Umno melalui blogger upahan mereka didakwa menggunakan strategi murahan dengan menyebarkan fitnah, penipuan dan mempraktikkan amalan politik lucah dalam cubaan melemahkan imej musuh mereka.
Demikian menurut Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dalam satu kenyataan terbukanya semalam.
Beliau menafikan dakwaan seorang blogger pro-Umno yang mendakwa beliau menghantar seseorang untuk menawarkan bayaran sebagai balasan agar rakaman video ketika beliau menonton video lucah kontroversi itu tidak disiarkan.
“Nampaknya ini strategi murahan Umno melalui blogger-blogger upahan mereka dengan menjalankan fitnah dan penipuan menjadi strategi utama mereka.
“Serangan peribadi politik lucah menjadi kebiasaan mereka dan apa perlunya Chegu Bard melayan sebuah blog yang penuh dengan tulisan penuh maki hamun dan lucah tersebut.
“Jika benar sila sebut siapa yang kononya dihantar oleh Chegu Bard untuk membeli blogger tersebut,” ujar Chegu Bard yang juga merupakan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia itu.
Chegu Bard itu menjelaskan rakaman video yang dimaksudkan oleh blogger yang lebih terkenal dengan penggunaan bahan lucah itu hanyalah rakaman cubaan beliau meyakinkan Dato’ Shahrin Eskay Abdullah dan Tan Sri Rahim Tamby Chik untuk menyerahkan salinan rakaman itu.
Beliau mengesyorkan kepada blogger terbabit agar menyiarkan rakaman penuh tanpa suntingan termasuklah komen Rahim mengenai kes sensasi yang melibatkan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Video yang kononnya akan disiarkan itu hanyalah video yang merakamkan bagaimana Chegu Bard cuba menyakinkan Eskay dan Rahim untuk menyerahkan salinan video fitnah lucah tersebut.
“Chegu Bard juga berharap rakaman penuh dikeluarkan di mana ada komen Rahim mengenai kes sensasi melibatkan Najib dan penipuan beliau kononnya beliau tidak pernah menonton dan tidak tahu menahu mengenai video itu,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu beliau turut menjelaskan bahawa lakonan beliau seolah-olah mempercayai rakaman video yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah diperjelaskan dalam kenyataan media dan dalam beberapa siri ceramah yang disertainya sebelum ini.
Pura-pura percaya
“Sejak 24 Mac 2011, dalam kenyataan media termasuk dalam ceramah-ceramah kemudiannya lagi dipertegaskan, betapa Chegu Bard telah berusaha berpura-pura percaya terhadap video tersebut untuk mendapatkan satu set salinan asal rakaman penuh video tersebut.
“Ini kerana saya berkeyakinan jika salinan asal rakaman penuh itu diperolehi terlalu banyak kelemahan dan kepincangan dalam video tersebut dapat dibongkarkan.
“Eskay, pada peringkat awal bersetuju untuk menyerahkan video tersebut jika Chegu Bard berjaya menyakinkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menonton video tersebut.
“Namun setelah Chegu Bard nyatakan esoknya kononnya Wan Azizah setuju walaupun saya tidak bertanyakan pun mengenainya kepada Wan Azizah, tiba-tiba Eskay panik dan tetap tidak memberikan salinan tersebut.
“Ternyata dia takut untuk set salinan rakaman penuh tidak terkeluar pada ketika itu kerana banyak benda mahu diselindungkan dan ingin bermain dengan politik persepsi,” beritahu beliau.
Dalam kenyataannya turut menjelaskan bahawa Anwar telah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum beliau pergi ke lokasi tayangan video itu. Sebaik selesai tayangan video itu, beliau telah bertemu Anwar dan Wan Azizah di kediaman mereka.
“Tidak ada apa yang perlu diselindungkan, malah sebelum pergi menonton Chegu Bard telah memaklumkan kepada Anwar mengenainya.
“Sebaik sahaja selesai menonton, beliau terus pergi ke rumah Anwar memaklumkan mengenai apa berlaku di depan Anwar dan Wan Azizah sendiri termasuklah (menceritakan) usaha meyakinkan Eskay untuk cuba mendapatkan salinan rakaman tersebut,” jelas kenyataan beliau itu.
Identiti blogger terdedah
Beliau turut menempelak tindakan blogger pro-Umno yang gemar melindungi identiti mereka berbanding blogger pro-Pakatan Rakyat bagi membolehkan mereka menyebarkan fitnah ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan.
Chegu Bard juga memberitahu blogger upahan Umno tersebut berada dalam keadaan panik setelah identitinya diketahui dan satu laporan polis dibuat atas dakwaan fitnah liwat membabitkan blogger pro-Pakatan, Amin Iskandar dan Anwar.
“Kebanyakan blogger Umno ini melindungi identiti, kerana itu mereka berani menulis perbagai bahan fitnah.
“Blogger upahan Umno ini panik selepas satu laporan polis dibuat beberapa hari lalu oleh Amin kerana fitnah yang jelas dalam penulisan blogger upahan Umno tersebut yang jelas menuduh Amin diliwat oleh Anwar.
“Dalam laporan polis tersebut Amin telah mendedahkan identiti blogger upahan Umno tersebut.
“Namun yakin mereka dilindungi polis dan pimpinan utama negara maka mereka tidak segan-segan terus membuat fitnah,” katanya dalam kenyataan itu.
Chegu Bard juga menganggap Umno telah menilai rendah tahap pemikiran rakyat negara ini dengan terus bermain dengan taktik politik lucah dan cacian dengan menaja blogger dengan bayaran tertentu sehingga ada yang mencecah RM80,000 sebulan. -FMT
No comments:
Post a Comment