Siapa bakal MB dan kabinet bayangan BN?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengamalkan apa yang beliau katakan dan jangan berat sebelah dengan mengarahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor untuk membentangkan Exco bayangan sekiranya BN bersungguh mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.

“BN sebenarnya lebih teruk daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana BN bukan sahaja tidak mempunyai kabinet bayangan untuk negeri-negeri PR tetapi juga tidak melantik calon Menteri Besar di Selangor, Kelantan dan Kedah,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sungguhpun BN berbohong bahawa PR tiada bakal Perdana Menteri, PR telah pun bersepakat dan bersetuju bahawa Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PR juga, ujarnya telah menggunakan pendekatan unik untuk kabinet bayangan dengan melantik 3 orang daripada setiap parti PR (PAS, DAP dan PKR) bagi setiap portfolio kementerian.

Ini, jelasnya menunjukkan yang pemimpin PR bukan gilakan kuasa tetapi dahagakan dasar yang bermanfaat buat rakyat.

Menruutnya lagi, itu adalah budaya politik baru oleh PR dengan dasar berkesan berpaksikan rakyat berbeza dengan dasar memuja tokoh BN yang mengkayakan kroni.

“DAP sesungguhnya tidak bersetuju bahawa penghapusan tol akan menyebabkan kejatuhan Bursa Malaysia kerana kebanyakkan pemegang konsesi adalah syarikat tersenarai awam,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sekali lagi, kata beliau Najib telah mendedahkan secara bawah sedar bahawa beliau lebih bimbangkan tentang nasib sebahagian kecil syarikat tersenarai awam berbanding mata pencarian 28 juta rakyat Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri mengancam bahawa penghapusan tol seperti Lebuh raya Utara-Selatan akan menyebabkan kejatuhan bursa adalah salah sama sekali.

“Bagaimanakah Bursa mampu jatuh apabila Plus telah pun diambil swasta tahun lepas dan tidak tersenarai pun di dalam Bursa Malaysia?” tanya beliau.

Baginya, jelas ancaman sedemikian bukan sahaja mengarut tetapi juga tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ia datang daripada seorang Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment