Ahli politik BN dan Pakatan bersemuka di Debatkini

Buat pertamakalinya, Malaysiakini akan menganjurkan majlis yang membariskan empat ahli politik dari BN dan Pakatan Rakyat untuk berdebat mengenai isu-isu hangat yang mendepani negara ini.

Debat tersebut, yang akan diadakan Selasa ini dan bertajuk 'Is Malaysian democracy moving forward?' (adakah demokrasi Malaysia maju ke depan?) akan menyaksikan dua wakil, masing-masing daripada BN dan pembangkang.

Para pendebat ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (Umno), Gan Ping Sieu (MCA), Mujahid Yusof Rawa (PAS) dan R Sivarasa (PKR).

Ia akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan pendaftaran untuk menghadiri majlis tersebut bermula jam 7.30 malam.

Sesi 90 minit akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Chandran berkata selepas mempelopori industri berita dalam talian sejak 13 tahun lalu, kini tiba masanya bagi lamanweb itu untuk menganjurkan forum awam bagi menggalakkan pertukaran idea yang boleh bertindak sebagai pemangkin kepada proses pendemokrasian Malaysia.

Politik, tegasnya, tidak seharusnya sentiasa mengenai konfrontasi, tetapi sebaliknya, dialog intelektual antara parti-parti politik, diperlukan bagi mengelak polarisasi dan untuk memfokuskan kepada polisi.

Sejak beberapa bulan lepas, Malaysiakini telah menganjurkan siri debat dalam bahasa Cina di seluruh negara, tetapi ini adalah kali pertama debat dalam Bahasa Inggeris diadakan. Debat dalam Bahasa Melayu juga sedang dirancang.

No comments:

Post a Comment