Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengingatkan rakyat bahawa jika pembangkang membuat janji, semuanya itu adalah janji politik dan bukan janji yang terasas kepada kebolehan, budi dan jasa.
"Oleh kerana mereka hanya pandai menjanjikan sesuatu, tanpa kebolehan mentadbir negara, kita menyatakan rakyat harus waspada dan tidak cepat 'melenting' menyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu, begini...jauh lagi untuk menyatakan ketidakbolehan pemimpin kita.
"Sebenarnya, rakyat Malaysia perlu melihat dari sudut anak-anak yang berada di sekolah dan generasi muda kita yang perlu terus dibimbing.
Bagaimana kestabilan negara sudah kita wujudkan, kemudian keharmonian kaum dan seterusnya kesejahteraan. Kesemua ini harus kita timbang mendalam," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Merdekaraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Lui di Dewan Budaya Air Hitam, di sini hari ini.
Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata 'menukar kuasa pentadbiran kerajaan bukan sesuatu seperti menukar pakaian' kerana ia berkaitan dengan tamadun, masa depan generasi dan janji yang harus dipaksikan kepada apa yang terbukti dengan pembangunan dan kemajuan dikecapi negara selama di bawah BN.
"Dalam hal inilah, rakyat memberi galakan dan sokongan yang sangat padu dan kita yakin kita akan beroleh kejayaan terus menerus. Namun, janji ditepati ini kita perlu senaraikan...apa yang masih terbaki dan apa yang kita telah laksanakan. Dengan itu, semua rakyat akan faham sama ada kita berkata benar atau pun tidak," katanya.
Mengenai Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept ini di Bintulu, Sarawak, Rais berkata: "Setelah kita mengecapi kemerdekaan 55 tahun dan dengan kemasukan 49 tahun Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, ia merupakan tunjang dan pelengkap kepada kemerdekaan negara ini"
No comments:
Post a Comment