Timbalan CEO MAS letak jawatan

Mohammed Rashdan Mohd Yusof meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Airline System Bhd (MAS) berkuat kuasa 1 Julai, atas sebab-sebab peribadi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata Rashdan, 41, akan kekal dalam anggota lembaga pengarah MAS hingga 30 Jun ini bagi memastikan penyerahan dan kesinambungan perniagaan yang lancar dan sempurna.

Rashdan, yang popular dengan panggilan Danny dalam kalangan rakannya dan industri penerbangan, juga meletak jawatan sebagai Pengarah Eksekutif MAS, katanya.

"Lembaga pengarah mengucapkan terima kasih kepada Rashdan atas sumbangan bermakna beliau terhadap MAS pada masa kritikal dan semoga maju jaya dalam perancangan baharunya," katanya.

Rashdan menguasai 1.20 juta (0.036 peratus) saham dalam MAS. Beliau pertama kali dilantik pada 15 Oktober 2010 sebagai calon pengarah dari Khazanah Nasional Bhd, dan seterusnya sebagai Pengarah Eksekutif pada 9 Ogos lalu berikutan pelaksanaan Kerangka Kerja Kerjasama Menyeluruh (CCF).

Pada masa itu, Rashdan dipinjamkan kepada Khazanah, dan mengetuai pasukan penerbangan Bahagian Pelaburan Khazanah, yang melaksanakan CCF. Beliau dipindahkan dari Khazanah ke MAS, dan mengambil alih kedudukan pengurusan sepenuh masa sebagai Timbalan CEO pada 1 Oktober 2011.

"Sebagai timbalan ketua, Rashdan memain peranan penting dalam merangka formula yang pelan perniagaan semasa syarikat penerbangan negara yang diluluskan oleh lembaga pengarah dan diumumkan pada Disember 2011. "Beliau membantu CEO Kumpulan melaksanakan pelan strategik itu, penamatan laluan yang mencatat kerugian besar, selain unit perniagaan jet kos rendah," kata MAS.

Menerusi pelan perniagaan itu, Rashdan ditugaskan mengetuai operasi jarak dekat MAS dan mencadangkan syarikat premium serantau yang baharu, manakala CEO, Ahmad Jauhari Yahya, memantau operasi jarak jauh.

Bagaimanapun pelan mewujudkan syarikat penerbangan serantau dibatalkan, dan dikekalkan sebagai bahagian dalaman dalam MAS.

Baru-baru ini, Rashdan meneraju pasukan khas untuk melaksanakan pelan pembiayaan bagi mengumpul RM9 bilion untuk mewujudkan semula asas baharu dalam lembaran imbangan syarikat penerbangan dalam usaha pemulihannya.

No comments:

Post a Comment