Umno : Sharizat tidak perlu letak jawatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak ada sebab untuk meletakkan jawatan ekoran isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Datuk Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan Umno berkata, Shahrizat tidak seharusnya meletakkan jawatan kerana suaminya yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFCorporation tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

“Shahrizat tidak seharusnya dibebani dengan masalah NFC ini kerana beliau tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut walaupun suaminya mempunyai kaitan.

“Itu adalah satu kebetulan. Shahrizat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang suaminya untuk berniaga. Tambahan pula, jika suami atau isteri menteri tidak berniaga, apa lagi kerja yang mereka boleh lakukan,” katanya di sini, malam tadi.

Ahmad berkata demikian sebagai respons kepada desakan beberapa pihak supaya Ketua wanita Umno itu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti bagi melicinkan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu NFC.

Beliau turut berkata, geran bernilai RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat tersebut bukan diperuntukkan secara percuma, sebaliknya ia adalah satu bentuk hutang yang perlu dibayar.

“Selain itu, NFC, sama seperti lima atau enam syarikat lain, mereka turut bertanding untuk mendapatkan tender di mana mereka akan membuat pembentangan atau taklimat dan hanya syarikat terbaik sahaja yang terpilih.

“Tambahan pula, syarikat tersebut mendapat kelulusan projek dari Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) dan bukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipegang oleh Shahrizat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, jawatankuasa NFC juga telah memutuskan bahawa Shahrizat tidak ada kaitan dengan syarikat tersebut.

No comments:

Post a Comment