Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang@Talib hari ini tampil membuat kenyataan tegas mencabar pihak polis mengeluarkan bukti melalui rakaman video yang penuh.
Menurutnya, beliau bertegas bahawa empat klip video yang disiarkan pihak polis hanya menunjukkan apa yang berlaku sebelum pergelutan antara polis dan pelajar, yang menyebabkan dia cedera parah.
“Kami mengutuk polis kerana berbuat demikian. Mengapa mereka tidak memuat naik gambaran sebenar tentang apa yang berlaku semasa pergelutan itu?” soalnya.
“Ini bermakna polis menafikan berlaku pergelutan, menyembunyikan sebahagian daripada bahan bukti,” kata Safwan berhubung insiden awal pagi Ahad lalu di luar kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.
Safwan diberitakan hadir bersama isteri dan ahli keluarga serta beberapa rakan aktivis mahasiswa membuat satu laporan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang hari ini.
Masih berkerusi roda
Dalam laporan itu, dia menuduh berlaku kekasaran pihak polis semasa pergelutan tersebut, dan juga mengadu cermin depan keretanya dipecahkan oleh orang yang tidak diketahui pada pagi hari berikutnya.
Safwan yang hadir dengan berkerusi roda juga mendakwa anggota polis menumbuk pipi kirinya dan menekan lutut pada dada kanannya ketika menangkapnya, menyebabkan dia selepas itu mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri.
Selain Safwan, turut meminta pihak polis mendedahkan rakaman penuh adalah Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul dalam kenyataannya sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment