Kit Siang Ahli Politik 'touch n go' Selar Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempersenda keputusan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah, Johor dalam pilihan raya umum ke-13.
Katanya, jika dilihat rekod Lim, beliau tidak pernah mewakili mana-mana kawasan untuk tempoh penggal yang lama.
"Jika kita mahu mengatakannya secara sopan, beliau adalah ahli politik 'hit n go'. Jika kita mahu mengatakannya secara kasar, beliau adalah seorang ahli politik 'touch n go'," kata Chua dalam satu kenyataan hari ini.
Chua berkata, Lim tidak pernah berbuat apa-apa untuk pengundinya dan hanya mengutamakan kepentingan parti.
"Berkhidmat kepada rakyat tidak pernah dalam kamus Lim Kit Siang," kata Chua.
Chua berkata, wakil rakyat sepatutnya menjadikan pengundi sebagai keutamaan nombor satu mereka dan pengundi harus menolak ahli politik "touch n go".
Lim menjadi ahli Parlimen Bandar Melaka (1969-1974), Kota Melaka (1974-1978), Petaling Jaya (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999) dan Ipoh Timur (sejak 2004).
Cina lwn Cina
Beliau tidak menjadi ahli Parlimen antara tahun 1999 dan 2004 selepas gagal memenangi kerusi Bukit Bendera.
Keputusan Lim untuk bertanding di Gelang Patah, yang merupakan kubu tradisi MCA, adalah sebahagian daripada strategi Pakatan Rakyat untuk menembusi Johor.
Chua, yang seperti Lim berasal dari Johor, berkata strategi DAP di Johor adalah untuk menghapuskan MCA kerana ia tahu Pakatan tidak akan dapat menggugat pemerintahan BN di negeri itu.
Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya berniat untuk melaga-laga sesama kaum Cina untuk menyingkirkan MCA.
"Seandainya ini menjadi kenyataan, maka kebimbangan saya bahawa sistem dua parti menjadi sistem dua kaum, mungkin menjadi kenyataan kerana Umno semakin kuat dalam kerajaan dan DAP mendapat lebih banyak kerusi sebagai pembangkang," tambahnya.
Beliau berkata, akhirnya yang paling rugi adalah kaum Cina kerana dipergunakan menjadi alat DAP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment