Tak manis tolak hadiah mahal kata Rosmah


Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menjelaskan bahawa beliau kelihatan mewah kerana memakai perhiasan yang dihadiahkan oleh para tetamunya, demi menjaga hati individu berkenaan.
Katanya, tidak manis sekiranya pemberian mahal ditolak, dan ia menjadi pembaziran sekiranya barang kemas tersebut, termasuk cincin, jam dan perhiasan diri itu disimpan dalam peti besi.

"Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan berasa kecil hati," katanya.

Rosmah dalam buku biografinya terbitan Yayasan Amanah Perdana itu juga mendakwa tidak mahu bermegah-megah dengan pemberian tersebut.

"Takkanlah saya mahu menghebohkan kepada semua orang bahawa orang itu beri saya jam, orang itu beri saya beg tangan dan sebagainya. Itu sudah riak namanya, seperti mahu menunjuk-nunjuk," katanya.

Jelasnya, sebagai isteri perdana menteri mahu kelihatan kemas dan terhias apabila mengenakan perhiasan berkenaan, yang turut melibatkan barangan yang dibelinya sendiri.

"Saya tidak mahu kelihatan selekeh kerana apabila saya selekeh akhirnya saya dikritik," tambahnya yang bimbang akan diejek apabila masyarakat melihat penampilannya seperti itu.

Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata cincin kontroversi berharga RM24 juta yang dibawa masuk ke negara ini pada April 2011 untuk dilihat bakal bisannya Maira Nazarbayev, dikembalikan kepada syarikat penjual barang kemas itu setahun kemudian.

Katanya, cincin itu sampai ke Malaysia pada 16 April 2011 dengan satu penerbangan dari New York, dan dikembalikan semula ke ibu pejabat syarikat tersebut pada 13 Mei 2012.

"Kisah saya membeli cincin berlian berharga RM24 juta itu adalah tidak benar sama sekali. Ia adalah fitnah.

"Saya berani bersumpah, cincin itu tidak ada di tangan saya," katanya dalam tulisan berbentuk soal jawab dalam buku biografinya yang dilancarkan hari ini.

Buku biografi Rosmah berharga RM150 terbitan Yayasan Amanah Perdana itu ditulis oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak.

No comments:

Post a Comment