Jangan jadikan mahasiswa bahan ujian

Pertama sekali penulis ingin mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana isu pembekuan pinjaman PTPTN kepada mahasiswa tahun pertama Universiti Selangor (Unisel) dapat diselesaikan dengan cara baik yang mana pembekuan itu telah ditarik balik oleh pihak PTPTN setelah perbincangan dilakukan antara Naib Canselor Unisel bersama Ketua Eksekutif PTPTN Agus Cholan.

Malah, mahasiswa Unisel juga telah dibenarkan untuk mengemukakan permohonan pinjaman mereka secara online di laman web PTPTN.

Daripada kemelut yang menjadi isu besar di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini dapat penulis rangkumkan bahawa kemelut ini lebih bermotifkan kepada nilai status politik dan juga serangan psikologi menjelang PRU13. Mengapa?

Pelbagai persoalan yang boleh kita bangkitkan dalam isu ini.

Pertamanya, boleh dikatakan bahawa Umno/Barisan Nasional boleh dikatakan terkesan dengan cadangan Pakatan Rakyat (PR) dalam menawarkan pendidikan tinggi percuma di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan juga pemberian elaun RM5,000 kepada setiap mahasiswa universiti.

Hal ini dikuatkan lagi dengan perdebatan isu PTPTN yang diadakan baru-baru ini, melibatkan oleh saudara Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR dan juga Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno.

Kedua, Umno/Barisan Nasional cuba 'test market’ atau menguji kemampuan kerajaan negeri di bawah pemerintahan PR, supaya memberikan pendidikan percuma yang war-warkan sebelum ini.

Hal ini disebabkan, bagi pandangan mereka (Umno/BN) pendidikan tinggi percuma perlulah dilaksanakan terlebih dahulu institusi-institusi pendidikan tinggi di bawah naungan kerajaan PR sebelum PR bercita-cita menawan Kerajaan Pusat di Putrajaya.

Ketiga, kemungkinan besar imej Umno/Barisan Nasional pada waktu ini semakin merudum terutama dalam kalangan anak muda disebabkan isu tarian K-Pop yang diadakan di Himpuan Sejuta Belia di Putrajaya, dan juga kejayaan PR khususnya Pas dalam mengadakan Himpunan Hujau di Stadium Darul Aman baru-baru ini, terutama kejayaan Pas dalam menarik golongan anak muda.

Persoalan-persoalan ini bolehlah disandarkan kepada rentetan mengapakah berlakunya isu pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa Unisel baru-baru ini.

Seperti penulis tekankan sebelum ini ia lebih bermotifkan kepada nilai status politik dan juga serangan psikologi.

Ditambah lagi, penulis juga amat tidak bersetuju sekiranya kemudahan pinjaman ini disekat kepada mana-mana pelajar, terutama mahasiswa Unisel dek kerana IPTS berkenaan di bawah kawal seli kerajaan negeri Selangor, dalam erti kata mudahnya wujud sentimen perbezaan politik dalam hal ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat mahupun PTPTN dalam memberikan kemudahan pinjaman, biasiswa, atau dalam apa bentuk bantuan cara sekali pun kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA/S seluruh Malaysia, dengan syarat selagi kerajaan persekutuan yang masih ada sekarang tidak berubah tampuk pemerintahan.

Sekiranya berlaku perubahan tampuk pemerintahan kelak, menjadi tanggungjawab kerajaan yang baru dalam melaksanakan polisi bantuan kewangan kepada pelajar, adakah ingin memberi pendidikan tinggi secara percuma atau pun mengekalkan kemudahan pinjaman seperti yang sedia ada.

Selain itu, tindakan yang diambil (pembekuan pinjaman) ini boleh dikatakan sebagai tindakan keanak-anakan.

Penulis boleh membayangkan bahawa tindakan PTPTN ini tidak sepatutnya berlaku, walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah sebagai alternatif dan memberi peluang kepada kerajaan yang diperintah oleh PR untuk melaksanakan polisi pendidikan tinggi percuma yang di nyatakan selama ini.

Jika benar PTPTN ingin memberi peluang kepada kerajaan PR untuk melaksanakan polisi ini sekali pun, mengapa tidak dibincangkan terlebih dahulu, dan mengapa perlu mengambil pendekatan secara drastik sehinggakan masyarakat mahupun mahasiswa terpinga-pinga dengan isu pembekuan pinjaman ini.

Oleh itu, penulis ingin tegaskan kepada pihak yang berkenaan jangan jadikan mahasiswa sebagai bahan eksperimen dalam meraih sokongan.

Jika ilmu, pendidikan, modal insan dijadikan bahan perjudian, maka tindakan ini lama kelamaan memberi kesan buruk kepada masa hadapan negara. Malah, matlamat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, berkualiti tidak akan tercapai dan menjadi sia - sia belaka.

No comments:

Post a Comment