Kit Siang Cabar Mahathir Tanding Gelang Patah


Penasihat DAP Lim Kit Siang mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah untuk membolehkan rakyat Johor memilih sama ada untuk menguburkan kerjaya politik beliau atau masa depan bekas perdana menteri tersebut.
Cabaran itu disuarakannya bagi menjawab kenyataan Mahathir di negeri tersebut pada malam tadi, yang menggesa agar rakyat Johor menjadikan pilihan raya umum kali ini sebagai medan untuk menguburkan kerjaya politiknya.

Lim berkata, beliau juga mencabar demikian memandangkan Mahathir belum benar-benar bersara dari politik.

"Malah, beliau lebih kuat berbanding pada masa lain dari belakang tabir kuasa, dan lebih sibuk berbanding semasa beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dengan kenyataan harian untuk menyusun atur kepimpinan Umno dan BN.

"Mahathir menggulingkan Tun Abdullah (Ahmad Badawi) sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum 2008 dan mengancam secara terbuka untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri sekiranya gagal meraih keputusan pilihan ray alebih baik berbanding Abdullah.

"Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa Mahathir sebenarnya perdana menteri sebenar, orang yang paling digeruni Najib kerana Mahathir adalah orang yang masih boleh menentukan masa depan politik Najib," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ucapan pada malam tadi, Mahathir turut meminta rakyat Malaysia memastikan karier politik penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditamatkan menerusi peti undi pada PRU13 kelak.

"Lim Kit Siang mahu datang (bertanding) di sini. Saya minta rakyat negeri Johor, semua kaum bergabung tenaga untuk pastikan negeri Johor menjadi 'kubur' kepada Lim Kit Siang.

"Kita perlu memastikan dia (Lim) kalah di Johor. Johor akan terus menjadi simpanan tetap BN," katanya seperti dilaporkan Bernama.

No comments:

Post a Comment