Krisis Air Pahang Semakin Meruncing
Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.
Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Huzir Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, ujarnya tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
“Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan beliau berhubung masalah tersebut.
Selepas Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Andansura Rabu melahirkan kekecewaan beliau terhadap kegagalan pengurusan air di negeri itu pada bulan Ogos tahun lalu akibat kekerapan gangguan bekalan air setiap kali tibanya Ramadhan dan Syawal, 80 NGO dari seluruh negara yang berpayung di bawah Solidariti Hijau dan dipimpin oleh Zulkefly Mohamad Omar bersama-sama kepimpinan PAS negeri menyerahkan pula memorandum kepada Menteri Besar Pahang pada bulan Disember tahun lalu menuntut satu reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (P.A.I.P) walaupun telah diswastakan beberapa tahun yang lalu.
Beberapa siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang 2 tahun yang lalu telah pun disenaraikan di dalam memorandum yang diserahkan itu termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk Kuantan dari operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.
Selepas penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini akibat kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap pecah di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika sambutan perayaan, penulis dikejutkan dengan rungutan beberapa penduduk dari Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan semalam yang mengeluh dengan kekerapan gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan selama beberapa minggu ini lebih-lebih lagi selepas Lynas memulakan operasinya.
Lebih 100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka secara terbuka kepada P.A.I.P petang semalam di Bukit Pelindung Kuantan, menuntut P.A.I.P untuk mengambil tindakan segera memastikan bekalan air yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh 2 minggu dari sekarang sebelum satu tindakan susulan diambil terhadap P.A.I.P.
Malah mereka juga menuntut penjelasan P.A.I.P sama ada gangguan bekalan air yang sedang berlaku mempunyai kaitan secara langsung dengan penggunaan bekalan air yang tinggi dari kilang Lynas sehingga bekalan air dilihat seolah-olah dicatu oleh P.A.I.P untuk memastikan bekalan air yang mencukupi disalurkan kepada kilang itu.
Penduduk juga tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai beberapa andaian punca gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian dari mereka masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakah masalah gangguan bekalan air ini akan dapat diselesaikan?
Penulis selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS negeri ingin mendesak maklum balas segera dari pihak Kerajaan Negeri Pahang dan P.A.I.P terhadap memorandum yang diserahkan pada bulan Disember tahun lalu kerana sehingga hari ini, tiada satu pun maklum balas yang diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS Negeri seolah-olah ia dibakulsampahkan oleh mereka walaupun cadangan penambahbaikan yang telah banyak disenaraikan dalam memorandum itu adalah untuk kebaikan seluruh rakyat di negeri ini.
Mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment