Pakatan boikot sidang Parlimen 11 Mac

Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Parlimen pada 11 Mac ini sebagai tanda bantahan terhadap salah guna badan kehakiman dan solidariti untuk Karpal Singh yang dituduh bawah Akta Hasutan.

Kenyataan bersama dari ketiga-tiga setiausaha agung parti anggota Pakatan, memaklumkan bahawa ahli parlimen Pakatan juga akan bersama calon mereka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kajang, yang berlangsung pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mereka menyatakan ahli Parlimen Pakatan akan menghadiri majlis perasmian sidang Parlimen dan Titah Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung sehari sebelum itu.

Ketetapan tersebut diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini.

"Tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan keputusan yang bakal dikenakan terhadap Karpal Singh di bawah Akta Hasutan merupakan bukti terang bagaimana Umno-Barisan Nasional terus menyalah guna institusi kehakiman.

"Umno-Barisan Nasional tidak pernah belajar daripada hukuman rakyat bermula sejak peristiwa 1998, justeru mereka mengulangi kesilapan tersebut ke atas kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat ini," kata mereka dalam satu kenyataan tersebut.

Semalam Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar yang juga ketua umum PKR bersalah dalam kes liwat II dan dihukum penjara lima tahun dan dikenakan ikatjamin RM10,000.

Manakala pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Karpal bersalah membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Azlan Shah dalam isu pertukaran menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lima tahun lalu.

Karpal, 74, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya. Jika hukuman itu dijatuhkan, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimennya.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka Berkata enam tahun selepas 8 Mac 2008, Umno-BN kehilangan sokongan rakyat dan Pakatan muncul sebagai kuasa mengancam hegemoni mereka.

Kata mereka, walaupun Umno-BN terus hilang sokongan, namun keangkuhan dan kedegilan parti itu berterusan, melalui keengganan mereka melakukan reformasi tulen ke atas institusi penting negara termasuklah institusi kehakiman.

"Hal ini kerana ianya satu-satunya jalan yang menjamin kelangsungan Umno-BN untuk kekal berkuasa.

"Kami yakin pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sia-sia.

"Pengorbanan ini akan membuka mata rakyat, menyemarakkan semangat dan melonjakkan sokongan segenap lapisan masyarakat untuk bersama Pakatan Rakyat demi melakukan perubahan," katanya..

No comments:

Post a Comment