei kepada 42 peratus Jun lalu.

Penerimaan terhadap Najib berada di paras 60 ke 70 peratus sejak tiga kaji selidik lalu oleh Merdeka Center dan khabar angin menyebut kemungkinan pilihan raya bakal dilaksanakan bulan ini sebelum mandat Barisan Nasional (BN) tamat pada April 2013.

Bagaimanapun, kedudukan stabil Najib sama seperti Jun lalu tidak menterjemahkan sokongan terhadap kerajaan pimpinannya.

Kaji selidik itu mendapati pendapat ramai kepada kerajaan masih menurun, hanya 42 peratus mendapati mereka “gembira” dengan kerajaan, penurunan enam peratus dibandingkan pada Mei 2012.

Kaji selidik itu berkata, penurunan itu mungkin disebabkan oleh pengundi Melayu, yang menurun dari 65 peratus pada Mei, kepada 58 peratus pada Jun 2012.

Umno Cheras mahu Lajim letak jawatan kabinet

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk menuntut supaya MP Beaufort Datuk Lajim Ukin yang kini dianggapnya "gunting dalam lipatan" supaya meletak jawatan di dalam kabinet serta-merta.

Katanya, MP Umno itu perlu berbuat demikian sekiranya benar-benar ingin keluar daripada parti.

"Adalah tidak wajar beliau masih berada di dalam kabinet kerajaan persekutuan sedangkan tindak-tanduknya dianggap seperti gunting dalam lipatan," kata pemimpin Umno yang lantang bersuara itu.

Syed Ali (kanan) berkata, beliau bimbang Lajim akan dituduh sengaja menggunakan kemudahan di pejabat timbalan menteri kementerian berkenaan untuk meneruskan siri kempen politik beliau untuk menjatuhkan BN di Sabah.

“Cara terbaik jika dia pemimpin bermoral adalah letak jawatan sebagai timbalan menteri dengan serta-merta jika sahih akan masuk pembangkang,” kata Syed Ali dalam blog rasmi Umno bahagiannya.

Kenyataannya itu timbul ekoran tindakan Lajim (kiri) meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Kerambai Kebatu selepas beliau menyatakan hasratnya untuk tidak lagi mempertahankan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Beaufort.

Lajim juga awal minggu ini telah mengadakan satu pertemuan dengan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

Air percuma bukti Selangor urus air dengan baik

Program pemberian air percuma yang membolehkan rakyat menikmati 20 meter padu pertama secara percuma setiap bulan adalah bukti keupayaan pengurusan Kerajaan Negeri dan kesungguhan untuk memastikan industri air di Malaysia diuruskan dengan menjadikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Secara purata, keluarga yang mendiami rumah bertanah di Selangor menikmati penjimatan RM1,200 setahun sejak program ini diperkenalkan pada Jun 2008.

"Manakala keluarga yang tinggal di rumah bertingkat pula menikmati penjimatan secara purata hampir RM900 setahun dalam tempoh itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri, tambahnya, telah membekukan cadangan untuk menaikkan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebanyak dua kali iaitu untuk 2009 dan 2012.

"Kerajaan Selangor telah membelanjakan RM550 juta setakat ini untuk Program Pemberian Air Percuma. Namun begitu, kerajaan negeri masih berupaya meningkatkan rezab negeri kepada RM2.1 billion pada 2012 berbanding hanya RM400 juta pada 2008," kata menteri besar.

Ini, tegas Abdul Khalid, adalah hasil dasar kewangan mesra rakyat yang mematuhi prinsip-prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor membuat banyak usaha untuk memastikan rakyat berhak untuk berkongsi keuntungan, aset dan sumber negeri," tambahnya.

Mukhriz bakal porak perandakan BN Kedah kata Ustaz Azizan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak percaya bahawa kajian yang menyatakan bahawa anak bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir adalah calon MB popular bakal memporak-perandakan BN.

Akhbar Sinar Harian hari ini memetik Azizan sebagai berkata, keputusan kajian Universiti Utara Malaysia tersebut sebaliknya bakal memberi kelebihan kepada PAS.


"Pemimpin BN asyik berkhayal siapa layak jadi menteri besar jika layak berkuasa. Selepas itu kem masing-masing mula mencantas pemimpin lain yang disenaraikan lebih awal.

"Ini satu kelebihan bagi PAS Kedah," katanya mengulas kajian yang dibentangkan dalam satu program Majlis Profesor Negara pada Rabu lalu.

Laporan tersebut menyebut bahawa Mukhriz merupakan calon menteri besar paling popular sekiranya BN berjaya merampas kembali pentadbiran Kedah.

Kajian itu membandingkan peluang Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno Kedah – ketua perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Guan Eng sedia maafkan Utusan dan NST

Mengambil semangat bulan Ramadhan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kesediannya 'memaafkan' akhbar Utusan serta New Straits Times (NST).

Menurutnya, ia sekaligus akan menjernihkan semula hubungan di antara kedua-dua akhbar itu dan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Lim mendakwa, kedua-dua akhbar itu sering menyiarkan ucapannya yang diputar belit tanpa memberikannya ruang untuk menjawab.

"Sekiranya mereka Utusan dan NST bagi saya hak jawab, saya rela maafkan mereka dan jemput mereka semula ke sidang akhbar saya.

"Sebab selalunya mereka buat cerita sidang akhbar saya tetapi mereka 'twist' dan tak siarkan apa-apa yang saya cakap," kata Lim di majlis berbuka anjuran DAP di Kuala Lumpur semalam.

Lim pada 28 Jun lalu memfailkan saman terhadap Utusan dan NST atas dakwaan menyiarkan tuduhan terhadapnya tanpa mengesahkannya dengan beliau sendiri.

Pada masa yang sama, pentadbiran Lim di Pulau Pinang juga kerap dikritik kerana tidak didakwa berpegang kepada semangat kebebasan akhbar apabila bertindak menghalang Utusan dan NST daripada membuat liputan programnya.

Menurut Lim, beliau percaya kebebasan akhbar tidak wajar digunakan untuk menabur fitnah.

"Saya rasa ini bukan kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar merangkumi hak kedua-dua pihak untuk memberi kenyataan mereka, bukan buat fitnah.

"Hak ini dinafikan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

"Kita boleh 'normalise' hubungan antara mereka dan saya. Kita dalam semangat Ramadan, tak tahu mereka (Utusan dan NST) ada semangat Ramadan atau tidak," katanya.

Lim sehingga kini memenangi dua saman terhadap Utusan. Terkini pada 22 Jun lalu, Utusan diperintahkan membayar Lim RM200,000 untuk gantirugi dan RM20,000 bayaran kos.

Lim memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Berhad atas penyiaran berita dengan tajuk 'Tiada lagi DEB' pada 12 Mac 2008.

Pada 11 Januari 2009 Lim menjelaskan yang beliau tidak pernah menyebut yang pentadbirannya akan 'menghapuskan' DEB.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaannya akan mentadbir Pulau Pinang bebas daripada NEP yang membiakkan "kronisme, rasuah dan ketidakcekapan sistematik".

Ekoran penyiaran berita itu, kira-kira 1,000 orang berhimpun membantah terhadap Lim pada 14 Mac selepas solat Jumaat di hadapan bangunan Komtar.

Mahkamah tolak permohonan Utusan batal saman RM10 juta

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak untuk membatalkan saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkan Senator Dr Syed Husin Ali.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan supaya kes itu dibicarakan selama dua hari bermula 29 Ogos.

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam N Surendran yang mewakili Syed Husin, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan Melayu dan Abdul Aziz serta peguam Farah Mazlan mewakili anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin.

Pada Mei lepas, Zulkifli turut membuat permohonan yang sama (batalkan saman) tetapi menarik balik hari ini.

Surendran memberitahu pemberita bahawa Vazeer juga membuat keputusan membenarkan Syed Husin meminda writ saman dan penyata tuntutan serta menetapkan 15 Ogos untuk pengurusan kes.

Syed Husin, 76, bekas timbalan presiden PKR memfail saman itu pada 27 Jan lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lepas, berjudul 'Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Husin'.

Syed Husin berkata Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu 'Anjing-anjing Pencen'.

Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Utusan Melayu dan Abdul Aziz yang difailkan pada 29 Feb lepas, kedua-duanya menafikan dakwaan Syed Husin dan mereka hanya menerbitkan semula apa yang disiarkan Zulkifli dalam blognya.

Mereka juga mendakwa artikel itu diterbitkan semula dengan niat baik supaya dapat memberi maklumat kepada masyarakat awam.

Zulkifli, yang memfail pernyataan pembelaan pada 28 Feb, pula berkata artikel di laman web peribadinya merupakan komen berpatutan dan melibatkan kepentingan awam.

Berikut lokasi himpunan aman Rohingya hari ini

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengadakan himpunan aman di beberapa lokasi di seluruh negara hari ini bagi membantah pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Rohingya.

Himpunan aman ini akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS peringkat negeri dengan kerjasama NGO Islam yang lain.

Antara negeri yang telah memaklumkan tempat program himpunan aman ini adalah seperti berikut;

1. Melaka - hadapan masjid Al-Azim, Masjid Negeri

2. Kedah - Masjid Bakar Arang Sungai Petani

3. Pahang - Muazzam Shah

4. Selangor dan Wilayah - Masjid al-Syarif, Gombak

5. Johor - Bandar Baru Uda pada 29 Julai jam 5 petang

6. Sabah - Masjid SDA, Kota Kinabalu

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya turut menggesa agar Kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berkesan untuk memastikan ummat Islam Rohingya tidak lagi disembelih dan dibantai sedemikian kejam.

"Ummat Islam harus bangkit berdoa dan bermunajat kepada Allah Azza wa Jalla agar menyelamatkan Ummat Islam Rohingya sekaligus menghancurkan regim zalim yang melakukan pembersihan etnik ke atas ummat Islam Rohingya," katanya.

Sementara itu, Lajnah Antarabangsa DPPM katanya akan mengambil peranan untuk membuat bantahan dengan menghantar memorandum rasmi ke Wisma Persekutuan dan juga kepada pihak bertanggungjawab antarabangsa seperti OIC, NAM dan lainnya untuk segera mengambil tindakan menghentikan kekejaman tersebut.

Bantah JUDI 1.0 di Rompin Pahang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Muadzam Shah akan bersama dengan Gabungan Gerakan Membantah Judi bagi memastikan Bandar Muadzam Shah bersih dari anasir perjudian melampau di daerah ini.

Dengan majoriti lebih 90% penduduk muslim di Bandar Muadzam Shah dalam daerah Rompin, tidak sepatutnya mesin judi dibenarkan berada di sini. Tiada tindakkan yang serius di ambil dari PBT Rompin ke atas pengusaha mesin judi 'kuda'. Serbuan sebelum ini menyaksikan hanya 6 mesin judi yang diangkut daripada ratusan mesin judi di beberapa pintu kedai dan tauke mesin judi masih bebas mengaut keuntungan berlipat-kali ganda daripada perniagaan mini kasino yang dijalankan.

Daripada pemerhatian SAMM Muadzam Shah, fenomena yang berlaku di Muadzam Shah ini adalah sangat merunsingkan di mana ketagihan terhadap mesin judi menyebabkan pelbagai kecelakaan berlaku di kalangan penduduk daerah Rompin. Jenayah awam seperti kecurian dan rompakan kecil meningkat, peneroka juga ada yang sengsara dan ada juga penjawat awam yang menghabiskan seluruh gajinya untuk mesin judi yang akhirnya anak isteri menjadi mangsa dari kerakusan tahi judi. Penangan mesin judi sehingga ada kes anggota tentera yang sanggup menjual tong gas di rumah untuk menebus kekalahan di mesin judi.

Justeru itu, SAMM Muadzam Shah menyeru kepada semua yang berada di sekitar Bandar Muadzam Shah dan Rompin agar turut serta dalam sebuah bantahan dengan penghantaran memo kepada PBT berkenaan. Berikut adalah maklumat masa dan lokasi penyerahan memo;

Tarikh: 27 July 2012
Masa: 2.00pm (lepas solat Jumaat)
Lokasi Berkumpul: Masjid Muadzam Shah

Ayuh bersama SAMM dalam Gerakan Rakyat Membantah Judi. Juga akan turut serta dalam gerakan ini adalah PAS Rompin, PKR Rompin, SAMM Rompin, Jabatan Amal Rompin, Al-Fateh dan KRT Rompin. Pengamal media adalah diharapkan untuk turut membantu dalam aspek hebahan.

Sekian,

MHD NOR FAIZI ABU BAKAR
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Muadzam Shah

Najib Hanya Umum Setengah Bulan Bonus, Khalid Ibrahim Umum 2 Bonus Raya

Kerajaan Selangor hari ini meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam negeri itu bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Berbeza dengan bonus yang diumum Perdana Menteri kepada penjawat awam semalam, Kerajaan Selangor turut meluluskan bonus tambahan dalam bentuk Simpanan Selangorku sebanyak RM200.

“Bagi yang beragama Islam, wang ini akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kedua-dua bonus ini akan dimasukkan dalam akaun kakitangan awam pada minggu hadapan,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan. Menurutnya, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Khalid berharap pemberian bonus kali ini dapat meringankan beban penjawat awam untuk membuat persediaan Aidilfitri. “Pada masa sama, Kerajaan Selangor mahu menggalakkan kakitangan awam menabung demi masa depan,” katanya.

UMNO untung jual tanah Melayu Pulau Pinang

Pekung pemimpin UMNO Pulau Pinang terdedah apabila didapati mengaut keuntungan peribadi sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga bulan sahaja hasil jualan 10 ekar tanah milik 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pemimpin UMNO yang dikaitkan ialah Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar.

Demikian kenyataan media, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memetik pendedahan yang dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain minggu lepas.

“Walaupun tindakan kedua-dua pemimpin UMNO ini tidaklah haram, tindakan mereka sebagai broker tanah menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral dan tidak berprinsip, apatah lagi apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mengarahkan mereka untuk memulangkan keuntungan RM5 juta sebagai broker tanah atau 57% keuntungan yang dikaut dalam 3.5 bulan tersebut,” tambah beliau.

Jelas Guan Eng, tanah bernilai RM8.6 juta tersebut dipindah milik daripada 31 pemilik tanah Melayu kepada Maison Heights Sdn Bhd pada 31 Januari 2012 lalu.

Maison Heights Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 6 Mac 2009 untuk tujuan pembinaan, tanah, pelaburan dan pemajuan hartanah serta perdagangan am dan mempunyai modal berbayar RM1 juta dan dimiliki oleh Musa dengan saham bernilai RM500,000, Omar dengan RM499,999 sementara adik Omar, Harun mempunyai saham RM1.

Maison Heights Sdn Bhd telah menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd pada 16 Mei 2012 dengan harga RM13.5 juta.

Keuntungan RM5 juta daripada pelaburan asal RM8.6 juta, jelas Guan Eng, bermaksud margin keuntungan adalah 57% dalam masa 3.5 bulan sahaja. Ia adalah satu keuntungan yang luar biasa dalam masa yang singkat.

“Adakah ini caranya pemimpin UMNO mempertahankan hak Melayu dengan mengaut keuntungan yang sepatutnya dimiliki orang Melayu biasa?

“Sehingga sekarang, mereka belum lagi menjelaskan bagaimana keuntungan RM5 juta itu boleh membawa manfaat kepada 31 pemilik tanah Melayu tersebut,” ujar beliau lagi.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dahulu, kedua-dua pemimpin UMNO tersebut telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin mengambil tanah Melayu demi menghalau keluar orang Melayu dari Pulu Pinang.

“UMNO juga telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin memperoleh tanah 100 ekar di kawasan lain di Balik Pulau untuk tujuan pendidikan dengan mendirikan Asian Women Leadership University (AWLU).

“Kerajaan Pulau Pinang telah dimangsakan dengan serangan rasis UMNO walaupun 60% tanah tersebut dimiliki bukan Melayu dan hanya 40% dimiliki Melayu,” jelasnya.

Malah katanya, AWLU telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada 10 Februari 2012 sebagai projek utama pendidikan dalam usaha mentransformasikan Malaysia kepada ekonomi pendapatan tinggi.

“Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Idris Jala pada 12 Jun 2012 telah meminta kerajaan negeri untuk memulakan proses pemindahan milik tanah 100 ekar kepada AWLU.

“Selepas kerajaan negeri berjaya memujuk AWLU untuk memilih kawasan lain, proses pemerolehan tanah telah dibatalkan.”

Menurutnya, perkara tersebut bukan sahaja telah melumpuhkan serangan rasis UMNO tetapi juga telah membuktikan bahawa kerajaan negeri hanya memperoleh tanah untuk tujuan awam yang berdasarkan cadangan yang kredibel daripada institusi yang boleh dipercayai.

Berbalik kepada skandal terbaru melibatkan pimpinan UMNO negeri itu, Guan Eng berkata, pendedahan skandal tanah oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini membuktikan hipokrasi UMNO yang menguar-uarkan pertahanan hak Melayu tetapi sebenarnya menggadaikan hak Melayu.

“Ia jelas bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi pemimpin-pemimpin UMNO seperti Datuk Musa dan Datuk Omar yang telah menggadaikan tanah Melayu.

“Jika mereka adalah broker tanah yang tulen, mereka berhak untuk mendapat komisyen pada kadar pasaran iaitu 2% ataupun RM270,000, dan bukan RM5 juta ataupun kadar komisyen 57%!” ujar Guan Eng.

Tolong padam gambar Fathul Bari sedang disolek kata Nasruddin Tantawi

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan merayu kepada semua pihak khasnya penyokong Pakatan Rakyat agar jangan menyebarkan gambar Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya yang sedang disolek oleh wanita.

Ini berikutan ada pihak-pihak yang menyebarkan gambar itu untuk memalukan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) itu.

Gambar itu diambil ketika Fathul Bari dan Nasrudin disolek oleh jurusolek wanita ketika kedua-duanya menyertai debat anjuran Sinar Harian baru-baru ini.

"Dengan ini, Saya merayu agar gambar yang memaparkan sahabat saya Ustaz Fathul Bari disolek itu dipadamkan dan tidak disebarkan.

"Kita berpolitik secara matang dan berhemah tanpa perlu kita menyelak keaiban peribadi sesiapa.

"Sungguhpun saya berbeda pendapat dan berdebat dengan Ustaz Fathul Bari, suka saya tegaskan di sini, ianya tidak menghilangkan rasa hormat saya pada beliau dan saya tidak setuju beliau diaibkan sedemikian rupa," kata Nasrudin.

Nasrudin membuat gesaan ini melalui facebooknya yang sehingga kini sudah mendapat 41,986 likes dan 13,840 orang bercakap tentang perkara ini.

Dalam catatan itu, Nasrudin mengingatkan semua bahawa sekarang adalah bulan Ramdhan, bulan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan Allah swt.

Justeru itu, katanya, beliau harap sangat - sangat agar tidak panjangkan isu 'make up' muka pada peristiwa Debat Sinar Harian yang bertajuk "PRU 13, Orang Muda Pilih Siapa?" baru - baru ini.

Menurut Nasrudin, beliau bersetuju bahawa juru solek wanita tidak sewajarnya bertindak sedemikian ke atas lelaki bukan mahramnya.

"Saya telah pun menegur pihak penganjur supaya menyediakan petugas juru solek lelaki untuk lelaki pada masa - masa akan datang," katanya.

Teguran itu, katanya, dibuat sebaik sahaja majlis debat selesai.

"Penganjur bersetuju dengan teguran saya," beritahu Nasrudin.

Menurut Nasrduin, beliau sendiri sukar mengelak apabila 'diserbu' oleh satu team petugas 'touch up' muka sewaktu rehat selepas pusingan pertama debat baru - baru ini.

Insiden itu dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk menyerang peribadi beliau.

"Sedang ia berlaku tanpa rela dan saya tidak sempat mengelak diri kerana saya berada di atas kerusi pentas debat berdepan ratusan penonton dalam auditorium.

"Saya pun tidak menjangka mereka datang menerpa untuk touch up muka sewaktu rehat [untuk beri laluan kepada iklan tv penaja iaitu Astro Awani]," tulisnya lagi.

Pun begitu, apa yang berlaku sangat dikesali, katanya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang melontarkan nasihat dan teguran. Insyaallah di lain masa kami akan lebih berhati - hati," katanya lagi.

Percubaan untuk memalukan Ustaz Azhar Idrus

Blogger pencacai Umno/BN cuba nak memalukan Ust Azhar Idrus. Kononnya Ust Azhar sudah kantoi bab soalan ibadat puasa:

Sebagai memberi penjelasan terhadap perkara ini adalah perbahasan seperti berikut;
Satu : Firman Allah yang bermaksud;

"makan dan minumlah hingga nyata benang putih hingga benang hitang dari fajar" (surah al-baqarah, ayat 187)

Ayat ini menjadi dalil qatie subut bahawa tahap waktu sahur adalah sebelum azan fajar.. apabila sudah fajar, tidak boleh makan lagi. jika makan juga, maka puasanya tidak sah, wajib diqadha' pada hari lain...

Kail hanya sejengkal, mahu menduga lautan yang dalam. Kepada blogger pencacai Umno/BN , kita nasihatkan supaya pergilah main kat longkang belakang rumah sendiri dahulu....Bab ugama ni sebenarnya korang tak layak untuk dibawa berbincang...Maaf cakaplah - Siapa sebenarnya yang kantoi?

Kurangkan harga kereta jadi manifesto Pakatan

Pakatan Rakyat akan menjadikan pengurangan harga kereta - yang dianggap barangan keperluan - sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang baru dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 72 peratus isi rumah menggunakan kereta sedangkan 53 peratus isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Peratusan yang tinggi itu katanya, berpunca daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal BN pada tahun 2006.

Pada masa sama katanya, hutang kereta persendirian meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam masa 18 bulan sejak November 2010.

Ini membuktikan ia adalah isu pilihan raya yang perlu diberikan
perhatian oleh parti-parti yang bertanding, kata Rafizi.

"Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta yang disebabkan harga kereta yang tinggi adalah satu beban utama pada rakyat," katanya.

Menurut Rafizi, harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta.

Mahkamah putuskan BERSIH entiti yang sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.

Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Pada 1 Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Dalam penghakiman 30-muka surat itu, hakim menyentuh sejarah permohonan yang mencabar keputusan Hishammuddin mengisytiharkan gabungan NGO itu sebuah pertubuhan haram.

Walaupun perisytiharan itu dibuat, tambahnya, pihak berkuasa masih terus bertemu dengan pegawai BERSIH.

"Terdapat rundingan antara pemohon dan responden (kerajaan) mengenai lokasi perhimpunan pada 9 Julai," katanya.

"Ada majlis mengadap ( Yang di-Pertuan Agong oleh) pemohon
pertama (pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga, kanan) dan tiada celaan terhadap BERSIH (dalam menjalankan) aktiviti (perhimpunan 9 Julai 2011) seperti yang dijadualkan."

Mahkamah telah mengambil notis kehakiman bahawa Hishammuddin telah membuat suatu pernyataan awam untuk membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili responden, berkata Peguam Negara akan diberi taklimat dan untuk arahan selanjutnya.

Azizan serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsulbol Hassan, mendakwa bahawa keputusan mahkamah itu menjadikan BERSIH balik ke peringkat asalnya (perlu didaftarkan).

Bagaimanapun, peguam BERSIH, K Shanmuga - yang tampil bersama peguam Tommy Thomas dan Honey Tan - berkata keputusan itu bermakna gabungan itu adalah sah di sisi undang-undang.

"... Keputusan menteri dalam negeri adalah tidak rasional kerana, setelah mengisytiharkannya sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara, beliau dan pihak berkuasa telah bertemu dengan pegawai BERSIH," kata Shanmuga.

Ambiga tidak hadir di mahkamah kerana beliau di luar negara.

Pengerusi bersama BERSIH yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, ketika ditemui di luar mahkamah berkata: "Proses perundangan ini sepatutnya tidak dijalankan kerana ia membuang masa, tenaga dan dana am.

"Proses ini menyebabkan orang ramai khuatir untuk sokong BERSIH. Org ramai harus ingat bahawa kerajaan masih
menggambarkan BERSIH sebagai "kotor" di mana perdana menteri telah menyatakan BERSIH telah membahayakan kuota haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi

"Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa Hakim Datuk Rohana Yusof telah pun melihat percanggahan dalam tindakan pihak berkuasa (apabila) dalam perbicaraan (pada) 26 Jun, kenapa kerajaan layan permintaan BERSIH untuk adakan perhimpunan tersebut (walaupun ia telah diisytiharkan sebagai haram)," tambahnya.

Guan Eng jadikan rai berbuka puasa tugas rutin

Seperti biasa sebagaimana di tahun-tahun sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lepas peluang melangkah mendaki tangga masjid, surau atau pun dewan semata-mata untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam.

Beliau lazimnya akan datang bersama rombongan dari pejabatnya, wartawan akhbar Cina dan sebahagian Exco Kerajaan Negeri berbangsa Tiounghua tidak segan silu untuk makan bersama kepimpinan parti PAS dan PKR.

Beliau juga kadang-kadang bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta masyarakat sekitar dengan duduk bersila, tanpa menggunakan sudu dalam keadaan sentosa dan harmoni.

Beliau mula menghadiri majlis berbuka puasa ketika PAS Negeri Pulau Pinang mengadakan majlis di Restoran Nasi Kandar Kassim Mustaffa, Seberang Jaya.

Waktu itu Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman menjemput beliau selaku Ketua Menteri untuk merasai bersama kenikmatan Umat Islam menanti saat-saat berbuka.

Ramai kepimpinan PAS berbagai peringkat hadir di hari tersebut. Ada yang rasa terkejut melihat kesudian Lim Guan Eng untuk pertama kalinya duduk semeja menikmati juadah berbuka.

Itulah kelainan PAS yang tiada dalam parti lain kerana sanggup melebarkan kebaikan Bulan Ramadhan kepada masyarakat bukan Islam sebagai tanda mereka juga layak merasai apa yang Umat Islam laksanakan ketika bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Mahasiswa Islam bantah ISA

Persidangan meja bulat Inspirasi Anak Muda (Inspirasi) semalam mengambil ketetapan membantah akta zalim ISA dan akan memperjuangkan nasib tahanannya.

Persidangan yang bertema ‘Rethinking Student Movement Reform’ yangt berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu juga mengambil ketetapan akan bertindak terhadap isu umat Islam seperti di Syria dan Myammar secara drastik.

Untuk itu, satu kongres gerakan mahasiswa Islam Malaysia akan dianjurkan bagi menyatukan semua barisan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dan membincangkan isu-isu umat Islam di seluruh dunia.

Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil barisan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Haluan-Siswa dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk menyediakan platform perkongsian dan membina persefahaman dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa terhadap isu-isu penting dalam negara.

Di samping itu, ia diharap mampu meningkatkan kesedaran partisipasi mahasiswa terhadap agenda pembangunan masa depan Malaysia dan untuk menentukan halatuju penyelesaian alternatif terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Menurut Mohd Eikhwan M. Ali, Pengerusi Inspirasi, persidangan ini tercetus hasil daripada kebangkitan rakyat di seluruh dunia.

Pihak Inspirasi yakin bahawa kebangkitan ini perlu diperhalusi dan juga diaduni dengan ‘iklim’ Malaysia supaya ia mampu diadaptasikan ke dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia khususnya.

"Persidangan ini merupakan titik permulaan bagi mewujudkan sinergi antara gerakan mahasiswa Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Gamis cukup optimis dengan kemandirian gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dalam mendepani isu-isu yang berlaku.

Gamis bertegas bahawa peradaban mesti dibangunkan dengan kerohanian," kata Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gamis.

Solat Hajat batu asas blok baru Kota Darulnaim

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengetuai solat hajat sempena pelancaran pembinaan sebuah blok bangunan baru dalam kompleks pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dibina bagi menampung kakitangan kerajaan negeri yang semakin bertambah, di samping beberapa jabatan baru yang diwujudkan.

Bangunan yang dinamakan Blok 8 itu bernilai RM 42.5 juta akan didirikan dalam Kota Darulnaim.

Perletakan batu asasnya telah disempurnakan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi semalam.

Blok baru itu bakal dibina di bahagian belakang bangunan yang ada, juga dalam Kompleks Kota Darulnaim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketika berucap pada majlis itu memberitahu projek berkenaan akan dimulakan sekarang dan dijangka siap 2015.

“Mana-mana jabatan yang berada di luar akan dipanggil masuk semula ke kompleks ini,”ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu blok berkenaan dapat menempatkan 200 orang kakitangan, mempunyai dewan, dewan seminar dan lain-lain kemudahan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Sepaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud, Pegawai Kewangan, Datuk Fauzi Mamat, anggota-anggota exco kerajaan negeri dan lain-lain lagi.

Beliau turut memberitahu, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, yang kini terpaksa menyewa di luar berikutan ketiadaan tempat kosong dalam kompleks tersebut.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru kakitangan kerajaan negeri menghayati konsep Ramadhan yang dikehendaki syariat sebaik mungkin.

Katanya, amat rugi sekiranya umat Islam hanya berpuasa, sebaliknya tidak mengikut kehendak syariat sebenar khususnya tidak meninggalkan apa yang ditegah.

Penjelasan Farid Ismeth berhubung isu Rosmah

Farid Ismeth Emir menjelaskan berhubung isu yang mengaitkan beliau dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebuah blog telah menyiarkan penjelasan dan pengakuan Farid Ismeth Emir apabila diajukan soalan berkaitan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan seorang VVIP.

Zamzarina Zambri di dalam blognya http://zamzarinazambri.blogspot.com/ menyiarkan pengakuan hasil temubual beliau dengan Farid yang dipanggil dengan Pak Ngah.
Temubual berkenaan juga telah tersiar di Youtube dengan tajuk Pengakuan Farid Ismeth Berkaitan Isu DS Rosmah Mansor.

BN halang Selangor ambil alih SYABAS

Jawatankuasa khas kabinet yang dibentuk untuk mengkaji isu air di Selangor memutuskan bahawa terdapat perkara pokok dan prosedur yang masih belum dipenuhi untuk membenarkan Selangor mengambil alih SYABAS, katanya.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan akhir akan hanya dibuat selepas peguam negara meneliti perkara itu.

Peguam negara telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu pada petang ini, kata Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat selama tiga jam di Putrajaya hari ini.

Antara yang masih berbangkit dalam isu pengambilalihan SYABAS itu ialah kegagalan kerajaan negeri untuk membayar gantirugi kepada pemegang konsesi berkenaan apabila tidak bersetuju menaikkan tarif air berjadual.

Kataya, perkara itu masih tertangguh di mahkamah kerana SYABAS mengemukakan saman ke atas kerajaan Selangor.

Selangor pada 2009 enggan membenarkan tarif air dinaikkan sekiranya SYAAS tidak mengurangkan air tak terhasil (NRW) yang pada waktu ini melibatkan satu pertiga daripada bekalannya.

Ditanya mengapakah Selangor tidak dijemput hadir ke perbincangan hari ini, Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini adalah pertemuan peringkat persekutuan.

Katanya beberapa perkara akan melibatkan selangor tetapi perbincangan hari ini adalah dalam ruang lintup kuasa persekutuan.

Pakatan berhimpun sokong ambil alih SYABAS

Sekumpulan lebih 100 orang penyokong kerajaan negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Shah Alam hari ini sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei dan MP Shah Alam Khalid Samad memimpin perhimpunan yang bermula jam 12 tengahari itu.

Selain pemimpin parti Pakatan Rakyat, turut hadir dalam perhimpunan itu adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri, wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan pemimpin Gabungan NGO Selangor.

Kumpulan berkenaan membawa kain rentang dengan slogan "Kembalikan air kepada rakyat", "Hentikan catuan air", dan "Pecat Tan Sri Rozali Ismail".

Sebelum itu, Khalid ketika berucap di hadapan bangunan SYABAS itu meminta agar Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Tan Sri Rozali Ismail supaya tidak bermain politik dan menjaga air Selangor dengan baik.

"Dia dibayar gaji yang tinggi tetapi tidak jalankan tugas dengan baik. Sebagai CEO SYABAS, perlu menjaga air di Selangor. Jangan main politik. Tunaikan amanah dengan baik. Alasan nak bawa air mentah dari Pahang terbukti alasan tak berasas," katanya.

Satu memorandum turut diserahkan kepada wakil SYABAS dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Memorandum tersebut, yang diterima oleh pengarah eksekutifnya Ismail Hashim, menggaris tujuh perkara yang antara lainnya membantah cadangan SYABAS untuk mencatu bekalan air.

Memorandum itu juga menuntut supaya SYABAS berhenti daripada mensabotaj kerajaan negeri Selangor dalam isu bekalan air dan turut menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2.

Rakaman Penuh Debat Nasruddin Tantawi vs Fathul Bari PRU 13 : Orang Muda Pilih Siapa?

Semalam, telah berlangsung 1 debat yang di lengkapi oleh 2 pimpinan Ulama muda yang berlainan parti iaitu diantara Nasruddin Tantawi vs Fathul Bari. Nasruddin merupakan Ketua Pemuda PAS dan Fathul Bari merupakan Ulama Muda UMNO. Tajuk perdebatan mereka ialah PRU13:Orang Muda Pilih Siapa? Berikut adalam rakaman penuh Siaran Langsung tertunda yang berlangsung pada pukul 9.00 malam pada 19 Julai(semalam).

Part 1


Part 2


Part 3

Abby Abadi kini sah ahli PAS seumur hidup

Abby Abadi di dalam majlis ceramah bersama YAB Tuan Guru dan YB Dato Husam baru sahaja mengisytihar kemasukan ke dalam PAS dan telah menyerahkan borang keahlian seumur. ALLAHUAKBAR.

Cabang Kapar tawar kerusi DUN kepada Wan Azizah

Cabang PKR Kapar menawarkan kerusi DUN Sementa untuk ditandingi presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua cabang itu, Aziz Ayob dilaporkan sebagai berkata, langkah itu akan memperkukuhkan PKR Kapar dengan kewibawaan Wan Azizah sebagai presiden PKR dan bekas MP.

"Kerusi DUN Sementa dianggap panas ekoran calon PKR yang lalu melarikan diri pada hari penamaan calon dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Tindakan calon berkenaan menimbulkan gambaran buruk kepada parti hingga ramai di sini hilang keyakinan kepda PKR dan kami percaya jika (Wan Azizah) dicalonkan untuk kerusi tersebut akan memberi keyakinan pada rakyat dan mendapat undi berganda di Sementa," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tawaran itu timbul selepas Wan Azizah mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi DUN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau meletak jawatan pada Julai 2008 untuk membolehkan kerusi itu ditandingi suaminya yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pilihan raya kecil.

Kerusi berkenaan diwakili Anwar sebelum beliau dipenjarakan pada 1999 dan kerusi itu kemudiannya dimenangi Wan Azizah.

Tindakan Wan Azizah meletak jawatan itu menyebabkan beliau dihalang daripada bertanding di kerusi parlimen sehingga 2012.

BN menang tipu, rakyat ke jalan raya kata Pak Samad

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk A. Samad Said yakin rakyat akan turun ke jalan raya dengan jumlah lebih ramai dari Bersih 3.0 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti hasil penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Maka sebab itu, katanya Bersih cuba mencadangkan agar semua lapan tuntutan Bersih 3.0 diterima dengan sebulat suara demi masa depan negara seiring dengan zaman kebebasan untuk rakyat bersuara.

"Itu saja jalannya,” jawab beliau ringkas terhadap soalan sekiranya PRU13 memihak kepada Barisan Nasional (BN) apakah tindakan rakyat selanjutnya yang ditanya oleh seorang peserta Program Rakyat: Ke Arah Pilihanraya Bersih yang diadakan di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth semalam.

Katanya, daripada lapan tuntutan Bersih 3.0 hanya satu tuntutan ditolak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) iaitu berkaitan masa kempen yang panjang kepada 21 hari dengan alasan tempoh tersebut terlalu lama.

Walau bagaimana pun tempoh kempen yang sebelum ini 7 hari dilanjutkan kepada 10 hari.

Namun, ujarnya cadangan yang dikemukakan oleh PSC ke Parlimen seolah-olah tidak mendapat perhatian, maka tiada jalan lain melainkan rakyat beramai-ramai turun ke padang atau jalan raya bagi menyatakan tidak setuju dengan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.