Kerajaan UMNO-BN (UBN) Negeri Sembilan tamat hari ini, Rabu, 27 Mac 2013. Untuk tempoh sehingga 60 hari yang akan datang, Negeri Sembilan bakal diperintah secara kerajaan sementara. Wakil rakyat pun sudah tiada.
Kegagalan kerajaan UBN mengadakan PRU13 sebelum berakhirnya mandat lima tahun kerajaan pilihan rakyat menyebabkan kerajaan Malaysia sekarang diperintah secara “kerajaan sementara” atau di dalam Bahasa Inggerisnya disebut “caretaker government.” Hal ini tidak bersalahan dengan konvensyen dalam negara-negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen tetapi ia tetap dipandang sebagai satu kekalahan moral bagi “outgoing government.” Kenapa pula pilihanraya mahu ditangguh-tangguhkan kecualilah ada perkara yang membawa mudharat besar kepada negara jika pilihanraya diadakan? Di Malaysia, justifikasi yang demikian tidak wujud. Hatta, isu pencerobohan orang Sulu ke atas wilayah Lahad Datu di Sabah tidak cukup besar untuk menangguhkan pilihanraya. Justeru, wujudlah persepsi di kalangan rakyat bahawa “outgoing government” menangguh-nanguhkannya sebab tidak mampu untuk berdepan dengan kemungkinan akan kalah di dalam piliharaya kali ini.
Seingatan penganalisis, inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia merdeka, piliharaya umum tidak diadakan sebelum tempoh lima tahun mandat kerajaan tamat. Ini satu rekod baru.
Kalau dikira dari tarikh PRU12, iaitu, pada 8 Mac 2008, maka kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri sepatutnya sudah berada di bawah kerajaan sementera berkuatkuasa dari 9 Mac 2013 dan dalam tempoh 60 hari dari tarikh parlimen dan dewan-dewan undangan negera terbubar dengan otomatik, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mengadakan pilihanraya, bermakna, tidak boleh lewat dari 8 Mei 2013. Namun, di sana ada peraturan yang mengatakan bahawa tarikh parlimen bubar secara otomatik bermula dari tarikh persidangan parlimen yang pertama diadakan dan bagi dewan-dewan undangan negeri dari tarikh ahli dewan undangan mengangkat sumpah. Di atas prinsip ini, maka parlimen akan terbubar secara otomatik pada 26 April 2013 dan PRU13 mestilah diadakan sebelum 26 Jun 2013, iaitu, sebelum tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen secara otomatik luput. Harus diingat bahawa jika PRU13 diadakah pada hari terakhir tempoh 60 hari itu, iaitu, pada 26 Jun 2013, maka banyaklah kerajaan negeri yang “tidak berkerajaan yang sah” dalam tempoh itu. Misalnya, kerajaan sementara Negeri Sembilan hanya sah sampai 27 Mei 2013. Ini isu undang-undang. Biarlah pakar undang-undang khususnya pakar perlembagaan yang membicarakannya. Pandangan di sini adalah pandangan bukan pakar.
Dewan undangan Negeri Sembilan mengangkat sumpah pada 27 Mac 2008, maka, kerajaan negeri terbubar dengan automatik pada hari ini, Rabu, 27 Mac 2013 dan mulai hari Khamis, 28 Mac 2013, kerajaan Negeri Sembilan diperintah secara kerajaan sementara. Tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya bagi Negeri Sembilan ialah 27 Mei 2013. Ini akan disusuli oleh negeri-negeri lain.
Anggota pasukan kerajaan sementara Negeri Sembilan ini terdiri dari Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO kerajaan. Status mereka ialah masing-masing, Menteri Besar Sementara dan ahli EXCO sementara. Mereka, seperti mana juga wakil rakyat yang lain sudah berhenti menerima gaji dan apa-apa jua alaun berkaitan dengan tugas mereka sebagai wakil rakyat. Kesemua 36 DUN di bawah lapan kawasan parlimen di Negeri Sembilan sekarang sudah tiada wakil rakyat.
Secara mudahnya, kerajaan sementara ini hanya boleh membuat kerja-kerja rutin sebuah kerajaan seperti - yang disebut oleh Tok Mat (nama manis YAB Menteri Besar Negeri Sembilan) dengan tepatnya - membayar gaji penjawat kerajaan bagi menjamin kesinambungan kerajaan dan mengelakkan anarki. Kerajaan sementara ini ibaratnya badan manusia yang lumpuh sebelah yang bermakna ia tidak boleh menjalankan fungsi penuh sebuah kerajaan. Jangka hayatnya pula tidak melebihi 60 hari dari tarikh ia lahir.
Jika PRU13 hendak diadakan serentak di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri-negeri, maka ianya kenalah diadakan sebelum 27 Mei 2013. Kalau ini pertimbangannya, maka dijangkakan PRU13 bakal diadakan dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Jika tidak, Negeri Sembilan kenalah mengadakan pilihanraya bersendirian atau menjadi “negeri tidak berkerajaan” sehinggalah PRU13 selesai dan kerajaan pilihan rakyat yang baru dibentuk.
Apa itu kerajaan sementara?
Kerajaan sementara adalah satu bentuk kerajaan yang memiliki kuasa untuk memerintah secara sementara dan tempoh pemerintahan itu amat pendek, ada yang sehingga 60 hari seperti di Malaysia dan ada yang sehingga 120 hari sahaja seperti di Bangladesh. Mekanisma pembentukan kerajaan sementara itu ada pelbagai. Di Malaysia, apabila mandat 5 tahun kerajaan pilihan rakyat luput maka kerajaan yang ada akan secara otomatik bertukar status menjadi kerajaan sementara. Status Perdana Menterinya juga menjadi Perdana Menteri Sementara. Begitu jugalah menteri-menteri kabinet yang lain. Semua ahli parlimen sudah tidak lagi berstatus ahli parlimen dan tidak lagi dibayar gaji dan apa-apa alaun berkaitan dengan tugas mereka sebagai ahli parlimen. Inilah amalan yang lumrah di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Sistem di Malaysia ini bolehlah digelarkan sebagai “party-based caretaker government.
Di Bangladesh, apabila parlimen dibubarkan, hayat kerajaan yang memerintah juga tamat. Ianya digantikan oleh pihak berkuasa yang lain diketuai oleh Ketua Penasihat (Chief Adviser) yang dilantik oleh Presiden. Ketua Penasihat diberi kuasa untuk melantik penasihat-penasihat yang pada efektifnya adalah menteri-menteri kabinet sementara. Kerajaan sementara ini menggantikan sepenuhnya kerajaan pilihan rakyat yang hayatnya sudah tamat itu. Ketua Penasihat dan penasihat yang lain biasanya dilantik dari kalangan penjawat awam terkanan yang telah bersara (misalnya, Ketua Hakim Negara). Ketua Penasihat secara efektifnya adalah Perdana Menteri Sementara dan penasihat-penasihat yang dilantik adalah menteri kabinet sementara. Ahli-ahli pasukan kerajaan sementera tidak mewakili mana-mana parti politik dan tidak boleh bertanding di dalam pilihan raya. Mekanisma ini dikenali sebagai “non-party caretaker government.” Tujuannya ialah supaya wujud suasana “berkecuali” yang membolehkan pilihan raya diadakan secara bebas, tidak dipengaruhi oleh “outgoing government.” Kerajaan sementara ini mesti mengadakan pilihanraya dalam tempoh 120 hari selepas pembubaran parlimen.
Namun, dalam tahun 2011, melalui keputusan parlimen, kerajaan Awami League pimpinan Perdana Meneteri Sheikh Hasina yang mempunyai dua pertiga majoriti, telah berjaya menghapuskan sistem “non-party caretaker government” lalu membuka jalan kepada parti yang memerintah meneruskan pemerintahan dalam status kerajaan sementara sehinggalah pilihanraya diadakan dan kerajaan baru ditubuhkan. Hal ini telah ditentang oleh parti-parti yang tidak memerintah dan rakyat Bangladesh kerana ia memberi ruang kepada “outgoing government” untuk mempengaruhi perjalanan pilihanraya sehingga ciri-ciri pilihanraya bebas terkorban. Ia juga membuka ruang untuk “outgoing government” menggunakan harta awam dalam berkempen, satu amalan yang cukup tidak adil kepada parti lawan. Penentangan gagal mengubah keadaan. Malah kerajaan BAL mahu pula mengharamkan parti Islam Bangladesh (Jamaat Islami Bangladesh), satu pencabulan nyata terhadap amalan demokrasi.
Bila kerajaan yang berkuasa dijatuhkan melalui undi tidak percaya di parlimen, maka kerajaan sementara akan mengambilalih pemerintahan sehingga kerajaan baru dibentuk. Bila sesebuah negara diperintah oleh kerajaan camporan (gandingan pelbagai parti), maka sekiranya terjadi kerajaan itu berpecah mengakibatkan tiada lagi kerajaan bersuara majoriti, kerajaan sementara perlu diwujudkan sehinggalah kerajaan camporan baru dibentuk. Inialah dua lagi keadaan yang melahirkan kerajaan sementara dalam negara demokrasi berparlimen.
Berlandaskan konvensyen (amalan yang lumrah), kuasa kerajaan sementara adalah terhad dan dalam kontek negara kita, perkara-perkara berikut perlu diperhatikan oleh “outgoing government” yang sekarang berstatus kerajaan sementara:
Pertama, kerajaan UBN hendaklah mengelakkan diri dari menggunakan sumber awam (public resources) di dalam kempen politik parti. Dalam tempoh kerjaan sementara, menteri-menteri dan ahli rombongan mereka tidak boleh menggunakan sumber dan harta awam (kerajaan) seperti kenderaan milik kerajaan (kereta, bas, kapal terbang dan sebagainya) semasa berkempen. Begitu jugalah penggunaan bangunan-bangunan kerajaan, alat media milik kerajaan dan penggunaan khidmat polis dan tentara untuk merisik maklumat dari pihak parti lawan untuk manfaat “outgoing government.” Malangnya, rekod menunjukkan pantang ini telah dilanggar secara rakus sekali oleh kerajaan sementara di Malaysia ini.
Kedua, wakil rakyat BN (dan yang lain-lain) tidak ada lagi hak ke atas apa juga pembayaran kewangan daripada kerajaan. Sebaik sahaja parlimen dan DUN dibubarkan, maka ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri tidak lagi berhak dibayar gaji, alaun dan membuat apa-apa jua tuntutan kewangan berkaitan dengan kempen pilihanraya dari kerajaan. UBN hendaklah menggunakan sumber sendiri, bukan wang pembayar cukai, untuk membiayai kos kempen pilihan raya. Ini juga telah dilanggar oleh kerajaan sementara UBN setiap kali ia menjadi kerajaan sementara.
Ketiga, kerajaan BN tidak boleh membuat apa-apa jua keputusan besar negara. Kerajaan sementara hendaklah mengelakkan diri dari membuat keputusan yang bersifat dasar atau membuat komitmen jangka panjang yang boleh memerangkap kerajaan baru (jika berlainan dari kerajaan yang ada) untuk mewarisinya walauapun komitmen ini merugi dan membebankan rakyat dan negara. Jangan juga membuat pengumuman polisi besar di saat akhir kerana ini memberi manfaat secara tidak adil kepada kerajaan UBN kerana ini adalah tindakan “vote buying.” Pengumuman oleh kerjaan mengenai kenaikan gaji penjawat awam dan anggota polis dan tentera baru-baru ini adalah contoh tindakan membeli undi yang tidak sepatutnya dibuat oleh kerajaan sementara.
Keempat, Kerajaan BN tidak boleh membuat perlantikan-perlantikan penting di dalam kerajaan. Dalam tempoh kerajaan sementara, kerajaan tidak boleh membuat perlantikan baru jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Kalau ada perlantikan baru, ia hendaklah ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya. Dalam keadaan terdesak, bolehlah melantik pemangku-pemangku jawatan
Kelima, Kerajaan UBN tidak boleh menandatangani kontrak-kontrak besar atau membuat apa-apa “undertaking.” Ini adalah kerana sekiranya berlaku perubahan kerajaan dari UBN kepada kerajaan Pakatan Rakyat, tidak adil bagi kerajaan baru dijebak dalam mewarisi kontrak-kontrak, komitmen dan “undertaking” yang pada penilaiannya merugikan rakyat dan negara.
Keenam, Kerajaan UBN tidak boleh membuat apa-apa perundingan antarabangsa atau lawatan ke luar negara. Setidak-tidaknya, kerajaan sementara hendaklah menunda rundingan antarabangsa sehingga selepas pilihanraya dan kerajaan pilihan rakyat yang baru dibentuk.
Ketujuh, Kerajaan UBN tidak boleh melibatkan perkhidmatan awam dan penjawat awam di dalam kempen pilihanraya. Dalam tempoh kerajaan sementara, perkhidmatan awam harus memgambil susuk “tidak memihak.” Tugas perkhidmatan awam dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat kepada seluruh ahli masyarakat, bukan berkhidmat untuk parti yang berkuasa. Oleh itu, penjawat awam jangan terlibat dalam kempen mana-mana parti politik. Rekod menunjukkan kerajaan sementara telah mendera kakitangan awam suapaya berkempen untuk UBN dan calon parti itu dalam pilihan raya. Badan-badan kerajaan seperti Felda, RISDA, JASA, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain kesemuanya digembeling oleh kerajaan sementara untuk manfaat mereka.
Kita difahamkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sudah menyediakan sebuah garispanduan untuk kerajaan sementara negeri itu berlandaskan konvesyen yang sudah diterima di dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Ini bertujuan menjamin pilihanraya yang bebas dan adil. Rakyat Negeri Sembilan mengharapkan agar kerajaan sementara di bawah pimpin YAB Menteri besar akan menunjukkan keperihatinan yang tinggi dalam mematuhi pantang larang sebuah kerajaan sementara demi membedaya dan menyuburkan amalan demokrasi. Kerajaan sementara yang melanggar undang-undang negara dan negeri adalah juga kerajaan yang anarki, iaitu, kerajaan yang memerintah mengikut suka hati. Kamu mungkin terlepas dari pengadilan mahkamah dunia tetapi tidak mahkamah Rabbul Jalil.
No comments:
Post a Comment