Selangor sumbang RM40,000 kepada wira negara
Kerajaan Selangor pada 27 Mac menyumbang sebanyak RM40,000 melalui Tabung Wira Rakyat Selangor kepada dua keluarga wira negara yang terkorban sewaktu bertugas di Lahad Datu baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali.
Sumbangan setiap anggota mangsa sebanyak RM20,000 masing-masing disampaikan kepada ibu bapa mereka di di perumahan Desa Darulnaim ll Pasir Tumbuh dan Kampung Bayu Lalang, Meranti, Pasir Mas.
Dr Halimah turut diiringi tiga orang pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.
Turut mengiringi rombongan kerajaan Selangor itu, anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar dan timbalannya Rohani Ibrahim.
Hadir sama, bekas anggota Dewan Negara, Mumtaz Md Nawi dan lain-lain pimpinan muslimat Kubang Kerian dan Pasir Mas.
Di Pasir Tumboh, sumbangan diberikan kepada ibu bapa allahyarham Koperal Ahmad Farhan, Rusilawati Ghani, 44 dan Roslan Hussan.
Menurut Halimah, kerajaan Selangor begitu simpati terhadap nasib yang dilalui kedua mangsa yang meninggal dunia ketika mempertahankan negara.
“Allahyarham Farhan walaupun meninggal dunia bukan kerana ditembak, tetapi tugasnya membawa bekalan kepada anggota tentera kita.
“Keduanya mempunyai tugasnya murni dan kita berdoa semoga Allah menempatkan mereka di kalangan golongan syuhada,” ujarnya.
Di Pasir Mas, Dr Halimah menyerahkan cek kepada ibu bapa allahyarham Ahmad Hurairah, Rahmah Mamat, 50 dan Ismail Hussin, 55.
Ahmad Hurairah terkorban pada 12 Mac lalu setelah ditembak oleh pengganas di Lahad Datu kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketika menyerahkan cek tersebut, Dr Halimah turut membaca surat rasmi yang dikirim Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Isi surat tersebut antara lain menyatakan sumbangan allahyarham cukup besar dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Pengorbanan allahyarham sewajarnya ditulis dengan tinta emas kerana mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi.
Sewajarnya pengorbanan allahyarham menjadi teladan bagi semua rakyat di negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment