Nasha ingin timbulkan masalah dalam Pakatan kata Khalid Samad


PAS melihat kenyataan-kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa terhadap DAP sebagai satu cubaan untuk menimbulkan masalah dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan kenyataan-kenyataan Nasha seolah-olah mempunyai agenda politik tertentu yang menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan cuba mewujudkan ketegangan dalam PR.

"Kebelakangan ini hubungan beliau (Nasha) dengan PAS tidak serapat dengan kerajaan BN.

"Kenyataan dikeluarkan jelas bertujuan untuk menguntungkan BN dan wujudkan ketegangan antara parti PR walaupun dikeluarkan tanpa bukti," kata Khalid (gambar) kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Nasha semalam adalah DAP cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian apabila mendakwa parti komponen PR itu pernah menganjurkan majlis dan berdoa untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian selepas DAP memenangi 12 kerusi di Sarawak tahun lalu.

Khalid turut menegaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nasha dalam pertemuan dengan Majlis Syura Ulama sebelum ini.

"Saya yakin jika dia ada bukti dan kemuka kepada PAS dan DAP, tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang terbabit akan diambil.

"Kenyataan Nasha amat menghairankan saya.

"Saya cukup pelik kenapa DAP sentiasa jadi sasaran Nasha, sedangkan (Dr) Chua Soi Lek turut keluarkan kenyataan Hudud dan Islam lebih teruk dari Karpal (Singh)."

Malah, Khalid turut menjelaskan kenyataan Nasha itu tidak berasas kerana DAP bukan parti Kristian, sebaliknya parti demokratik yang mempunyai keahlian berbilang kaum.

"DAP bukan parti Kristian, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Teng Chang Kim, semua bukan Kristian.

"Ia parti berbilang kaum dan agama ... dalam Perlembagaan juga DAP tiada sebut dasar perjuangan DAP memperjuangkan agama Kristian," katanya.

Khalid juga turut menegaskan kenyataan Nasha itu adalah atas tanggungjawabnya sendiri dan tiada kena mengena dengan PAS.

"Ia kenyataan yang tiada kena mengena dengan PAS.

"PAS ada Majlis Syura Ulama, setiap keputusan dibuat oleh majlis syura, bukan individu," katanya lagi apabila ditanya sama ada Nasha akan dikenakan tindakan ekoran kenyataannya itu.

No comments:

Post a Comment