Speaker larang ahli PAC keluar kenyataan sebelum tamat pembentangan

Parlimen hari ini meminta Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga tamat pembentangan dalam Dewan Rakyat.

Dalam surat yang dihantar kepada media, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, undang-undang ini dibuat untuk melindungi "hak dan keistimewaan" Majlis Mesyuarat.

Beliau (gambar) merujuk kepada Peraturan 85 dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, dengan berkata "menyatakan larangan bagi mana-mana pihak untuk menyiarkan keterangan yang diberikan di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum penyata mengenai perkara dalam siasatan sesuatu Jawatankuasa itu dibentangkan kepada majlis mesyuarat".

Beliau berkata PAC merupakan "lanjutan dari Dewan Rakyat dan fungsi sebenar adalah mewakili majlis mesyuarat.

"Adalah keistimewaan dan hak majlis mesyuarat untuk diberitahu dahulu tentang dapatan mana-mana jawatankuasa. Maka, jika keterangan didedahkan kepada mana-mana pihak, ini akan menghakis hak dan keistimewaan majlis mesyuarat.

“….bagi melindungi kepentingan dan hak majlis, saya berpendapat ahli jawatankuasa khas harus tidak mendedahkan apa-apa keterangan atau perbincangan mengenai perkara-perkara yang disiasat atau dibentangkan oleh Jawatankuasa kepada pihak lain termasuklah dalam bentuk Kenyataan atau Siaran Media atau mengadakan Persidangan Media sebelum penyata Jawatankuasa selesai dibentangkan di dalam majlis mesyuarat," katanya dalam surat tersebut.

Menurut beliau, tindakan pencegahan akan diambil kepada mana-mana pihak yang engkar atau tidak mematuhi kehendak Peraturan 85 untuk mengelakkan sebarang manipulasi atau dieksploitasikan keterangan untuk kepentingan pihak tertentu.

Surat tersebut bertarikh 27 Jun, 2012 dan terdapat surat yang ditulis tangan bertarikh 2 Oktober dialamatkan kepada anggota PAC.

No comments:

Post a Comment