Suara Nik Aziz bukti ulama boleh tegur Anwar kata Hassan Ali

Gesaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah "satu perkara yang jarang-jarang timbul" dalam sistem parti itu mempersoalkan Ketua Pembangkang.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, kenyataan Nik Aziz supaya Anwar menarik balik kenyataan beliau dalam Wall Street Journal (WSJ), adalah bukti pemimpin ulama Pas mampu menegur Anwar.

Beliau turut memuji kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa adalah haram menyokong negara haram, yang disifatkan beliau sebagai satu pendirian tegas pemimpin Pas.

Namun, Hasan mempersoalkan mengapa golongan parasit dalam Pas masih tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Anwar.

“Kenyataan yang ditunggu-tunggu adalah dari golongan profesional ataupun golongan parasit dalam Pas. Sehingga hari ini, tiada seorang pun, yang mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap Anwar, rakyat ingin mendengar bilakah parasit ini akan bersuara dalam isu ini," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Nik Aziz menggesa Anwar menarik balik kenyataan beliau berhubung sokongan terhadap keselamatan Israel, sebelum ini.

Bekas Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor itu berkata, rakyat masih tertanya-tanya mengenai kenyataan Anwar itu, sama ada benar ataupun tidak.

Hasan berkata, ramai rakannya di Eropah dan negara Arab juga menyatakan kerisauan dengan apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini.

Kita mahu Anwar menerangkan sama ada Pakatan Rakyat tidak menjalinkan hubungan langsung dengan Israel. Ini sangat penting ataupun PR mesti mula usaha-usaha menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Kedua-duanya jelas. Rakyat tertanya-tanya," katanya.

No comments:

Post a Comment