Mahathir: Orang Melayu hadapi dilema baru

Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus lantang melahirkan pandangannya mengenai pelbagai isu selepas bersara berkata, beliau telah ‘mengunjungi semula’ buku kontroversi tulisanya The Malay Dilemma kerana ada perkara-perkara yang merungkaikan dilema baru orang Melayu.

Dalam memoirnya yang dilancarkan Mac lalu, bekas perdana menteri itu berkata, “bila anda miskin anda akan ada dilema dan bila anda kaya, anda ada dilema yang besar.”

“Saya harus mengakui bahawa saya telah melihat semula The Malay Dilemma. Banyak perkara sudah berubah, jadi kebanyakan perkara yang saya tulis dalam Malay Dilemma yang pertama, mereka akan kata ia sudah tidak relevan lagi,” kata beliau.

“Bagaimanapun ada perkara yang merangkumi dilema baru orang Melayu,” kata beliau ketika berucap melancarkan portal buku elektronik MPH yang akan membawa kandungan buku autobiografinya.

Buku Malay Dilemma mencetuskan kontroversi hebat ketika diterbitkan pada 1970, sejurus selepas Dr Mahathir dipecah dari Umno.

Dalam buku itu, Dr Mahathir berhujah bahawa orang Melayu ketinggalan jauh berbanding kaum-kaum lain meskipun menjadi kaum pribumi negara ini.

Dr Mahathir dikatakan melaksanakan dasar-dasar yang dicetuskan oleh bukunya selepas menjadi perdana menteri pada 1981 termasuk pelbagai polisi di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan mendedahkan kandungan yang akan dimasukkan dalam bukunya atas alasan “anda tidak akan membeli buku saya nanti.”

No comments:

Post a Comment