Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, mewakili Wanita Pakatan Rakyat (PR) dalam sidang media hari ini memberi keyakinan akan lebih ramai lagi calon wanita dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini sekaligus membuktikan komitmen PR dalam memperjuangkan isu melibatkan wanita di Malaysia.
Disamping itu Zuraida juga berkata Wanita PR akan memperkenalkan polisi untuk kaum wanita seperti yang terdapat dalam Buku Jingga dengan memperkenalkan tujuh tumpuan utama (polisi Wanita PR) sebagai manifesto menjelang PRU ke-13 nanti.
Tujuh tumpu utama tersebut akan dilancarkan sempena malam “Agenda Wanita Malaysia” pada 13 September ini di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Dengan tema “Falsafah Hormat Wanita”, Zuraida turut berharap agenda yang akan dibawa oleh Wanita PR ini akan dapat membantu kaum wanita menyedari bahawa mereka mempunyai hak-hak yang mungkin tidak diketahui selama ini serta membantu meningkatkan peranan mereka dalam membangunkan negara.
Selain itu, Zuraida juga menegaskan pihak kerajaan menerusi agensi-agensi dan kementeriannya sudah tidak relevan dan tidak lagi memainkan peranan penting tetapi sebaliknya sudah terkebelakang dalam memperjuangkan isu wanita.
“Kementerian kerajaan kini sudah tidak boleh diharap dalam memperjuangkan isu wanita, malahan tidak lagi berfungsi untuk membantu wanita,” kata Zuraida.
Zuraida turut memperjelaskan kegagalan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam memainkan peranan meningkatkan jumlah wanita dalam pentadbiran di pelbagai peringkat walaupun telah menandatangani Konvensyen CEDAW di Beijing dua puluh tahun lalu.
“Malaysia sudah menandatangani konvensyen tersebut untuk meningkatkan peranan wanita dalam pelbagai bidang sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding kerajaan Umno dan BN yang tidak mampu melakukannya,” tambah Zuraida.
“Berbanding dengan kerajaan, PR telahpun memasukkannya dalam manifesto Buku Jingga dan membuktikan kami lebih ke depan dan proaktif.”
Zuraida juga yakin tahap 30 peratus tersebut mampu dicapai oleh PR menjelang PRU ke-14 memandangkan tahun lepas saja keseluruhan 13 peratus penglibatan wanita dalam PR telah berjaya dicapai mereka.
Berbeza dengan Wanita Umno, Zuraida juga menegaskan Wanita Pakatan lebih memperjuangkan isu-isu kesedaran, memperkasakan kaum wanita dan menggunakan pendekatan berlandaskan ilmu pengetahuan sambil yakin wanita masa kini sudah bersedia untuk menghadapinya.
Majlis pelancaran “Agenda Wanita Malaysia” yang bakal berlangsung ini juga bakal dihadiri ketua umum PR, Anwar Ibrahim bersama ketiga-tiga presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang.
No comments:
Post a Comment