Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan agar peniaga tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata malah berniaga mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam syariat Islam.
Beliau berkata, jika hanya mementingkan keuntungan dan melakukan urusan jual beli dengan menaikkan harga sesuka hati, ia bukan hanya membebankan pelanggan, malah menyebabkan pelanggan berubah dan memilih barang di tempat lain.
“Saya harap peniaga dapat menjalankan perniagaan dalam landasan yang betul dan tidak menyimpang dari maksud untuk mendapatkan rezeki dengan cara halal. Di samping itu janganlah lupa menunaikan solat kerana solat itu merupakan tiang agama,
walaupun berniaga solat harus diutamakan,” katanya demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan pasar Kota Jembal, di sini, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Fauzi Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Pasar terbabit yang menelan belanja RM3.2 juta di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB_BRI), dibuka kepada orang ramai sejak Februari lalu dengan penyertaan 423 peniaga.
Di samping tempat untuk berniaga, pasar terbabit turut disediakan kemudahan surau, pejabat, selain tandas awam.
Nik Aziz juga berharap pasar terbabit menjadi tarikan utama pelancong setanding dengan kewujudan Pasar Siti Khadijah dan Wakaf Che Yeh yang semakin terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment