Pages

Potong telinga saya jika DAP menang Bentong kata MB Adnan Yaakob


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob percaya loji Lynas merupakan isu di Kuantan sahaja dan tidak akan menjejaskan peluang BN di Pahang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau memberi contoh kawasannya di Bentong yang menurutnya tidak boleh dimenangi DAP.

"... DAP tidak boleh menang di Bentong. Tidak boleh menang. Jika DAP menang di Bentong, anda potong teliga saya, saya terjun Sungai Pahang. (DAP) tidak boleh menang," katanya.

Adnan adalah ADUN Pelangai - satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Bentong.

Ditanya sama ada referendum mengenai Lynas itu hanya terhadap di Kuantan, Adnan menjawab: "... jika kita menang di Kuantan, selesai. Lynas bukan isu lagi."

Adnan yang juga pengerusi BN dan Umno Pahang menegaskan demikian ketika ditemui pemberita di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya dalam pilihan raya umum akan datang, Adnan berkata:

"Sangat, sangat yakin. (Kalau Lim) Guan Eng datang pun dia akan kalah. Betul. Jika MCA kalah di Bentong, MCA mesti tutup kedai.

"MCA adalah perimeter di Pahang, jika MCA kalah kepada DAP, lebih baik tutup kedai. Tapi jika MCA menang, DAP kena tutup kedai di Pahang," tegasnya.

Tentatif Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor


HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT PERINGKAT NEGERI JOHOR, ESOK (1 DISEMBER 2012 - SABTU)

Berikut Tentatif Program :-

3.00 - 6.30 Petang - X-Presi Anak Muda (Pameran/Konvoi/Puisi/Hiburan/Kesenian)

06.59 Petang - Solat Maghrib Berjamaah & Tazkirah

08.13 Malam - Solat Isya' Berjamaah

09.00 Malam - Ceramah/Pidato Perdana Himpunan Kebangkitan Rakyat

Pemidato:

i. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

ii. YB Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang

iii. YB Lim Kit Siang

iv. Pimpinan Pakatan Rakyat Johor

v. Waki-wakil NGO

Sebelum itu 7.30 – 8.30 malam - Dato' Seri Anwar Ibrahim Akan Bersama Masyarakat India Johor Sempena Sambutan Deepavali di – Jalan Badik 15, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor. Mohon sebarkan.

Musa Hassan buat pendedahan lagi


Bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Musa Hassan menggesa supaya statistik jenayah disahkan secara bebas kerana sesetengah kes mungkin salah dikelaskan.

Bercakap dalam sidang akhbar semalam, Musa berkata, pada tahun 2007, beliau telah memulakan siasatan terhadap polis daerah Sentul selepas data rasmi menunjukkan jenayah berkurangan di kawasan itu.

"Saya tidak percaya jenayah berkurangan (di Sentul), jadi saya
minta pegawai saya (dari bahagian tatatertib untuk memeriksa) dan mendapati terdapat banyak kesilapan dalam mengklasifikasikan laporan," katanya.

Dalam kes Sentul, Musa (kanan) berkata, percanggahan dalam angka terbabit selepas siasatan dibuat ialah antara 20 dan 30 peratus.

Ditanya sama ada beliau percaya kesilapan mengklasifikasi laporan polis boleh berlaku, Musa menjawab: "Sudah tentulah, jika anda tidak menyemaknya."

Sebelum persaraannya, Musa berkata, pentadbirannya mendapat geran kerajaan yang telah digunakan untuk membiayai kajian Universiti Sains Malaysia terhadap statistik jenayah, tetapi kini beliau tidak lagi tahu mengenainya.

Musa memberitahu demikian dalam sidang akhbar mengenai statistik jenayah yang dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch). Musa adalah penaung pertubuhan itu.

Penulis buku Syed Hussein dibebas dengan ikat jamin


Penulis buku Syed Hussein Al-Attas yang ditahan pagi tadi ketika menjual buku beliau yang dikatakan menghina Sultan Johor, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno ke-66, telah dibebaskan dengan ikat jamin.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata Syed Hussein, juga dikenali sebagai Pak Habib, 71, ditahan kira-kira pukul 11 pagi dan dibawa ke bilik gerakan polis di PWTC untuk diambil keterangan.

"Kira-kira pada pukul 4 petang kami telah bebaskan dia dengan ikat jamin," katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis turut merampas 13 buah buku hasil tulisan Pak Habib, yang juga bapa kepada blogger dan pengamal paranormal Syed Abdullah atau Uncle Seekers, yang sebelum ini pernah ditahan polis kerana didakwa memfitnah Sultan Johor di blognya www.uncleseekers.blogspot.com.

Zainuddin berkata polis sedang menyiasat kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan dan Seksyen 502 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan percetakan yang ada unsur fitnah.

"Apa-apa tindakan akan diambil selepas siasatan terhadap kandungan buku tulisannya itu selesai," katanya.

Musa cuba alih perhatian kata Hishamuddin


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein melihat isu dibangkitkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tentang berlakunya campurtangan menteri Kabinet dan ahli politik dalam urusan pihak polis adalah cubaan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung.

Menteri Dalam Negeri itu menegaskan, isu yang dibangkitkan adalah isu sampingan dan kementeriannya telah pun memberi penjelasan ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen sebelum ini.

“Ada mana-mana pihak cuba alih (perhatian) dengan isu sampingan ... saya harap orang ramai jangan terkeliru dalam pemikiran dan agenda mereka.

“Ia isu cubaan untuk alih isu yang di sini (Perhimpunan Agung Umno),” kata Hisham ketika menjawab soalan pemberita berkenaan kenyataan Musa tersebut.

“KDN sudah jawab (isu tersebut),” katanya, dan menambah, bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Umno, mereka mahu melihat isu yang lebih besar.

“Dalam BN kita nak lihat isu besar,” tambahnya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal bagaimanapun melihat kenyataan Musa itu umpama beliau sedang “lemas” dan memerlukan “ranting” untuk berpaut.

“Bekas IGP (Ketua Polis Negara) umpama manusia, kalau dia lemas, ranting pun akan digunakan, tidak kira ranting baik atau tidak baik pun tak mengapa.

“Namun saya yakin Musa Hassan matang, tidak semudah itu untuk beliau diperalatkan pihak seumpama ini,” kata menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu lagi.

Musa semalam turut menamakan salah seorang menteri tersebut adalah Hisham yang juga merupakan antara yang terlibat dan mendakwa keenggannya mengikut arahan tersebut menyebabkan beliau tidak disambung kontrak.

Beliau turut mengkritik penggantinya, Tan Sri Ismail Omar sebagai seorang pegawai yang hanya mengikut perintah kepada ahli politik yang berpengaruh.

Namun, bekas pemimpin tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang nama tetapi mendakwa beliau menerima arahan tersebut daripada menteri, timbalan menteri dan ahli politik, juga daripada pembangkang.

Musa juga mensasarkan penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang dianggapnya sebagai seorang hanya mengikut arahan kepada ahli politik berpengaruh.

Beliau menggambarkan hubungannya dengan Hishamuddin sebagai biasa, tetapi Menteri Dalam Negeri tersebut secara langsung mengarahkan beliau untuk mengawal pasukan polis.

Musa berkhidmat sebagai KPN sebelum bersara pada 13 September 2010.

Sidang akhbar tersebut dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), sebuah pemantau bukan kerajaan (NGO) yang mengakui mereka akan “mencabar sebarang statistik yang dikeluarkan oleh PDRM”.

NGO tersebut mendakwa mereka mempunyai statistik jenayah “sebenar” daripada pasukan polis yang dituduh mereka telah “dimanipulasi” sebelum dikeluarkan kepada orang awam.

MyWatch juga mengakui mereka memiliki bukti melibatkan pegawai atas polis dengan kumpulan bawah tanah.

Mereka merancang untuk mendedahkannya secara berperingkat, bermula minggu depan jika PDRM masih enggan bekerja dengan mereka.

Anwar sesumpah politik dan bukan pengurus ekonomi cekap kata Najib


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya bukanlah "pengurus ekonomi yang cekap" sewaktu krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada tahun 1997-1998.

Najib mendakwa Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karib ketua umum PKR itu, bagi menangani krisis ekonomi ketika itu.

"Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.

"Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.

"Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi ketua umum pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pulak," kata Najib.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka PWTC pagi ini.

Risalah PAS – Parti Ajaran Sesat diedar di PWTC


Sekeping risalah enam muka surat bertajuk PAS – Parti Ajaran Sesat turut diedar di PWTC sempena perhimpunan agung Umno.

Risalah itu diterbitkan oleh Unit Komunikasi Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Ia dibahagikan secara percuma untuk bacaan ahli dan penyokong Umno yang hadir di perhimpunan tersebut.

Muka depan risalah itu memaparkan foto Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeluk tokoh veteran DAP Lim Kit Siang sambil mengukir senyuman.
Ia dipercayai berlaku ketika Lim mengunjungi Abdul Hadi yang ketika itu menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Juga tertera gambar sekumpulan orang menunaikan solat bendera PAS serta seorang wanita sedang menyampaikan ucapan di dalam masjid atau surau.
Di antara kandungan risalah itu ialah berpegang kepada kepercayaan PAS itu Islam, Islam itu PAS; ajaran karut dan khurafat; kepercayaan sesat; fatwa Hadi dan kafir mengkafir sesama Islam dan (PAS) hukum mengikut rasa.

Tajuk lain ialah perpecahan umat; merosakkan amal ibadat; PAS menentang pelaksanaan program Islam dan amanat Hadi membawa kesesatan.
Ia turut memetik ucapan Abdul Hadi di Banggol Peradong Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dilaporkan sebagai berkata, “Kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Risalah itu turut menyatakan fatwa Haji Hadi pada tarikh sama bahawa pengikut PAS yang mati melawan Umno adalah syahid.

Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor


Himpunan Raksasa Kebangkitan Rakyat Johor akan diadakan pada :

1 Disember 2012 (Sabtu)

8.30 – 12.00 malam

Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat (P- Seri Gading)

(Depan McDonald Parit Raja, KM 18 Jalan Kluang/Batu Pahat)

Pemidato:

i. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

ii. YB Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang

iii. YB Lim Kit Siang

iv. Pimpinan Pakatan Rakyat Johor

v. Waki-wakil NGO

(7.30 – 8.30 malam - Dato' Seri Anwar Ibrahim Akan Bersama Masyarakat India Johor Sempena Sambutan Deepavali di – Jalan Badik 15, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor)