Nama Najib popular di Kanada

Nama Najib popular di kanada apabila sebuah artikel atau laporan telah disiarkan oleh sebuah portal berita on-line dari Kanada, ianya menyebut nama Najib, Altantuya, Razak Baginda, Kapal selam Scorpene dan rasuah bernilai RM500 Juta....

terjemahan secara bebas oleh Harakahdaily mengenai artikel itu:

Inkuiri di mahkamah Perancis telah memulakan siasatan yang bakal menghubungkan segala titik mengenai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, pembelian dua kapal selam Perancis, rasuah sebanyak RM500 juta dan pembunuhan terhadap model Mongolia oleh para pengawal beliau.

Inkuiri berkamera yang diketuai hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire, yang cukup berpengalaman dalam kes korupsi dan hak asasi manusia, akan cuba membongkar samada syarikat pertahanan Perancis, DCNS dan rakan projeknya Thales International telah membayar rasuah untuk mendapat kontrak pada 2002 untuk membekal dua kapal selam Scorpene kepada tentera laut Malaysia.

Inkuiri tersebut adalah berdasarkan penyiasatan selama dua tahun dan pengumpulan bukti oleh polis Perancis.

Kontrak tersebut dimeterai ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan dan perhatian khusus diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh kawan karib dan penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda.

Pegawai berkuasa Perancis telah memaklumkan bahawa mereka sangat berminat terhadap dua bayaran yang dibuat oleh pembuat senjata Perancis.

Satunya berjumlah Euro 114 juta yang dibayar kepada syarikat Malaysia bernama Perimekar untuk kemudahan pengangkutan.

Pada waktu itu, Perimekar dalah dimiliki sepenuhnya oleh Razak Baginda dan isterinya Mazalinda.

Pihak majistret Perancis juga ingin mencari kebenaran di sebalik pembayaran Euro 36 juta kepada sebuah syarikat bernama Terasasi, yang pada asalnya dikorporatkan di Malaysia sebelum dipindahkan pendaftarannya ke Hong Kong, di mana berdasarkan Asia Sentinel adalah antara 142 syarikat yang mendaftar di Wan Chai.

Pengarah berdaftar Terasasi adalah Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Persoalan mengenai pembelian kapal selam menjadi hangat dan tajam pada Oktober 2006 selepas cebisan mayat model Mongolia dan penterjemah Altantuya Shaariibuu dijumpai di hutan di luar Kuala Lumpur.

Beliau telah ditembak di kepala dan terdapat cubaan untuk memusnah mayat beliau dengan bom C4 milik tentera.

Altantuya merupakan bekas kekasih Razak Baginda dan beliau kali terakhir dilihat di luar rumah kekasihnya yang menimbulkan situasi tidak senang.

Beberapa tahun yang lalu, Altantuya merupakan seorang model di Perancis dan pada2004 beliau mengiringi Razak Baginda sebagai penterjemah semasa beliau merunding kontrak Scorpene.

Dalam satu surat tulisan beliau yang dijumpai selepas beliau dibunuh, menyatakan beliau ingin berdepan dengan Razak Baginda dan menuntut USD 500 juta sebagai harga untuk menutup mulut beliau dalam kontrak pembelian Scorpene.

Kes ini tidak diendahkan oleh mahkamah Malaysia, yang dikuasai golongan politik.

Walaupun Razak Baginda dan dua orang bekas pengawal Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa dengan pembunuhan, keputusan kes tersebut adalah pincang dan tidak menjawab banyak persoalan.

Dalam satu drama mahkamah yang menakjubkan, Razak Baginda tidak dipanggil untuk menjawab tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, dan dilepaskan dan kini tinggal di Britain.

Para pengawal peribadi Najib telah menerima padah dan telah dijatuhkan hukuman mati. Mereka sedang dalam proses rayuan tetapi pendengaran telah ditangguhkan.

Spekulasi berkata pendengaran itu tidak akan berlaku sehingga lepas pilihanraya umum yang bakal tiba, dijangka Jun, di mana jika Najib dan kerajaannya mengekalkan kuasa, dijangka satu cara akan difikirkan untuk membalas kesetiaan pengawalnya.

Selepas gagal mendapat penyiasatan penuh ke atas skandal Scorpene di Malaysia, ramai aktivis hak asasi manusia dan keluarga Altantuya telah meletakkan harapan kepada penyiasatan Perancis.

Namun demikian, terdapat sedikit kekecewaan apabila mengetahui bahawa hakim Le Loire dan Tournaire hanya boleh menyiasat tuduhan rasuah dan bukan pembunuhan Altantuya.

Akan tetapi, 10 hari yang lepas, Suaram Malaysia telah diberikan kebenaran untuk memberikan penerangan kepada hakim secara peribadi.

Jurucakap Suaram berkata mereka telah menceritakan skandal Scorpene ini daripada konteks politik Malaysia dan memberikan hakim senarai saksi-saksi yang dikehendaki.

Antara senarai itu ialah Razak Baginda, dan telah ada laporan bahawa hakim akan cuba mengeluarkan subpoena terhadap beliau daripada Britain.

Tetapi akan ada yang tidak mengendahkan senarai itu, termasuk nama Najib.

Namun begitu, ayah Altantuya, Setev Shaariibuu berkata beliau ingin ke Perancis daripada Mongolia dan percaya perbualan terakhir bersama anak perempuannya akan dapat menghubungkan segala titik yang tergantung dalam skandal Scorpene ini kepada hakim di sana. Sumber asal : http://naimnikmat.blogspot.com

1 comment: