Polis siasat blog dan Facebook 'Imam Mahadi'

Polis sedang menyiasat sama ada pasangan yang mengamuk di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, mempunyai pengikut atau rangkaian yang tertentu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata antara yang akan disiasat termasuk akaun Facebook dan blog mereka, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.

"Kita masih siasat latar belakang mereka, termasuk kemungkinan merak ada kaitan dengan ajaran sesat," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini, polis menganggap tindakan amuk oleh Khalil Afandi Hamid, 47 - yang mendakwa dirinya Imam Mahadi - dan seorang wanita Muhdalina Ahmad, bukan sesuatu yang dirancang teliti.

"Laporan awal yang kita dapat, dia (Khalil) seorang yang 'tidak sihat'," beliau dipetik sebagai berkata kepada harian itu.

Dalam laporan yang lain, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid dipetik sebagai berkata pihaknya sedang mengesan seorang individu yang disebut berulang kali dalam blog dan Facebook Khalil.

Menurut Abdul Razak, lelaki itu akan disiasat sama ada dia turut mempunyai kaitan dengan kejadian amuk itu.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor masih belum dapat mengesahkan sama ada Khalil dan Muhdalina terbabit dalam ajaran sesat.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha dipetik berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai masalah mental dan cenderung kepada pengaruh ganas dan ekstrem daripada apa yang diminati.

No comments:

Post a Comment