Apa tindakan awal kepada pencetus huru-hara soal Mahfuz

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoal keengganan kerajaan mengambil tindakan awal terhadap pihak yang didakwa akan menimbulkan huru-hara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, jika benar dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau mempunyai dokumen mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menggagalkan PRU13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda, siasatan segera harus dilakukan.

"Saya cukup hairan apabila timbalan perdana menteri dakwa Pakatan akan usaha timbulkan huru-hara untuk gagalkan PRU, tak masuk akal (kerana) kita nak ke Putrajaya.

"Tapi dia kata dia ada dokumen, begitu juga (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) kata ganggun pada ceramah akan bertambah dan ketua Suruhanjaya Pilihan Raya kata ada (kumpulan) ajaran sesat akan buat kacau masa hari mengundi.

"Saya hairan jika ada dokumen, ada maklumat tentang gangguan berlaku kenapa tak boleh bertindak dari awal untuk halang daripada berlaku?" katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Mahfuz juga menyelar kenyataan Hishammuddin itu kerana katanya ceramah dan program Pakatan Rakyat yang selalu diganggu sedangkan Pakatan tidak pernah mengganggu program Umno BN.

"Menteri Dalam Negeri perlu sedar dia menteri yang jaga keselamatan dia tak boleh kata bakal berlaku (sedangkan) dia dah tengok berapa banyak ceramah Pakatan yang diganggu pihak yg ditaja BN, saya berani cakap sebab mereka berani dan polis tidak ambil tindakan," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

No comments:

Post a Comment