SAR perlu daftar sebagai SABK untuk mudahkan terima bantuan kata Muhyiddin


Sekolah Agama Rakyat (SAR) perlu mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Menteri Pelajaran itu berkata, walaupun SAR berada di bawah seliaan kerajaan negeri, namun atas keprihatinan kerajaan Pusat, sejumlah RM10.5 juta dan RM95 juta disalurkan yang masing-masing merupakan bantuan untuk Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan bantuan “one- off” kepada SAR pada 2011.

“Kita boleh duduk dan berbincang untuk melihat bagaimana sekolah ini boleh menjadi sebahagian dari sistem pendidikan yang mampan.

“Maka kerajaan tawarkan untuk kerjasama dengan kita. Kalau ada persetujuan seperti itu, maka kita boleh teruskan, dan harus ada peringkat persefahaman,” kata timbalan perdana menteri itu lagi dan menambah, ia perlu dilaksanakan dengan cara yang lebih sistematik.

Malah, Muhyiddin juga berkata, bantuan secara “one- off” kepada 247 SAR sebelum ini juga boleh diteruskan kerana kementeriannya mempunyai peruntukan untuk tujuan tersebut.

“Saya sedar sekolah-sekolah ini masih memerlukan bantuan ... justeru, jumlah peruntukan yang kita ada memungkinkan bantuan ehsan ini boleh dipertimbangkan satu persatu melalui permohonan dari SAR yang benar-benar memerlukan.

“Dalam masa yang sama, saya amat mengalu-ngalukan SAR untuk mendaftar sebagai SABK agar mudah menerima bantuan,” jelasnya dalam perbahasan di Parlimen hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, bagi SAR yang ingin memohon bantuan perkapita, kerajaan perlu mengkaji perkara itu dengan lebih mendalam.

“Untuk mohon bantuan perkapita, (kita) kena kaji ... berapa kos yang terlibat, berapa pelajar yang ada dan sebagainya.

“Silibus tidak jadi masalah ... soal tapak tanah juga tidak menjadi masalah,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment