Demo Pro Aspirasi - Saifuddin Abdullah Digesa Letak Jawatan
Saifuddin ini walaupun mempunyai pemikiran yang hebat dan berkarisma sebagai seorang pemimpin, dia adalah tidak serasi dengan pemikiran orang Umno yang masih terbelenggu dengan konsep feudal.
Orang Umno mewariskan sifat hubungan di antara pemerintah dengan yang diperintah sebagai satu ikatan suci yang tidak boleh dicabar. Ketua yang memerintah adalah ketua yang disembah selagi dia menjadi ketua walau dengan apa cara sekalipun.
Sikap mendewa-dewakan pemimpin merupakan budaya orang kita sejak dahulu kala. Lihat saja setiap kali persidangan Umno dan apabila ditanya komen para perwakilan yang menghadiri apa pendapat mereka dengan ucaptama presiden, sudah pasti terhambur air liur memuji-muji apa sahaja yang diucapkan.
Pernah pada ketika Anwar Ibrahim menjadi menteri kewangan dahulu, ramai yang memujinya sebagai menteri kewangan terbaik pernah dilahirkan di malaysia setiapmkali ia membentangkan bajet negara. Semakin ganas pujian itu semakin hebat pemuji akan diberikan persalinan.
Sebagaimana yang saya duga, Saifuddin kini mendapat desakan agar meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kerana dikatakan tidak sealiran dengan Najib serta tidak mengipas Najib.
Ratusan mahasiswa pro-Aspirasi dan juga alumni dari beberapa universiti awam hari ini berhimpun untuk menuntut timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-mahasiswa.
Kumpulan yang diketuai presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah itu berkumpul di satu padang di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi hampir dua jam petang ini sambil melaungkan slogan.
Mohd Sahar dalam ucapannya di hadapan kumpulan itu antara lainnya melaungkan bahawa Saifuddin telah "melacurkan demokrasi kampus."
Katanya timbalan menteri itu enggan mendengar pandangan kumpulan mahasiswa pro-Aspirasi berkenaan walau wakil mereka memenangi pilihan raya kampus sebelum ini.
"Kami sayang perdana menteri kami," kata Mohd Shahar yang turut mengetuai kumpulan itu untuk melaungkan slogan "hidup Najib" dan "kami sayang Najib" sambil berarak ke arah bangunan berkenaan.
Kumpulan berkenaan bertindak demikian sebagai perhimpunan balas kepada satu lagi perhimpunan yang diadakan pro-Mahasiswa di Kuala Lumpur pada hujung minggu.
Perhimpunan kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia itu itu mencetus kontroversi apabila sebahagian daripada mereka bertindak menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment