Pemuda Pas Sokong Mansuh Tol

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR menyatakan sokongan terhadap gesaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) Selangor supaya Kerajaan Malaysia menutup operasi tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dengan segera kerana semakin membebankan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan himpunan aman bagi membantah penerusan operasi tol tersebut pada 13 Mei 2012 sekiranya pihak kerajaan Malaysia masih lagi bersikap ‘pekak dan tuli' dengan rintihan kesempitan hidup daripada rakyat bawahan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan kerajaan Malaysia yang telah mendahulukan dan mengutamakan keuntungan operasi tol ini kepada kroni-kroni mereka serta memindahkan beban pembayaran dan kesusahan kepada rakyat sepertimana yang telah didedahkan oleh AMK Selangor.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup komited untuk memperjuangkan penghapusan tol sepertimana yang telah dijanjikan oleh Buku Jingga Pakatan Rakyat sekiranya rakyat memberi peluang untuk Pakatan Rakyat memasuki Putrajaya dan memerintah Malaysia. Semuanya bukan perkara mustahil untuk dilakukan dan terbukti pihak kerajaan telah menutup beberapa operasi tol di Selangor dan Wilayah Persekutuan setelah didesak oleh Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak Umno dan Barisan Nasional yang pemerintah kerajaan Malaysia dapat melakukan sedikit kebaikan di penghujung usia pemerintahan mereka dengan menutup operasi kedua-dua operasi tol terbabit supaya tidak berterusan dicaci dan dihina generasi akan datang sebagai orang yang ‘bodoh sombong' dan tidak boleh dinasihat.

MOHD SANY BIN HAMZAN
TIMBALAN KETUA PEMUDA merangkap PENGERUSI LAJNAH POLITIK
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

No comments:

Post a Comment