PKR Pulau Pinang mencadangkan supaya debat perdana diadakan antara calon Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) ketika kempen Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 nanti.Debat perdana itu adalah salah satu daripada 16 cadangan yang dikemukakan Majlis Pimpinan Negeri dan Jawatankuasa Pilihanraya PKR Pulau Pinang kepada Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC).
Ini supaya rakyat negara ini berpeluang mendapatkan segala maklumat serta dapat membuat keputusan tepat di dalam pilihanraya umum.
Jurucakapnya PKR Pulau Pinang, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya meminta debat perdana itu disiarkan secara langsung di dalam semua siaran televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta.
Debat tersebut juga dicadangkan untuk tiga sesi dan setiap sesi perlu dijalankan dalam tempoh masa tidak kurang dari satu jam.
"PKR menerima baik beberapa cadangan yang dikemukakan di dalam Parlimen baru-baru ini dan berharap BN membuktikan keikhlasannya dengan melaksanakan segala cadangan PSC di dalam PRU ke 13 nanti.
"Adalah mengecewakan kalau segala cadangan itu tidak dilaksanakan dan pastinya kerajaan dipimpin BN akan dipersoalkan rakyat dengan tidak berminat untuk mengadakan pilihanraya secara adil dan bebas," katanya.
Cadangan lain yang dikemukakan jawatankuasa itu kepada PSC adalah membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen minimum selama 21 hari, akses media yang adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah politik wang, menghentikan politik kotor dan lucah, menghentikan sekatan polis dan FRU semasa tempoh berkempen serta pemantau antarabangsa dan tempatan dibenarkan.
Selain itu, katanya, turut dicadangkan adalah tarikh pilihanraya ditetapkan lebih awal secara rundingan antara BN bersama Ketua Pemimpin Pakatan Rakyat, deposit calon dikurangkan, umur layak pengundi diturunkan ke umur 18 tahun, jangkamasa pameran pengundi dipanjangkan ke 21 hari dan pendaftaran automatik menjadi pengundi selepas umur layak.
No comments:
Post a Comment