30% calon PRU13 harus dari wanita kata UMNO Johor

Wanita Umno Johor meminta pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat supaya memperuntuk 30 peratus daripada calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di negeri ini kepada pergerakan itu.

Ketuanya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pergerakan itu memiliki ramai calon-calon boleh menang yang mampu membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang itu.

"Kita berharap 30 peratus daripada calon-calon Umno yang akan bertanding di Johor sama ada kerusi negeri atau Parlimen pada pilihan raya kali ini akan datang daripada Pergerakan Wanita Umno," katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang dan bekas anggota Dewan Negara itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan petang bersama ketua-ketua Wanita daripada parti-parti komponen BN Johor baru-baru ini.

Ditanya mengenai kedudukannya sendiri pada pilihan raya umum akan datang ini, Sharifah Azizah berkata, beliau menyerahkan kedudukannya kepada Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno.

"Saya serahkan segala-galanya kepada pucuk pimpinan parti di Johor dan pusat. Saya tidak kisah jika diletakkan di mana-mana pun (kerusi)," kata beliau.

Mengenai persediaan Wanita Umno dan BN Johor dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka paling sengit dalam sejarah, beliau berkata mereka telah bekerja keras menemui seberapa ramai rakyat menerusi pelbagai program.

"Kita mempunyai banyak program yang memberikan kita peluang bukan sahaja untuk mendekati rakyat di kesemua peringkat, tetapi juga kita berusaha keras untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan yang mereka hadapi," katanya.

Katanya kerjasama di antara Wanita Umno Johor dan pergerakan wanita daripada parti-parti komponen BN yang lain berada di tahap terbaik dengan masing-masing komited untuk memastikan calon BN menang di Johor.

"Wanita UMNO Johor dan BN komited memastikan Johor terus kekal sebagai kubu kuat dan simpanan tetap untuk BN pada pilihan raya akan datang," kata Sharifah Azizah.

No comments:

Post a Comment