Empat AJK Bersih diganggu Imigresen ketika keluar negara September lalu
Empat ahli jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diganggu oleh pegawai Imigresen sepanjang bulan September lalu ketika mahu keluar negara secara berasingan, kata Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar).
“Dr Wong Chin Huat, Andrew Khoo, Yeoh Yang Poh dan Maria Chin Abdullah kesemuanya ditahan oleh pegawai Imigresen ketika mahu keluar negara secara berasingan dan terpaksa menyelesaikan urusan imigresen secara manual berbanding orang ramai yang boleh menggunakan lorong automatik.
“Apabila ditahan pegawai Imigresen diberi amaran bahawa mereka berada dalam pemerhatian polis sebelum dilepaskan.
“Saya akan lihat sama ada saya akan melalui pengalaman sama apabila keluar negara minggu hadapan.
“Ini merupakan satu cara gangguan terbaru kerajaan Malaysia terhadap perjuangan untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil,” kata Ambiga dalam satu sidang media Bersih 2.0 pagi ini.
Maria yang ditemui mengatakan beliau tidak pernah mengalami gangguan apabila keluar negara sebelum ini.
“Ini adalah pertama kali saya diganggu sebegini.
“Ini adalah tindakan terdesak untuk melemahkan semangat kami untuk terus memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil,” katanya.
Bersih akan menganjurkan konsert 8T (lapan tuntutan) pada 13 Oktober, hari Sabtu, bermula jam 6.00 petang di Stadium Kelana Jaya.
Menurut Ambiga, konsert ini dianjurkan bagi mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang lapan tuntutan gabungan 82 NGO tersebut selain memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan pilihan raya bersih.
“Bersih masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai perhimpunan 3 November anjuran Pakatan Rakyat (PR) di Stadium Bukit Jalil bagi menuntut pilihan raya bersih.
“Akan tetapi ahli-ahli Bersih bebas untuk menyertai perhimpunan tersebut secara peribadi.
“Saya seru parti-parti lain termasuk dari Barisan Nasional (BN) untuk menganjurkan perhimpunan seumpama ini kerana pilihan raya bersih baik untuk semua,” katanya.
Semalam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan mereka akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 3 November untuk menuntut kerajaan menunaikan semua tuntutan Bersih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment