Isu Kampung Baru membuktikan bahawa Umno telah gagal dalam membela hak rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, isu ini juga menjadi tanda aras kezaliman kerajaan Umno terhadap rakyat.
Menurutnya, penduduk Kampung Baru dinafikan hak terhadap tanah mereka sendiri semata-mata kerana memberi laluan kepada pembangunan.
Sebaliknya, pemaju dimanjakan dengan pelbagai kemudahan manakala pemilik dan pewaris dibiarkan mereka tanpa sebarang pembelaan sewajarnya.
"Ternyata slogan Rakyat Didahulukan serta Janji Ditepati hanyalah kata-kata manis yang indah diucapkan di lidah pemimpin mereka, hakikatnya ia adalah suatu yang pahit untuk ditelan apabila menghadapi kenyataan," katanya.
Keperihatinan PR
Dalam pada itu beliau bekata pihaknya menyokong penuh kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat yang akan membatalkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 serta merta jika diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan.
"DPPKT merakamkan penghargaan setingginya atas keprihatinan pemimpin Pakatan Rakyat yang berusaha memberi jaminan Akta PPKB 2011 akan dibatalkan dan seterusnya akan dikembalikan kepada pemilik dan pewaris Kampung Bharu.
"Dalam keadaan isu ini didiamkan dari pengetahuan rakyat, pemimpin PR terus memainkan isu ini sebagai agenda penting PR bagi memastikan ianya terus bermain di bibir rakyat," ujarnya.
Kenyataan itu sebelum ini dilontarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan untuk membatalkan akta ini jika Pakatan Rakyat mendapat mandat memerintah Malaysia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
"DPPKT merasakan kenyataan inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya pemilik Kampung Baru," katanya.
DPPKT juga katanya akan menjadikan kenyataan pemimpin PR sebagai informasi penting untuk disampaikan kepada rakyat khususnya warga Parlimen Titiwangsa supaya mereka jelas dalam menentukan hala tuju politik negara.
Menurutnya lagi memilih BN di negara ini bererti mengekalkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 dan sekaligus mematikan hasrat penduduk untuk memiliki tanah tersebut.
"Lima tahun mendatang terlalu panjang masanya buat mereka menuntut hak mereka kembali kerana terlalu banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut.
"Sebaliknya memilih PR akan memastikan tanah Kampung Bharu tidak terusik bahkan ianya akan kembali ke pangkuan rakyat sebagaimana asal," katanya.
No comments:
Post a Comment