Shahrizat salahkan media kerana putar belit fakta dalam isu NFC


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyalahkan The Malaysian Insider dan Malaysiakini kerana memutarbelitkan fakta tentang laporan Ketua Audit Negara yang mengatakan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) dalam keadaan huru-hara dalam keterangannya di mahkamah hari ini.

Laporan pada 2010 oleh Ketua Audit Negara berkata NFCorp tidak memenuhi apa yang disasarkan oleh kerajaan, tetapi laporan tentang wang rakyat bernilai RM250 juta untuk projek ternakan itu dikatakan "huru hara" dimulakan oleh artikel akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Terma itu kemudian digunakan oleh media lain untuk menerangkan tentang NFCorp selepas PKR terus membongkar projek yang telah disalahgunakan itu.

Syarikat itu telah dibekukan selepas penyiasatan telah dilakukan oleh polis dan suruhanjaya anti rasuah selepas pembongkaran tersebut.

Semasa sesi soal balas mengenai kes fitnah terhadap ketua wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan Rafizi Ramli hari ini, peguam Ranjit Singh bertanya kepada Shahrizat (gambar) jika beliau merasa malu dengan kenyataan kedua media pada 24 Oktober 2011 tentang laporan ketua audit negara tersebut.

"Saya rasa mereka memutarbelitkan kenyataan Ketua Audit Negara, dan saya rasa penting untuk mereka membetulkan perkara tersebut," katanya lagi.

Ranjit kemudian berkata bahawa Shahrizat tidak menjawab soalan tentang apakah beliau merasa malu dengan laporan berita itu.

"Pada mulanya saya tidak merasa malu tetapi lama kelamaan saya merasa malu," katanya lagi.

Ranjit juga bertanya ketua wanita Umno bersetuju tentang laporan Malaysiakini yang mengatakan NFCorp adalah syarikat gagal.

"Itu adalah andaian mereka sahaja," katanya lagi.

Shahrizat, isteri kepada pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, telah dikaitkan dengan skandal oleh PKR kerana kedudukan suaminya, dan tiga orang anaknya yang menjadi pengarah di syarikat yang sama.

Mohamad Salleh telah didakwa dengan jenayah pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat dengan RM49 juta dana dari wang rakyat diberikan kepada NFCorp pada 12 Mac.

Beliau didakwa di bawah kanun keseksaan kerana menyalahgunakan wang bernilai RM9,758,140 dari dana NFCorp untuk membeli dua unit kondominium di One Menerung di Bangsar untuk Perbadanan Daging dan Ternakan Nasional (NMLC) pada 1 Disember dan 4 Disember 2009.

Beliau juga didakwa menyalurkan wang berjumlah RM40 juta dari dana NFCorp ke NMLC dari 6 Mei hingga 16 November, 2009.

Beliau juga didakwa atas dua kes yang menggunakan dana tanpa mesyuarat dari mesyuarat tahunan, yang menjadi kesalahan di bawah akta Syarikat.

Jika didapati bersalah, beliau dihukum penjara dua hingga 20 tahun, rotan atau denda mengikut kanun keseksaan.

Mohamad Salleh juga menghadapi hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000 jika bersalah di bawah Akta Syarikat.

Kes fitnah Shahrizat-Rafizi dan Zuraidah bersambung pada Isnin jam 9 pagi.

No comments:

Post a Comment