Hubungan Pas dan rakan Pakatan Rakyat (PR) tidak terjejas meskipun menghadapi pelbagai isu sensitif seperti kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wall Street Journal baru-baru ini.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof berkata, kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya menarik diri daripada PR hanya bertujuan untuk memecahbelahkan hubungan antara Pas, DAP dan PKR.
“Suasana hari ini, suasana pilihan raya umum. Kita faham Umno nak tengok Pakatan Rakyat berpecah dan apa yang diwar-warkan mereka adalah ingin menggambarkan bahawa PR tidak ada persefahaman, sedangkan kami memerintah empat negeri, tidak timbul pula masalah sebagaimana didakwa,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyarankan agar Pas menarik diri daripada bekerjasama dengan parti yang secara terangan tidak memperjuangkan Islam.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang tidak memandang kelemahan diri sendiri sebelum membuat mengkritik terhadap parti lain.
Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas tidak perlu mengkaji kedudukan dan hubungannya dalam PR hanya semata-mata desakan beberapa ahli di peringkat akar umbi.
“Memang ada beberapa perkara yang kita berbeza pandangan di antara Pas, PKR dan DAP. Tetapi seperti yang kita sebut sebelum ini, kita menghormati pandangan masing-masing untuk mengekalkan prinsip masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment