Utusan Malaysia hari ini membuat spekulasi bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan bertanding kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya diberitahu oleh orang-orang dalaman PAS, Nik Aziz kali ini mahu bertanding di Parlimen pula," tulis pengarang kanan Utusan Zaini Hassan dalam kolumnya Cuit (bawah).
Zaini mendakwa mursyidul am PAS itu mengambil keputusan ke Parlimen kerana "rakyat Kelantan akan membuat perubahan" jika beliau masih kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Zaini seterusnya meramalkan tempat Nik Aziz selaku menteri besar akan diganti ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Menurutnya, Kamaruddin akan bertukar kerusi dengan timbalan menteri besar merangkap ahli DUN Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yaakob.
Zaini mendakwa Kamaruddin akan bertanding di DUN Pasir Pekan manakala Yaakob pula akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat.
Dakwanya lagi, percaturan itu merupakan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan pengaruh PKR yang semakin goyah di Selangor dan Pulau Pinang.
"Adakah jika KJ (Kamaruddin) menjadi MB Kelantan kelak, maka akan mudah PKR dapat bertapak di bumi Kelantan selepas ada tanda-tanda jelas akan kehancuran pertahanan PKR di bumi Selangor dan Pulau Pinang," tulisnya.
No comments:
Post a Comment