Pages

Analisa PRK DUN N.25 Kajang


Ini Keputusan RASMI Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Kajang -:

Datin Seri DR. Wan Azizah Wan Ismail (PKR)- 16,741 Undi (-1,445)

Datin Paduka Chew Mei Fun (BN)- 11,362 Undi (-1,385)

Majoriti- 5379 Undi

Keputusan Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Tahun 2013 -:

Lee Chin Cheh (PKR)- 19,571

Lee Ban Seng (BN)- 12,747 Undi

Mohamad Ismail (Berjasa)- 1,014 Undi

Calon Bebas 250 Undi

Majoriti- 6,824

Walaupun Majoriti Kemenangan PKR berkurangan sebanyak 1,445 Undi namum jumlah Undi yang diterima oleh BN juga turut BERKURANGAN sebanyak 1,385 Undi. Kalau diambil dari kebanyakkan SEJARAH Pilihan Raya Kecil (PRK) perbezaan 60 Undi diantara Undi yang Berkurangan di terima oleh PKR dan Undi BN ianya adalah dikira satu KEMENANGAN yang boleh dikatakan BESAR bagi PKR.

Kerana apa diwaktu PRK biasa nya SELURUH Pemimpin-Pemimpin dari Umno/Bn akan BERKAMPUNG disesuatu kawasan PRK dengan segala PERUNTUKAN akan DISALURKAN seperti AIR SUNGAI yang Mengalir. Akan tetapi dalam PRK DUN N.25 Kajang ianya seperti TIDAK BERKESAN kepada Pengundi-Pengundi disana melainkan kepada Penyokong Umno Totok.

Tahniah buat PKR dan PR serta Ahli DUN N.25 Kajang Datin Seri DR. Wan Azizah Wan Ismail IBU SRIKANDI, diharap segala yang DIJANJIKAN kepada Pengundi-Pengundi semasa KEMPEN PRK akan DITUNAI secepat yang Mungkin.

Karpal didenda RM4000 dan bakal hilang kerusi Bukit Gelugor


Pengerusi DAP Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 dan bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.

Karpal yang berkerusi roda adalah pemimpin tertinggi kedua Pakatan Rakyat (PR) yang dijatuhkan hukuman minggu ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah Jumaat lalu kerana meliwat.

Karpal akan merayu kepada Mahkamah Rayuan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Ketika proses rayuan pagi tadi, peguam beliau, Gobind Singh memohon agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau kerana kesihatan serta kedudukannya sebagai ahli Parlimen.

Peguam Gobind Singh berkata, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara dan denda melebih RM2,000, Karpal akan kehilangan haknya sebagai ahli Parlimen.

Sehubungan itu beliau mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda di bawah RM2,000. Namun begitu timbalan pendakwaraya Noorin Badaruddin berkata, hukuman yang menjadi pengajaran termasuk penjara perlu dikenakan.

Katanya, tindakan Karpal telah membuka jalan kepada pihak lain untuk tidak menghormati institusi raja dan Raja-Raja Melayu. Pada 21 Februari, Karpal yang berkerusi roda didapati bersalah kerana menghamburkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak ketika krisis perlembagaan 2009.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Peguam Gobind Singh memohon agar hukuman dijatuhkan pada 11 Mac agar pihaknya boleh mempersiapkan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

Karpal yang juga pengerusi DAP berhadapan dengan hukuman sehingga maksimun RM5,000 denda atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi beliau, walaupun Karpal berpengalaman lebih 45 tahun sebagai peguam, ia bukan isu.

Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu menunjukkan contoh yang baik. Pemimpin PR memenuhi ruang mahkamah hari ini sambil menunggu keputusan hukuman dijatuhkan mahkamah.

Antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang hadir memberikan sokongan moral kepada Karpal.

Wan Azizah dipilih sebagai calon pilihanraya kecil DUN Kajang

Pakatan Rakyat mengangkat Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon pilihanraya kecil DUN N25 Kajang dalam satu sidang media ringkas sebentar tadi pukul 1.30pm.

Waris penumpang MH370 dijadual diterbang jam 9 pagi ini

Waris dan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 kini ditempatkan di Everly Hotel, Putrajaya dan akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk diterbangkan ke satu lokasi yang masih belum dimaklumkan 9 pagi ini.

Menurut seorang waris penumpang yang enggan dikenali, mereka juga dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menemui semua keluarga selepas subuh nanti.

Pihak pengurusan Malaysia Airlines bersama Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Angkatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dijadual mengadakan sidang media di sebuah hotel di KLIA pagi ini berhubung perkembangan terkini mengenai pesawat yang dilaporkan hilang sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, tinjauan Bernama di KLIA awal pagi ini mendapati keadaan di lapangan terbang itu kembali tenang dan beberapa wartawan tempatan dan luar negara masih menunggu untuk mendapatkan maklumat terkini.

Semalam, MAS melaporkan pesawatnya, MH370 hilang daripada radar, kira-kira dua jam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing, China.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi semalam.

- Bernama

Pasport curi tambah lagi misteri kehilangan MH370

Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan wujud unsur jenayah berikutan laporan bahawa seorang warga Itali yang disenaraikan dalam penerbangan MH370 tidak pernah menaiki pesawat tersebut.

Menurut laporan agensi berita asing, penumpang Luigi Maraldi, 37, disenaraikan dalam senarai penumpang penerbangan yang dikeluarkan oleh Malaysia Airlines sebelumnya, tetapi akhbar Itali Corriere Della Serra melaporkan dia tidak berada dalam pesawat itu.

Maraldi dilaporkan kehilangan pasportnya di Thailand Ogos lepas.

"Mereka (pihak berkuasa Malaysia) mempunyainya (maklumat) tetapi ia masih dalam (semakan)," kata Timbalan Menteri Pengangkutan Aziz Kaprawi kepada pemberita lewat petang ini di sebuah hotel di KLIA.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman Penerbangan, pihak berkuasa telah meneliti semua rakaman CCTV penumpang serta bagasi.

"Setakat ini kita puas hati," katanya, sambil menambah maklumat lanjut tidak boleh didedahkan atas sebab-sebab keselamatan.

Corriere Della Serra melaporkan bahawa ibu bapa Maraldi telah dihubungi oleh MAS tetapi mengatakan anak mereka tidak dalam pesawat yang hilang pada jam 1.30 pagi ini.

Ini diketahui ketika CNN melaporkan bahawa para pegawai Austria mengesahkan bahawa seorang warga Austria yang tersenarai sebagai penumpang, Christian Kozel, tidak menaiki pesawat MH370 dan pasportnya telah dicuri.

"Seorang warga Austria disenaraikan sebagai penumpang pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu tidak ada dalam pesawat itu, dan pasportnya telah dicuri dua tahun lalu, pegawai itu memberitahu CNN," demikian menurut ringkasan berita di lamanweb CNN.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya, bagaimanapun, memberi amaran terhadap spekulasi yang berterusan.

"Bagi kami, ia hanya satu laporan.

"Kami sedang bekerjasama dengan kedutaan asing untuk memastikan kita boleh mengesahkan laporan itu...

"Spekulasi bermula sejak pagi ini dan setiap spekulasi telah didapati tidak benar," katanya.

Ditanya jika ini boleh menunjukkan kemungkinan berlaku rampasan, beliau berkata MAS dan pihak berkuasa " tidak menolak semua kemungkinan".

Pengawal trafik udara terputus hubungan radar dengan Boeing 777-200 di sempadan ruang udara Malaysia dan Vietnam kira-kira 200 batu nautika di luar pantai Kota Baru ketika ia dalam perjalanan ke Beijing.

Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Pesawat itu yang dilaporkan hilang semasa terbang di atas Laut China Selatan juga merupakan penerbangan perkongsian kod dengan dengan China Southern Airline.

Pakatan boikot sidang Parlimen 11 Mac

Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Parlimen pada 11 Mac ini sebagai tanda bantahan terhadap salah guna badan kehakiman dan solidariti untuk Karpal Singh yang dituduh bawah Akta Hasutan.

Kenyataan bersama dari ketiga-tiga setiausaha agung parti anggota Pakatan, memaklumkan bahawa ahli parlimen Pakatan juga akan bersama calon mereka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kajang, yang berlangsung pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mereka menyatakan ahli Parlimen Pakatan akan menghadiri majlis perasmian sidang Parlimen dan Titah Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung sehari sebelum itu.

Ketetapan tersebut diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini.

"Tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan keputusan yang bakal dikenakan terhadap Karpal Singh di bawah Akta Hasutan merupakan bukti terang bagaimana Umno-Barisan Nasional terus menyalah guna institusi kehakiman.

"Umno-Barisan Nasional tidak pernah belajar daripada hukuman rakyat bermula sejak peristiwa 1998, justeru mereka mengulangi kesilapan tersebut ke atas kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat ini," kata mereka dalam satu kenyataan tersebut.

Semalam Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar yang juga ketua umum PKR bersalah dalam kes liwat II dan dihukum penjara lima tahun dan dikenakan ikatjamin RM10,000.

Manakala pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Karpal bersalah membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Azlan Shah dalam isu pertukaran menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lima tahun lalu.

Karpal, 74, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya. Jika hukuman itu dijatuhkan, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimennya.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka Berkata enam tahun selepas 8 Mac 2008, Umno-BN kehilangan sokongan rakyat dan Pakatan muncul sebagai kuasa mengancam hegemoni mereka.

Kata mereka, walaupun Umno-BN terus hilang sokongan, namun keangkuhan dan kedegilan parti itu berterusan, melalui keengganan mereka melakukan reformasi tulen ke atas institusi penting negara termasuklah institusi kehakiman.

"Hal ini kerana ianya satu-satunya jalan yang menjamin kelangsungan Umno-BN untuk kekal berkuasa.

"Kami yakin pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sia-sia.

"Pengorbanan ini akan membuka mata rakyat, menyemarakkan semangat dan melonjakkan sokongan segenap lapisan masyarakat untuk bersama Pakatan Rakyat demi melakukan perubahan," katanya..

Kak Wan : Lap air mata teruskan perjuangan

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah hari ini menggesa penyokong Pakatan Rakyat agar tidak bersedih dengan keputusan mahkamah yang mensabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan Liwat 2, semalam.

Dalam ucapan ringkasnya pada Konvensyen Pakatan Rakyat kelima di Shah Alam pagi ini, Wan Azizah berkata keputusan itu bahkan akan menguatkan keazaman Pakatan untuk terus bersatu.

"Sekarang ini kita bersama dan inilah kekuatan kita.

"Janganlah kita berpecah belah, janganlah kita fikirkan bahawa kita seorang sahaja.

"Marilah kita tingkatkan, kuatkan, teruskan perjuangan kita.

"Air mata itu hanya untuk membasahi (pipi) sekejap sahaja, kita lap dan kita teruskan," katanya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 di kondominium Desa Damansara.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.

Anwar didapati bersalah selepas kes itu dirayu oleh Peguam Negara yang melantik peguam terkemuka, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili kerajaan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan ketua pembangkang itu dari tuduhan tersebut.

Wan Azizah sewaktu memulakan ucapannya pagi tadi tetap kedengaran bersemangat walaupun mengakui bersedih dengan keputusan mahkamah semalam.

"Walaupun sugul di hati tetapi masih lagi semangat tinggi," kata Wan Azizah.

Beliau kemudian dianugerahkan sebagai Tokoh Wanita Pakatan Rakyat dalam konvensyen pagi tadi, sempena Hari wanita Sedunia yang jatuh pada hari ini.

Anugerah itu disampaikan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Mumtaz Md Nawi.

Kezaliman ini akan percepat tumbangnya BN insya Allah - Tuan Ibrahim Tuan Man

"Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat.”

Itulah amaran Rasulullah S.A.W agar semua pihak menghindari apa jua bentuk kezaliman. Bahkan kezaliman juga adalah dosa besar yang diingatkan oleh Allah agar jangan sesekali kita cenderung untuk menyokong golongan yang zalim, kelak akan disambar oleh api neraka di akhirat.

Terdapat banyak hadis Rasulullah .S.A.W yang memberi amaran agar kita menjauhi perbuatan yang zalim, atau menyokong golongan yang zalim bahkan dilarang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantu kezaliman mereka.

Dalam sepotong hadis Rasulullah S.A.W Baginda memberi amaran: "Sesiapa yang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantunya (melakukan kezaliman), dalam keadaan dia tahu orang yang bersamanya melakukan kezaliman, maka ia terkeluar dari lingkungan orang Islam.”

Semua peringatan ini adalah peringatan Allah dan Rasul S.A.W bertujuan agar kita menegakkan keadilan, memperjuangkannya dan menyokong sebarang usaha bagi menegakkan keadilan di atas muka bumi.

Bahkan Al Quran menegaskan, “Berlaku adillah kamu, kerana adil itu hampir dengan taqwa.”

Atas landasan inilah PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan seluruh tenaga bagi memperjuangkan keadilan berteraskan ajaran Islam, yang bersifat rahmat untuk semua. Perjuangan panjang ini tidak akan berakhir hanya dengan kemenangan beberapa buah negeri, bahkan menguasai Putrajaya sekalipun, kerana ia adalah perjuangan sepanjang zaman dan berterusan.

Tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ratusan insan lain dalam sejarah perjuangan PAS dan rakyat megara ini, adalah lanjutan kerakusan parti pemerintah untuk menyekat apa jua ruang kebangkitan rakyat.

Tindakan ini berlaku dalam sepanjang sejarah perjuangan umat manusia. Sayangnya pemimpin yang bertindak zalim gagal mengambil pengajaran di atas tindakan zalim mereka kepada rakyat.

Puluhan kerajaan besar tumbang akibat kezaliman mereka kepada rakyat. Kemana berakhirnya rejim Firaun yang membunuh anak-anak kecil kerana bimbang dengan kelahiran seorang lelaki yang bakal menumbangkan kerajaannya.

Demikian juga ke mana perginya Hamam, Qarun, Namruz, Abu Lahab, dan ratusan rejim di zaman kita. Kekuasaan dan keegoan mereka tumbang menyembah bumi dan mereka menerima pembalasan di atas kezaliman mereka.

Kita yakin apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih mengukuhkan hubungan PR dan menyemarakkan kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman ini.

PAS yakin dengan janji Allah bahawa kebatilan tidak akan kekal walau kelihatan teguh dan kukuh, manakala keadilan akan tetap mencapai kemenagan, walau kelihatan ia lemah dan tidak ampuh.

Sempena konvensyen PR kali ini, dalam mana kita menghadapi suasana sedih penganiayaan kepada DSAI, kes Karpal Singh, tragedi pesawat MAS yang terhempas, dan PAS kehilangan beberapa tokoh utama parti, mari kita hadapinya dengan penuh ketabahan, kesabaran, kesepakatan, pengukuhan hubungan PR serta membina gelombang kebangkitan rakyat bagi menumbang kerajaan BN dalam PRU akan datang. Insya Allah.

Allahu akhbar.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS

Konvensyen PR rakam doa keselamatan penumpang MAS

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-5 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, di sini turut merakamkan doa keselamatan buat seluruh penumpang dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 ke Beijing yang terputus hubungan komunikasi dengan pusat kawalan.

"Kita merakam cemas dan rasa prihatin kita. Maklumat yang diterima belum muktamad.

"Tetapi kita mengharapkan selamat semua dan kesabaran buat keluarga," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi tadi ketika berada di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Hukuman Terhadap DSAI Satu Lagi Episod Hitam Dalam Negara Kita

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sungguh terkejut dan ingin merakamkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam proses penghakiman yang begitu tergesa-gesa menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan pendakwa terhadap Kes Sodomi II pada hari ini.

PAS dan kalangan rakyat awam sudah tentu bertegas bahawa prinsip keadilan mestilah bukan sahaja ditegakkan dengan penuh telus dan bermaruah, tetapi ianya mestilah dapat dilihat ditegakkan dengan prosesnya yang begitu teliti, cermat dan berlaku adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas. Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa. Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini.

PAS berkongsi kekecewaan ini dengan anggota keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terutamanya isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

5 Jamadil Awal 1435 H bersamaan 7 Mac 2014