Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Perdana Menteri yang mempersoal ketiadaan kabinet bayangan dari Pakatan Rakyat.
Sedangkan kata Anwar, Datuk Seri Najib Razak sendiri belum mengumumkan siapa Menteri Kewangan jika BN menang dalam pilihan raya umum ke-13.
Najib juga katanya tidak mengumumkan siapa Menteri Besar Selangor jika BN berjaya merampas kembali negeri tersebut.
"Masalah kabinet bayangan, Datuk Seri Najib umum siapa Menteri Besar Selangor? Dia umum siapa Menteri Kewangan lepas dia menang? Tak ada...," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.
Ahli parlimen Permatang Pauh itu juga menjelaskan, kabinet bayangan hanya diamalkan di United Kingdom dan Australia.
"Kabinet bayangan hanyalah amalan di United kingdom, di Australia, tidak di Perancis, di Amerika, tidak di Indonesia, Thailand," katanya.
Namun katanya, Pakatan Rakyat sudah menyediakan senarai nama pimpinan kanan sebagai persediaan jika mengambil alih Putrajaya nanti.
"Siapa dia yang bakal menjadi menteri dan timbalan menteri, itu senarai pimpinan kanan kalau kita menanglah. Kalau kalah tak bolehlah.
"Ada yang ditugaskan seorang daripada setiap parti dalam pakatan Rakyat ditugaskan untuk setiap sektor," katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, demokrasi di Malaysia belum cukup matang untuk mengamalkan kabinet bayangan.
"Kabinet bayangan akan sampai ke satu tahap apabila demokrasi itu cukup matang. Malaysia baru nak masuk gear satu. Bila negara mencapai demokrasi, baru kabinet bayangan perlu.
"Jadi kalau kami diherdik kerana tidak mengeluarkan kabinet bayangan itu maksudnya mereka tak faham," katanya.
Sebelum ini, Najib berkata, Pakatan Rakyat tidak layak bercakap mengenai hasrat untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan sedangkan mereka masih belum bersedia dengan kabinet bayangan.
No comments:
Post a Comment