Unit Amal PAS menerima dua jambangan bunga hiasan daripada peserta Bersih 3.0 berbangsa Cina sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang mereka pada perhimpunan tersebut.
Wong Kow Kong, 58, menghantar sendiri bunga tersebut ke Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam dan diterima seorang Unit Amal yang bertugas di pejabat.
Bunga tersebut dikepilkan dengan sekeping kad bertulis " Kepada semua ahli Unit Amal yang bertugas pada hari 428 Bersih 3.0 2012", "Terima kasih banyak-banyak", Salute to all of you, When injustice become law, membantah adalah tanggungjawab kita", dan "hidup hidup hidup rakyat".
Wong ketika dihubungi hari ini berkata, beliau dan keluarga sangat berterima kasih terhadap anggota Unit Amal yang bertugas menjaga keamanan pada perhimpunan tersebut.
Beliau berharap pemberian bunga tersebut dapat menggembirakan hati anggota-anggota Unit Amal atau turut digelar 'Tentera Merah'.
"Saya nak ucap terima kasih kepada Unit Amal sebab banyak tolong peserta-peserta pada Bersih 3.0.
"Bunga itu satunya daripada saya dan keluarga dan satu lagi daripada kawan saya. Saya harap mereka suka bila terima bunga itu," katanya yang merupakan seorang tukang jahit dan mempunyai kedai jahit di Damansara.
Menurut Wong, sewaktu perhimpunan tersebut, beliau berada di Jalan Tun Perak dan melihat sendiri bagaimana Unit Amal bertugas menjaga peserta-peserta. Malah katanya, beliau yang turut menyertai perhimpunan Anti ISA dan Bersih 2.0 sangat senang dengan kewujudan Unit Amal di lokasi perhimpunan.
"Saya memang sudah biasa dengan Unit Amal. Setiap kali perhimpunan, saya tengok dengan mata kepala sendiri mereka bersusah payah bertugas," katanya. Beliau juga menolak dakwaan bahawa Unit Amal bertindak ganas sewaktu perhimpunan.
"Kalau saya tengok Unit Amal ganas, saya tak akan bagi mereka bunga," katanya sambil ketawa. Seramai 4,000 anggota Unit Amal dari Semenanjung Malaysia bertugas pada perhimpunan 28 April lalu.
No comments:
Post a Comment