Anwar umum 5 calon PKR tanding kerusi Parlimen Sarawak


Lima calon KEADILAN diisytihar akan bertanding kerusi Parlimen Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Mereka adalah Baru Bian mewakili Parlimen Limbang, Ali Biju (Saratok), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar), Abun Sui Anyit (Hulu Rajang) dan Roland Engan (Baram).

Pengumuman itu dibuat Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti semalam.
Antara calon yang hadir pada sidang media pengumuman itu, Baru dan Ali, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How.

Menurut Anwar, kawasan terbabit yang diputuskan KEADILAN setakat ini tiada pertindihan dengan PAS dan DAP.
Baru yang merupakan Adun Ba’kelalan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 adalah Pengerusi KEADILAN Sarawak.

Beliau adalah pemimpin veteran dan pembabitannya dalam politik bermula dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Kongres Dayak Malaysia dan juga pernah bertanding di bawah tiket Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pada 2006.
Baru juga terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan tanah hak adat pribumi (NCR).

Ali pula Timbalan Pengerusi Negeri dan Adun Kerian selepas memenangi kerusi tersebut, juga pada PRN 2011.
Sementara Abun adalah tokoh yang konsisten memperjuangkan hak tanah adat bagi rakyat Sarawak. Beliau mula dikenali selepas membela rakyat yang tertindas akibat pembinaan empangan Bakun.

Manakala Roland ialah peguam yang aktif berkhidmat mewakili penduduk Baram, antaranya berhubung pembinaan empangan Baram yang mengganggu kehidupan mereka.

Abang Zulkifli yang merupakan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri sebelum ini menyuarakan isu petani miskin di Sebangan yang terjejas ekoran kelembapan kerajaan membaiki tambak menyebabkan air laut masuk merosakkan tanaman.
Bekas Setiausaha KEADILAN Negeri itu pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas pada PRN 2011.

1 comment:

  1. penyokong2 anwar dengar dan tonton dokumentari ini, buka minda, buka hati seluas2nya..................selebihnya anda nilai lah sendiri......setakat itu sahaja yang boleh saya bantu http://www.youtube.com/watch?v=WZhtn8jv8L8&list=PLuypJOiGZW2nYAeilAydyvLRvpRiv5H9q

    ReplyDelete