Siasatan skandal Scorpene menyukarkan Najib dengan PRU makin hampir

Kerajaan Malaysia akan menjawab dakwaan berkenaan pembelian dua buah kapal selam Scorpene pada Selasa, sebagai maklum balas terhadap skandal tersebut yang dilihat cubaan untuk mencalarkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan pilihan raya bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan memberikan jawapan terhadap dakwaan penjualan dokumen rahsia tentera laut negara ini kepada syarikat pembinaan kapal selam Perancis DCNS bagi memudahkan mereka memenangi bidaan tersebut dengan harga €1 billion (RM4 bilion) pada 2002.

Dipetik laporan Reuters, Najib yang pada masa itu merupakan menteri pertahanan, telah menafikan dakwaan tersebut. Tiada bukti yang mengaitkan beliau dengan rasuah berhubung proses jual beli berkenaan, dan penyokong beliau berkata pihak pembangkang sengaja menimbulkan perkara itu semata-mata mahu mencalarkan imejnya selaku perdana menteri memandangkan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.

Agensi berita itu juga mengatakan, kerajaan pimpinan Najib sedang berhadapan tekanan untuk memberikan penjelasan selepas dokumen itu didedahkan di mahkamah di Perancis oleh kumpulan hak asasi manusia Malaysia (Suaram) dan disebarkan secara meluas di media online.

Dokumen yang turut mengandungi rekod rampasan pihak berkuasa Perancis dalam serbuan di pejabat DCNS menunjukkan bukti pembayaran yang dibuat dua syarikat yang dimiliki oleh bekas penganalisis politik, Razak Baginda, yang juga merupakan bekas pembantu Najib yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tersebut.

Dokumen berkenaan yang turut dipaparkan di laman media online, Asia Sentinel turut memaparkan laporan yang disediakan DCNS yang menyatakan kontrak pertahanan yang besar memerlukan “pemindahan wang yang besar kepada individu dan / atau organisasi”.

“Di Malaysia, biasanya ... kerajaan pemerintah adalah pihak yang lebih banyak memperolehi manfaat,” kata dokumen terbabit, merujuk kepada pemerintahan Umno, yang kini diketuai oleh Najib.

Dokumen lain pula menyebut, bekas ketua eksekutif DCNS berkata, Perimekar, salah satu daripada syarikat Razak Baginda berperanan sebagai tidak lebih daripada “agensi pelancongan” yang diwujudkan bagi mencetuskan “pengkayaan yang tidak adil kepada pemegang sahamnya.”

No comments:

Post a Comment