Bendera Najib : Ahli UMNO Serang Datuk Saifuddin


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah kini berhadapan dengan serangan daripada beberapa pihak dari dalam Umno dan pro-parti itu, dengan ada yang mendesak agar beliau meletakkan jawatan berhubung insiden menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.
Serangan itu menurut beberapa sumber dibuat menerusi mesej-mesej Twitter dan entri dalam blog-blog.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu, yang dilihat sebagai antara pemimpin Umno bersikap terbuka dalam isu-isu berkaitan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digesa memikul tanggungjawab insiden kumpulan mahasiswa menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera Najib di pekarangan ibu pejabat Umno Sabtu lalu.

Selain kritikan di dunia siber, Persatuan Alumni Pemimpin Pelajar IPT Malaysia bercadang berhimpun di pekarangan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya petang esok.
Presidennya, Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya mahu melahirkan sokongan kepada kepimpinan Najib selaku perdana menteri dan presiden Umno susulan insiden kelmarin.
Justeru, pertubuhan yang mewakili bekas pelajar dan mahasiswa menyasarkan lebih 1,000 akan berhimpun petang esok.

“Ya, kita boleh katakan bahawa langkah ini satu bentuk reaksi balas dengan apa yang berlaku dan usaha membetulkan persepsi masyarakat terhadap gerakan pelajar IPT pada masa sekarang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Selain menunjukkan bahawa gerakan mahasiswa juga menyokong kepimpinan dan terdapat kumpulan penuntut-penuntut IPT yang beradab, pihaknya sedang meneliti mahu meminta Datuk Saifuddin memikul tanggungjawab dengan insiden tempoh hari dan meletakkan jawatan jika respons tidak memuaskan.

“Soal sama ada akan meminta Datuk Saifuddin meletakkan jawatan, pendirian rasmi akhir akan kami putuskan dalam mesyuarat malam ini dan akan umumkan ketika perhimpunan petang esok… datanglah,” katanya.
“Datuk Saifuddin perlu menjelaskan tindakan beliau menerima memorandum… mengapa beliau mahu menerima memorandum di pekarangan ibu pejabat Umno, mengapa ada ucapan, mengapa tidak menerima memorandum mereka di tempat lain, misalnya di Chow Kit, sebab mereka berarak dari kawasan Masjid Jamek… kami pun ada maklumat.

No comments:

Post a Comment