Umno terbukti tiada lagi rasa malu kerana menggunakan cara yang hina dan biadab untuk menghukum Bersih, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar. "Akhirnya, kawan Umno sendiri, (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr) Koh Tsu Koon mengecam tindakan membuat senaman punggung di hadapan rumah (Pengerusi Bersih, Datuk S) Ambiga itu.
"Tetapi saya yakin kecaman Koh itu tidak akan memberi apa-apa perbezaan dan tidak memberi apa-apa kesan kerana Umno sendiri semakin membuktikan ia tidak ada lagi mempunyai adab dan rasa malu," kata beliau sambil menyatakan beliau diberitahu bahawa-bahawa blog-blog Umno saling mengucapkan tahniah kepada mereka yang membuli Ambiga itu.
Koh menyifatkan tindakan penungging-penungging punggung itu sebagai sebagai kasar dan tidak sensitif.
Bagi Mahfuz, sekalipun Umno mahu melepaskan geram kerana terlalu kecewa dengan kehadiran ratusan ribu rakyat berbilang kaum dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu, mereka tidak perlu menggunakan cara yang tidak beradab dan jijik sehingga melalukan gangguan seksual di hadapan rumah mangsa yang hendak dibuli.
"Bila Umno buat perkara yang jijik dan biadab seperti itu, ia terpalit juga kepada umat Islam lain yang tidak bersalah.
"Sekarang bila kawan Umno yang bukan Islam mengkritik tindakan itu, adakah mereka fikir umat Islam lain tidak rasa malu dengan perbuatan itu.
"Mentang-mentang ada kuasa, senang-senang membuli orang dengan aksi biadab menungging punggung," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz bertambah kesal kerana tindakan buli demi buli itu melarat kepada tuduhan tanpa usul periksa ke atas rakyat yang tidak bersalah.
"Terbaru, Ketua AMK Sik (Ngah Habib Mahyudin) disiasat dan dituduh mengancam mahu membunuh polis di dalam ceramahnya.
"Tanpa bertanya kepadanya, media-media pro-Umno membuli beliau apabila membuat laporan palsu kononnya beliau membuat ancaman itu," katanya.
Mahfuz mempersoalkan, adakah polis mempunyai rakaman apa yang didakwa sebagai ancaman itu sebelum memanggil Ngah untuk disiasat.
Ngah yang juga Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kedah dibebaskan selepas disiasat.
Ditanya mengenai kenyataan Menteri Daklam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kononnya tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu termasuk pihak polis, Mahfuz hanya berkata: "Dia sudah bohong pasal SOP".
Hishammuddin sebelum ini mendakwa, tindakan polis merampas kamera dan kad memori wartawan yang membuat liputan perhimpunan itu adalah mengikut garis panduan operasi polis (SOP).
Tetapi selepas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menjelaskan bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan itu bukan sebahagian daripada SOP.
No comments:
Post a Comment