“Perpecahan yang melanda PKR Selangor dilihat semakin serius sehingga ada di antara mereka yang meletak jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri itu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, ini menunjukkan parti itu dilanda masalah sehingga ada di antara mereka bertindak untuk keluar.
“Perbalahan mereka semakin serius, siapa yang menjadi punca biarlah masing-masing tentukan, secara zahirnya bermacam-macam andaian yang timbul.
“Saya yakin rakyat pada masa sekarang semakin bijak menilai kelangsungan sesebuah parti dalam usaha untuk dijadikan parti pemerintah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Bila ditanya sama ada ia akan beri ruang kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno merampas Selangor, Najib berkata, sememangnya ia menjadi usaha BN dan Umno merampas semula negeri tersebut.
“Tumpuan kita bukan hanya di Selangor tetapi di seluruh negara.
Saya yakin rakyat pandai menilai dan buat pilihan terbaik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pilihan raya pada musim haji, Najib berkata, tidak ada halangan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan pada masa itu.
“Kita pernah ada pilihan raya pada musim haji dan ia tidak beri halangan kepada rakyat untuk menunaikan haji, perkara ini tidak seharusnya menjadi isu.
“Menunaikan haji itu adalah wajib dan ia wajar diteruskan. Kita juga tidak terikat dengan desakan oleh Pas atau mana-mana pemimpin bagi menentukan bila untuk mengadakan pilihan raya” katanya.
No comments:
Post a Comment