Kerajaan Pusat patut ikut Kerajaan P.Pinang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa untuk mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan memberikan peruntukan tahunan kepada ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari membuat gesaan itu dalam satu kenyataan bersama.

Ini ekoran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa semua Adun negeri tersebut, termasuk Adun pembangkang, akan diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil.

Justeru, 10 orang Adun pembangkang daripada Umno akan diberi peruntukan sebanyak RM40,000 bagi tujuan tersebut mulai 2014.

Bagi Sin dan Zairil, tindakan tersebut jelas merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk mewujudkan sebuah demokrasi yang matang di negara kita.

Kata mereka, ia sekaligus juga membuktikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bermain politik dan sebaliknya serius dalam usaha pendamaian nasional yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Usaha ini patut dicontohi setiap kerajaan negeri di Malaysia dan sudah tentu sekali oleh kerajaan Persekutuan,” ujar mereka.

Pada tahun ini, sejumlah RM185.5 juta telah diperuntukkan kepada semua 222 kawasan parlimen, bersamaan dengan lebih kurang RM835,000 setiap kawasan.

“Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak diberi kuasa untuk mengurus ataupun meluluskan sebarang projek menggunakan peruntukan tersebut,” kata mereka lagi.

Jelas, ujar mereka tindakan itu merupakan diskriminasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang dan pencabulan terhadap prinsip demokrasi, juga boleh dilihat sebagai menghina rakyat di kawasan-kawasan pembangkang.

Justeru, mereka menggesa kerajaan Persekutuan terutamanya Najib untuk mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dan memberikan peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen pembangkang agar kami dapat melaksanakan kewajiban kami sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah.

“Kami juga berharap Perdana Menteri akan mengambil peluang ini untuk bertindak secara berhemah dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi mencapai kematangan proses demokrasi di negara kita,” kata mereka.

No comments:

Post a Comment