SPR kesan kempen di media alternatif lepas 12 malam
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak berkempen menerusi media alternatif selepas pukul 12 tengah malam menjelang hari mengundi.
Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata perbuatan itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya yang melarang calon dan ejen mereka berkempen di luar tempoh dibenarkan.
Bagaimanapun, SPR tidak mempunyai penguatkuasa mahupun kepakaran untuk memantau media sosial dan alternatif seperti blog, Facebook dan Twitter, katanya.
"Kita berharap pihak SKMM boleh melihat perkara ini dan bersama-sama membantu kita dalam mengenal pasti mana-mana pihak yang berbuat demikian" katanya pada taklimat SPR bersama wakil parti politik dan media di Kuantan hari ini.
Noordin turut mengingatkan semua parti politik supaya tidak menggunakan bahan kempen yang boleh memfitnah orang lain dan berdepan tindakan jika mereka ingkar.
Dalam taklimat itu, SPR turut mengadakan demonstrasi proses pengundian di tempat mengundi yang disaksikan oleh kira-kira 100 wakil dari parti politik dan media.
Bagaimanapun, proses itu terganggu beberapa kali apabila beberapa wakil dari parti pembangkang terus mempersoalkan beberapa prosedur termasuk penggunaan pensil untuk menandakan nama-nama pengundi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment