Meskipun dibanjiri tohmahan dan ugutan lantaran daripada tindakan menurunkan bendera berwajah Presiden UMNO Najib Razak, namun tindakan kontrovesi Adam Adli ini dibela oleh Sasterawan Negara A.Samad Said, pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari dan aktivis sosial Hishamuddin Rais, hari ini.
Abdul Aziz Bari, Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika ditemuramah melalui email oleh MerdekaReview, mengajak orang awam untuk lihat isu ini dalam konteks dan kerangka di mana kita hidup dalam sebuah negara demokrasi.
"Jawabnya, dalam konteks itu, apa salahnya tindakan mahasiswa itu? Apalagi flip-flop yang Perdana Menteri tunjukkan dalam isu kebebasan akademik, khususnya hak mahasiswa dan lain-lain?" persoalnya.
Beliau menyambung, "Kita kena banding dengan negara demokrasi; jangan bandingkan kita dengan Korea Utara atau Zimbabwe. Mereka yang mengugut dan lain-lain itu mungkin mereka ingat Malaysia sama dengan negara-negara itu."
Kelmarin, Adam Adli, penyelaras Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) membuat laporan polis di Bukit Aman, mengadu bahawa dirinya menerima ugutan maut melalui perkhidmatan pesanan ringkas (sms), setelah dirinya menurunkan bendera berwajah Najib di ibu pejabat UMNO pada Sabtu lalu. Malah, sidang media siswa semalam di depan balai nyaris menyaksikan pertembungan fizikal, apabila seorang lelaki bernama Roslan Mokthar (gambar kanan), mendakwa dirinya ahli UMNO, cuba "mengajar" budak yang "kurang ajar" itu.
"Mereka kena ingat apa yang PM dan UMNO buat selama ini kepada demokrasi umumnya dan mahasiswa khususnya. Kalau kita ingat ini apa yang mahasiswa buat itu tak ada benda. Ugutan dan lain-lain itu menunjukkan betapa UMNO masih dilanda pemikiran feudal yang kolot; mereka fikir mereka saja yang betul dan berhak untuk memerintah. Orang lain kena dengar apa kata mereka," ulas Abdul Aziz Bari.
No comments:
Post a Comment